SISWAZAH ‘DEMAND’ GAJI, FAKTA KE AUTA?

Menurut satu berita yang dikeluarkan oleh Free Malaysia Today (FMT) pada 9 November 2018, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) berkata permintaan gaji tinggi dan “takut” mencari pekerjaan di luar bidang dipelajari antara punca kadar pengangguran graduan Bumiputera meningkat.

Persoalan di sini ialah tahap manakah gaji itu boleh dikatakan “tinggi” untuk golongan siswazah? Adakah permintaan gaji permulaan sebanyak RM3,000 untuk seorang jurutera adalah tinggi dalam keadaan ekonomi sekarang ini?

Berdasarkan buku Antara Dua Darjat yang ditulis oleh Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Dr Muhammed Abdul Khalid, beliau menyatakan bahawa berdasarkan kadar pendapatan negara, didapati pekerja mendapat 28%; kerajaan mendapat 5% dalam bentuk cukai, sementara pemilik korporat mendapat bahagian terbesar iaitu 67%.

Walhal di Singapura, pekerjanya menerima lebih kurang 40% , di Korea 46%, sementara di negara Barat yang maju, kadarnya lebih kurang 50%. Lebih mengejutkan, peratusan pendapatan negara milik pekerja bakal berkurang sebanyak lebih 20%, sementara milik korporat meningkat sehingga 75%.

Pertumbuhan kadar gaji yang rendah walaupun dalam persekitaran ekonomi yang berkembang dengan kukuh merupakan satu situasi yang tidak adil terhadap pekerja.

Contohnya, pada tahun 2017, KDNK negara adalah pada paras yang tinggi iaitu 5.9%. Namun, angka ini gagal diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup pekerja dan rakyat keseluruhannya. Berdasarkan keadaan semasa, wujud kecenderungan tinggi pertumbuhan KDNK di Malaysia didokong oleh pertumbuhan keuntungan perniagaan.

Ini bersandarkan kepada dua faktor. Pertama, kebanyakan perniagaan mencatat keuntungan positif untuk tahun 2017.

Kedua, perangkaan menunjukkan pulangan daripada KDNK kepada gaji dan upah masih rendah. Secara purata, bagi setiap ringgit nilai KDNK, 35 sen sahaja akan diterima dalam bentuk upah manakala 65 sen diterima dalam bentuk keuntungan perniagaan.

Berdasarkan Rajah 6, data menunjukkan bahawa purata pendapatan bulanan bagi graduan tidak meningkat untuk tempoh lebih 7 tahun! Walaupun dengan kadar KDNK meningkat setiap tahun yang menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang baik, kekayaan itu tidak dapat dirasai oleh golongan pekerja khususnya golongan yang baru mula bekerja.

Bahkan, lebih 50% graduan mendapat gaji di bawah RM2,000 sebulan! Dalam suasana peningkatan kos sara hidup yang kian meningkat, majikan seharusnya memberikan gaji yang berpatutan sejajar dengan kadar inflasi tahunan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *