PENUBUHAN MAJLIS TINDAKAN EKONOMI LANGKAH TEPAT?

Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir memberi petunjuk bahawa kerajaan sekarang mengambil serius masalah kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

Pertama kali Majlis Tindakan Ekonomi ditubuhkan adalah pada tahun 1998 semasa negara terperangkap dalam krisis kewangan global yang telah memberi kesan kepada kebanyakan negara Asia waktu itu.

Masalah kos sara hidup boleh disimpulkan kepada dua perkara.

1. Gaji rendah
2. Harga barang tinggi

Harga barang tinggi di sini mungkin merujuk kepada harga rumah, harga barang keperluan asas, harga petrol atau minyak mentah, harga kenderaan dan sebagainya.

Contohnya, berdasarkan Laporan Indeks Harga Rumah Malaysia, pada suku ketiga 2017, harga purata untuk semua rumah di Malaysia mencecah RM410,050. Harga telah meningkat daripada RM385,201 (Q3 2016) dan
RM401,905 (Q2 2017). Walhal gaji graduan universiti masih kekal di paras RM2,000 sebulan!

Selain itu, artikel Dimensi Koop menunjukkan bahawa gaji di UK adalah tiga kali ganda nilainya lebih tinggi jika dibandingkan dengan Malaysia. Malah, seseorang individu di UK mampu membeli sebuah BMW berdasarkan gaji diterima tetapi di Malaysia, seseorang individu hanya mampu membeli kereta Viva dengan pinjaman bank.

Umum mengetahui bahawa Malaysia mengalami kadar kenaikan gaji yang rendah setiap tahun. Menurut Laporan Produktiviti 2015/16 yang secara jelas menunjukkan kadar kenaikan jumlah imbuhan kepada pekerja (dalam bentuk gaji, caruman dan pampasan) sebenarnya telah menurun dari 5.3% (2011) kepada 3.8% (2015).

Ini menunjukkan bahawa isu ekonomi adalah isu yang kompleks yang melibatkan pelbagai pemegang taruh.

Namun, adakah Kabinet sekarang boleh dikatakan gagal?

Saya merasakan persoalan itu terpulang kepada rakyat untuk menilainya.

Yang pasti, isu kos sara hidup adalah satu isu yang perlu ditangani bersama. Ia melibatkan ahli politik (penggubal dasar), majikan, pemilik perniagaan, pelabur dan sebagainya.

Dasar ekonomi tidak boleh digubal sewenang-wenangnya kerana boleh menyebabkan gangguan kitaran ekonomi yang tidak diingini yang boleh membawa kesan yang lebih buruk.

Kerajaan Pakatan Harapan mempunyai masa lima tahun untuk membuktikan kepada rakyat kemampuan menangani masalah kos sara hidup ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *