Pendedahan nama pemberi maklumat YaPEIM

Saya merujuk kepada laporan The Malaysian Insight bertarikh 11 Mei 2019 berkenaan satu laporan penstrukturan semula Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang antara lainnya mengesahkan kebenaran pendedahan demi pendedahan mengenai penyelewengan dan ketirisan YaPEIM pada tahun 2015.

Saya amat berterima kasih kepada pemberi-pemberi maklumat yang telah mengambil risiko menyalurkan maklumat yang tepat kepada National Oversight and Whistleblowers (NOW) dan juga terima kasih kepada rakyat Malaysia yang memilih peralihan kuasa kerajaan yang sekaligus membolehkan skandal-skandal rasuah disiasat.

Selain itu, laporan tersebut turut membuktikan bahawa skandal YaPEIM yang berlaku sebelum ini lebih teruk daripada yang disangka.

Umum mengetahui bagaimana wang tersebut disalahguna oleh mereka yang terbabit ke luar negara, pembelian alat golf simulator dan bayaran gaji serta bonus yang melampau kepada diri masing-masing, pendedahan laporan terbaru ini pula menunjukkan penyelewengan turut berlaku dalam urusan perniagaan seperti Ar-Rahnu dan pembelian syer syarikat yang tidak menguntungkan.

Saya yakin tindakan-tindakan tersebut merupakan perbuatan jenayah yang sudah semestinya melanggar undang-undang.

Mereka yang terlibat sewajarnya diambil tindakan yang sekeras-kerasnya dan mereka wajib memulangkan semula segala wang dan imbuhan yang diselewengkan.

YaPEIM merupakan sebuah yayasan berkebajikan yang bergantung kepada sumbangan orang ramai terutamanya kakitangan kerajaan yang bertujuan mahu membantu golongan yang memerlukan seperti anak yatim dan fakir miskin.

Sudah menjadi harapan agar YaPEIM dipulihkan kembali kepada tujuan asal dan perlu mempunyai kebertanggungjawaban dan integriti kepada para penyumbang, maka struktur yayasan ini perlu direformasikan sepenuhnya supaya skandal sebegini tidak berulang.

Saya juga menyeru pihak kerajaan, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (yang perlu dipinda), majikan, pekerja dan masyarakat umum dapat memberi pengiktirafan kepada mereka yang mengambil risiko sebagai pemberi maklumat.

Saya bersedia mendedahkan identiti sebenar pemberi maklumat yang menyalurkan bukti-bukti skandal penyelewengan YaPEIM sekaligus menyelamatkan yayasan tersebut, sekiranya mereka ini diberikan perlindungan dan penghormatan yang sewajarnya.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *