PERTEMUAN PIMPINAN AMK BERSAMA YAB TPM

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia telah mengadakan pertemuan rasmi bersama YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada 25 Februari 2019 bertempat di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Pertemuan ini telah diketuai oleh Ketua AMK Pusat, YB Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir dan disertai pimpinan exco dan ketua-ketua AMK negeri. Pertemuan telah berlangsung selama sejam dan telah membincangkan perkara-perkara berikut:

1. Laporan terkini pelaksanaan beberapa janji manifesto Pakatan Harapan di bawah KPWKM seperti insentif Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi melindungi kumpulan suri rumah di Malaysia;

2. Perbincangan isu-isu kemasyarakatan dalam kalangan rakyat Malaysia seperti masalah penagihan dadah di kalangan orang muda dan pelindungan serta kebajikan warga emas; dan

3. Peranan anggota-anggota AMK dalam menerangkan dan menyampaikan maklumat berkenaan dasar dan bantuan kerajaan Persekutuan kepada rakyat di bawah agar lebih efektif dan dekat dengan golongan sasar.

YAB Timbalan Perdana Menteri mengucapkan terima kasih atas pertemuan ini dan berharap sesi ini diteruskan pada masa depan.

YAB Timbalan Perdana Menteri percaya golongan anak muda memiliki idealism yang tinggi dan bakat pimpinan harus sentiasa digilap bagi menerajui negara di masa depan.

AMK komited untuk terus membantu rakyat dan akan terus menggunakan pertemuan rasmi bersama pemimpin kerajaan bagi tujuan menyampaikan maklumbalas rakyat kepada pimpinan kerajaan berkenaan dasar-dasar kerajaan.

AKMAL NASRULLAH BIN MOHD NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *