TUBUH RCI SEGERA UNTUK SIASAT DAKWAAN CAMPUR TANGAN KEHAKIMAN

Hakim Mahkmah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer telah membuat satu pendedahan menggemparkan bahawa, telah terdapat campur tangan dalam institusi kehakiman sebelum pilihan raya serta selepas pilihan raya yang masih berterusan, membabitkan salah laku perlembagaan dan kehakiman.

Menurut beliau, telah terdapat campur tangan dalam proses membuat penghakiman terhadap kes-kes berprofil tinggi seperti yang melibatkan Presiden PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan mantan Pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh. Tambahnya lagi, wujud usaha berterusan untuk mengelirukan orang awam melalui berkonspirasi untuk menyembunyi jenayah kehakiman.

Oleh itu, AMK menggesa agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan dengan segera bagi menyiasat dakwaan atau pendedahan yang telah dibuat.

Sebelum ini, rakyat mengalami krisis keyakinan terhadap institusi kehakiman negara yang sering kali dianggap tidak telus dan tidak bebas. Maka, kerajaan baru Pakatan Harapan perlu memikul tanggungjawab untuk mengembalikan keyakinan tersebut dengan menjamin kebebasan badan kehakiman negara.

Keberanian tindakan Hakim Mahkamah Rayuan tersebut untuk mendedahkan maklumat (whistleblowing) seperti ini harus dipuji dan dihormati. Hal ini kerana tindakan yang diambil adalah berlandaskan prinsip kebebasan dan integriti badan kehakiman negara daripada campur tangan dalaman mahupun luaran.

Oleh yang demikian, AMK ingin menegaskan bahawa penubuhan RCI merupakan satu langkah tepat yang perlu diambil dengan segera untuk menyiasat dakwaan campur tangan yang dibuat oleh Hakim Mahkmah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer.

Penyiasatan melalui RCI juga perlu dilihat sebagai usaha untuk membela mereka yang telah dizalimi akibat ketidakadilan dalam proses penghakiman yang mungkin telah berlaku.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *