Sidang media berkaitan ugutan di Pusat Khidmat

Kini saya dalam perjalanan pulang ke Parlimen.

Saya sempat balik ke Johor Bahru dan pagi tadi bertemu dengan Tuan Shahrunain, Ketua Polis Daerah di IPD Johor Bahru Selatan bagi mendapatkan penjelasan mengenai kes ugutan terhadap saya dan mengucapkan terima kasih atas kerjasama pihak polis.

Kemudiannya saya singgah di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada staf dan masyarakat setempat walaupun terdapat ugutan bunuh semalam bahawa Parlimen Johor Bahru akan meneruskan urusan kawasan dan pentadbiran seperti biasa.

Saya telah dimaklumkan terdapat CCTV daripada premis berhampiran yang telah merekodkan kejadian khianat tersebut.

Berdasarkan rakaman CCTV, kejadian telah berlaku sekitar jam 3.24 pagi – 3.26 pagi yang mengambil masa tempoh kurang dari 2 minit.

Terdapat kelibat 2 individu beserta sebuah kereta yang digunakan dalam perbuatan tersebut.

Rakaman ini telah diserahkan kepada pihak polis dan saya juga telah memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

Pegawai penyiasat memaklumkan pihak polis mengambil serius kes ini sementara menyelesaikan kes-kes jenayah yang lain.

Setakat maklumat sehingga kini, motif perbuatan jenayah ini menjurus kepada intimidasi politik.

Kes ini diklasifikasikan sebagai perbuatan khianat dan ugutan di bawah Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan.

Pada masa yang sama, saya juga meminta kerjasama pihak polis untuk memastikan perjalanan Kongres AMK pada Jumaat minggu depan berjalan lancar.

Sebarang usaha untuk menimbulkan kekacauan atau kekecohan saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *