Penglibatan anak muda dalam Revolusi 4.0

Mendepani Revolusi Perindustrian 4.0, saya cuba mendapatkan pandangan daripada Kementerian Pendidikan berkaitan inisiatif-inisiatif yang telah dijalankan khususnya di peringkat sekolah bagi menggalakkan penglibatan golongan belia dan anak muda dalam dunia keusahawanan Industri 4.0.

Berdasarkan maklum balas Kementerian, di peringkat sekolah, KPM telah memperkenalkan mata pelajaran Pengajian Keusahawanan sebagai mata pelajaran elektif bagi murid Tingkatan 4 dan 5 di sekolah menengah teknik. Antara tajuk yang dimasukkan dalam mata pelajaran ini ialah Keusahawanan Digital yang menjurus kepada keusahawanan industri 4.0. Tajuk ini memberi pendedahan kepada murid berkaitan perisian aplikasi, keusahawanan digital dan perundangan serta mengaplikasikan platform teknologi digital dalam pemasaran.

Selain itu, pembangunan Kurikulum Standard Kolej Vokasional turut mengambil kira keperluan Revolusi Industri 4.0. Elemen inovasi dan kreativiti diberi keutamaan dalam penyampaian kurikulum di kolej
vokasional. Aspek inovasi dan kreativiti ditonjolkan dalam projek-projek inovasi yang dilaksanakan di kolej vokasional.

Sebagai contoh, pelaksanaan Smart classroom, projek terbaharu kolej vokasional pertanian adalah melaksanakan Smart Agriculture bersama pemain industri. Melalui projek ini, usaha untuk melahirkan peladang yang berkemahiran, berteknologi tinggi dan usahawan tani yang berjaya di kalangan anak muda dapat dipercepatkan menggunakan kemudahan dan kepakaran daripada pemain industri.

Di peringkat institusi pendidikan tinggi (IPT), penekanan terhadap bidang keusahawanan dijadikan salah satu fokus dalam Lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 iaitu untuk melahirkan graduan yang holistik, keusahawanan dan seimbang.

Program keusahawanan di bawah inisiatif ini, dilaksanakan melalui tiga (3) fasa iaitu membudaya (enculture), mengukuh (empower) dan
melengkapi (equip) yang melatih pelajar untuk menguruskan sumber dan kewangan serta berkomunikasi dengan baik, berdaya tahan, mempunyai lokus kawalan diri (internal locus control), berupaya menguruskan risiko dan yakin dengan keupayaan diri.

Kerjasama strategik dengan industri dan agensi pembangunan keusahawanan seperti Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK), SME Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia), Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dan CELCOM turut diperkukuhkan dalam memastikan pelajar yang mempunyai kecenderungan keusahawanan mendapat bimbingan sewajarnya untuk memula, membangunkan dan melengkapkan perniagaan mereka khususnya dalam bidang-bidang terkini selaras dengan keperluan industri 4.0 seperti eCommerce, FinTech, logistik, big data, robotic engineering dan Internet of Things.

Saya berharap usaha secara kolektif seperti ini dapat diteruskan antara kerajaan dan industri bagi melahirkan sebuah kominiti usahawan Industri 4.0 yang berdaya saing. Ini sejajar dengan hasrat kerajaan dalam membudayakan keusahawanan dalam kalangan masyarakat bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *