Perbezaan kos sara hidup dan inflasi

(BAHAGIAN 1)

Menurut Laporan BNM Suku Tahunan 2017, terdapat tiga faktor yang membezakan kos sara hidup dengan inflasi.

Pertama, kos sara hidup dan inflasi merupakan dua konsep yang berbeza. Inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP) dikira berdasarkan satu bakul barangan dan perkhidmatan yang mencerminkan corak penggunaan isi rumah Malaysia secara purata dan harga purata dalam ekonomi.

Setelah mengambil kira perbezaan corak perbelanjaan dan harga di pelbagai lokasi, inflasi IHP keseluruhan tidak akan mencerminkan dengan tepat kos sara hidup seseorang individu.

Kedua, walaupun IHP hanya mempertimbang perubahan tahunan harga barangan dan perkhidmatan, perbincangan mengenai isu kos sara hidup turut melibatkan aspek pendapatan.

Isi rumah menerima kesan daripada kenaikan kos sara hidup bukan hanya apabila kos meningkat bahkan apabila pendapatan mereka tidak meningkat sejajar dengan kenaikan kos, yang seterusnya menyebabkan kuasa membeli mereka berkurang.

Ketiga, persepsi orang ramai terhadap kenaikan harga juga berdasarkan pada beberapa pandangan berperasangka yang semulajadi. Ia mungkin disebabkan corak perbelanjaan setiap pengguna yang memiliki keperluan dan kehendak yang berbeza-beza.

Meskipun dalam persekitran inflasi yang rendah, rakyat masih merasakan bahawa kos sara hidup telah meningkat dengan drastik sejak beberapa tahun kebelakangan ini seperti yang digambarkan oleh inflasi anggapan PePI.

Prasangka ini diperkuatkan lagi dengan pengenalan cukai GST pada tahun 2014. Situasi yang lebih buruk dirasai di kawasan bandar di mana kadar inflasinya lebih tinggi berbanding peratusan peningkatan gaji setiap tahun.

Oleh itu, saya menyambut baik usaha terbaru kerajaan yang diumumkan oleh YB Menteri Kewangan untuk memperkenalkan Indeks Kos Sara Hidup bagi mengukur kos sara hidup sebagai kaedah membantu majikan menetapkan kadar gaji yang bersesuaian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *