WUJUDKAN EKOSISTEM KEUSAHAWANAN BERASASKAN INOVASI

Dalam keadaan negara yang menghadapi masalah pengangguran belia yang serius, sektor keusahawanan sepatutnya dilihat sebagai alternatif kepada golongan ini dalam menjana pendapatan dan seterusnya menjadikannya sebagai kerjaya tetap mereka.

Kerajaan seharusnya memainkan peranan yang lebih berkesan dalam menggalakkan penglibatan belia dalam dunia keusahawanan. Program-program outreach perlu digalakkan sama ada di sekolah atau di universiti bagi memberikan pendedahan awal kepada golongan yang berpotensi.

Menurut hasil kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), peratusan usahawan di Malaysia agak kecil iaitu tidak melebihi 26% daripada keseluruhan penduduk bekerja dalam tempoh 25 tahun. Peratusan tersebut juga didapati menunjukkan trend yang menurun daripada 25.1% pada 1982 kepada 20.9% pada 2008.

Kajian yang telah dijalankan oleh Charles Banfe (1991) mendapati lebih kurang 25% daripada keseluruhan populasi usahawan yang berjaya di Amerika Syarikat, memiliki ijazah sarjana. Manakala lebih kurang 20% mempunyai diploma sekolah tinggi dan sarjana kedoktoran pula kira-kira 10%.

Ini menunjukkan usahawan lepasan kolej yang mempunyai ijazah merupakan golongan yang tertinggi berjaya sebagai seorang usahawan. Namun begitu, semakin tinggi tahap pendidikan seseorang, maka motivasi mereka untuk menjadi usahawan adalah semakin rendah. Ini disebabkan graduan dari universiti akan mendapat bayaran upah yang lebih tinggi jika mereka mencapai prestasi yang baik dalam sektor pekerjaan.

Oleh yang demikian, saya melihat kepada keperluan kerajaan untuk mewujudkan ekosistem usahawan yang berasaskan inovasi seperti ekonomi digital.

Pewujudan ekosistem seperti ini akan menarik minat pelabur-pelabur
antarabangsa mahupun tempatan sama ada pelabur institusi, swasta
ataupun individu.

Dengan menyuburkan sektor keusahawanan digital berasaskan inovasi,
secara tidak langsung ia akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan
berkemahiran tinggi (atau yang baru wujud) seperti data analyst,
developer, UI/UX designer dan sebagainya.

Ini seterusnya akan menjurus kepada peningkataan jenis pekerjaan
berkemahiran tinggi yang boleh meransang pertumbuhan tenaga kerja
berkualiti tinggi dalam kalangan rakyat tempatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *