SISWAZAH PERLU PEKA DENGAN PERALIHAN INDUSTRI

Saya yakin kita semua sedar bahawa satu peralihan industri dalam sektor buruh sedang berlaku di mana permintaan pekerja pada waktu ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan 10 tahun lepas (sewaktu saya tamat pengajian).

Gologan pelajar universiti perlu peka dengan peralihan sektor industri ini yang sedang menjurus ke arah Revolusi Industri 4.0. Ini bermakna dalam masa beberapa tahun lagi, pekerjaan-pekerjaan berproduktiviti rendah akan digantikan dengan teknologi automosi yang lebih cekap dan efisien.

Menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), majoriti mereka yang hilang pekerjaan sejak setahun lalu bekerja dalam sektor perkeranian, kerja kilang dan mengendalikan mesin, di mana automasi secara beransur-ansur mengambil alih.

Malahan di Eropah, krisis perniagaan runcit semakin tertekan apabila syarikat-syarikat di United Kingdom dan Germany bercadang untuk mengurangkan bilangan pekerjaan disebabkan peningkatan jualan melalui beli-belah dalam talian (online shopping). Tesco, pasaraya runcit terbesar UK dikatakan akan memotong lebih kurang 15,000 jawatan pekerjaan dan menutup kaunter daging, ikan dan makanan.

Mendepani peralihan industri ini, kerajaan telah mengambil langkah awal dengan memperuntukkan sebanyak RM210 juta bagi tahun 2019 hingga 2021. Kerajaan berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama untuk pelaburan industri berteknologi tinggi menerusi tumpuan terhadap Industri 4.0.

Oleh yang demikian, saya melihat kepada keperluan setiap pelajar universiti untuk memiliki kemahiran (skill) yang boleh diguna pakai untuk Industri 4.0, tidak bergantung kepada apa yang sedang dipelajari di universiti. Golongan belia harus bijak memanfaatkan peluang pembelajaran di univerisiti dan tidak mengharapkan pekerjaan selepas tamat belajar sahaja.

Berdasarkan World Economic Forum, salah satu perubahan besar yang akan berlaku melalui pengaplikasian teknologi adalah kewujudan jenis-jenis pekerjaan baru yang beproduktiviti tinggi seperti Artificial Intelligence (AI), Internet of Things (IoT), cyber-security robotics, machine learning dan 3D printing. Melihat kepada keseluruhan pasaran buruh, gaji yang ditawakan untuk pekerjaan baru ini juga lebih lumayan berbanding pekerjaan tradisional.

Syarikat Konsultansi McKinsey juga telah menjangkakan bahawa akan terdapat penurunan yang ketara dalam bilangan pekerjaan di beberapa sektor disebabkan proses peralihan industri ini. Namun pada masa yang sama, kehilangan pekerjaan itu diganti dengan pekerjaan baru yang wujud di sektor-sektor lain disebabkan pembangunan teknologi. 

Paras pengangguran di Malaysia masih kekal pada paras yang optimum – 3.3 ~ 3.4%. Memang tidak dinafikan akan terdapat pekerja-pekerja yang akan diberhentikan tetapi bukan atas faktor ekonomi, tetapi lebih disebabkan faktor global yakni proses peralihan industri yang berlaku secara semula jadi. Pekerjaan yang dilupuskan diganti dengan pekerjaan yang diwujudkan di sektor lain. 

Oleh itu, amatlah penting untuk golongan belia ataupun yang masih bekerja untuk peka dengan proses peralihan industri ini. Pelbagai program reskilling ataupun upskilling telah ditawarkan bagi membolehkan setiap pekerja kekal relevan dalam pasaran buruh tempatan untuk masa akan datang.

Malahan, saya merasakan perkara ini perlu diberi perhatian sewajarnya bagi memastikan mereka mampu untuk mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *