Penubuhan Ombudsman ke arah Good Governance

Pada sesi Parlimen yang lalu, saya telah bertanya untuk mendapatkan perkembangan terbaru daripada Jabatan Perdana Menteri mengenai rancangan kerajaan untuk menubuhkan Ombudsman Malaysia, seperti yang dinyatakan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).

Buat masa ini, agensi yang bertanggungjawab untuk menerima dan merekod segala aduan daripada orang awam berkaitan agensi-agensi kerajaan di Malaysia dikenali sebagai Biro Pengaduan Awam (BPA) yang diletakkan di bawah kawal selia Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Liew Vui Keong, draf Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman Malaysia telah disediakan oleh Biro Pengaduan Awam untuk pertimbangan Jabatan Peguam Negara dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada bulan hujung tahun ini.

Ombudsman adalah pegawai yang dilantik untuk menerima dan menyiasat aduan-aduan berkaitan salah guna kuasa oleh eksekutif dan pentadbirannya. Sistem ini diwujudkan bertujuan untk mencapai keadilan dalam pentadbiran. Mana-mana orang awam yang mengadu telah mengalami ketidakadilan dalam layanan yang diterima daripada pegawai atau agensi kerajaan boleh melaporkannya kepada Ombudsman.

Oleh yang demikian, saya berharap RUU ini akan dapat dibentangkan pada sesi Parlimen yang akan mula bersidang bulan depan. Langkah ini akan memastikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan untuk mengukuhkan amalan ‘good governance’ dalam sistem pentadbiran.

Selain itu, saya yakin Ombudsman akan mampu bertindak sebagai mekanisma semak dan imbang (check and balance) bagi mengekang perbuatan salah laku guna kuasa dan penyelewangan di setiap peringkat pentadbiran ke arah membentuk kerajaan yang lebih telus dan adil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *