Tambah baik pentadbiran Institusi YaPEIM

Umum mengetahui masalah penyalahgunaan kuasa dan dana Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (YaPEIM) yang pernah saya dedahkan sebelum ini pada tahun 2015.

Ekoran daripada itu, saya telah meminta perkembangan daripada Jabatan Perdana Menteri berkaitan siasatan dan tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat bagi membaik pulih institusi YaPEIM.

Menurut Datuk Seri Dr Mujahid bin Yusof, setiap salahlaku dan penyelewengan yang dilakukan oleh mana-mana pihak di dalam YaPEIM pada masa sekarang atau lepas akan dipertanggungjawabkan ke atas individu yang terlibat dan akan diambil tindakan berdasarkan polisi dan prosedur dalaman YaPEIM dan undang-undang di Malaysia.

Untuk makluman, Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM telah melantik pihak PricewaterhouseCoopers (PwC) untuk melaksanakan audit terhadap perbelanjaan operasi dan transaksi perolehan bagi tempoh 1 Januari 2017 hingga 31 Ogos 2018.

Laporan PWC telah dimuktamadkan oleh pihak LPA pada 2 Mei 2019 dan kini dalam proses audit susulan dan siasatan dalaman untuk beberapa kes yang telah dikenalpasti.

Selain itu, tindakan penambahbaikan secara berterusan yang telah dan sedang diambil oleh YaPEIM adalah seperti berikut:

1) Pelaksanaan langkah-langkah peningkatan tadbir urus.
2) Rasionalisasi penstrukturan korporat.
3) Rasionalisasi penstrukturan pelaburan.
4) Kajian dan penambahbaikan terhadap polisi-polisi dan prosedur.
5) Kajian menyeluruh terhadap aspek sumber manusia meliputi aspek penggajian, ganjaran, latihan, kerjaya dan pelan penggantian.

Saya berharap kerajaan yang baru ini tidak akan mengulangi kesalahan yang lalu menyalahgunakan institusi rakyat untuk kepentingan diri sendiri.

Reformasi tadbir urus perlu dilakukan secara holistik melibatkan pelbagai institusi dan agensi kerajaan dan bukan sahaja terhad kepada YaPEIM. Dengan ini barulah kepentingan rakyat akan sentiasa terbela.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *