PEMEGANG IJAZAH PALING RAMAI TAKDE KERJA!?

Saya ingin menarik perhatian masyarakat kepada realiti sebenar yang dihadapi oleh golongan graduan universiti di Malaysia.

Walaupun kadar pengangguran nasional menunjukkan kadar yang rendah di bawah paras 4.0%, ia tidak memberikan gambaran sebenar kesukaran yang dihadapi oleh golongan belia dalam mendapatkan pekerjaan.

Perkara ini harus dibincangkan secara serius memandangkan isu pengangguran graduan daripada segi peratusan agak tinggi; antara 22% hingga 25%.

Kebimbangan ini perlu diberi pertimbangan sewajarnya kerana dikhuatiri isu pengangguran akan semakin meningkat ekoran kelembapan ekonomi dunia semasa yang dijangka berterusan.

Tahun Jumlah graduan
menganggur (orang)
Jumlah graduan
menganggur (%)                    
Jumlah graduan IPT
2010 42,918 24.6 224,752
2011 44,430 24.0 236,557
2012 53,690 25.6 249,702
2013 55,228 25.0 259,359
2014 52,219 24.9 254,161
2015 54,852 23.9 273,373
2016 51,247 22.8

Masalah pengangguran bellia adalah masalah biasa yang dialami oleh kebanyakan negara di seluruh dunia. Kadar pengangguran belia di Malaysia pada tahun 2017 adalah sebanyak 10.8%, iaitu berada di belakang Indonesia (15.6%) dan China (10.8%). Namun begitu, jumlah ini adalah lebih tinggi daripada Singapura (4.6%), Thailand (5.9%), Vietnam (7.9%) dan India (10.5%).

Tenaga kerja belia lebih banyak terdiri daripada mereka yang mempunyai pencapaian pendidikan yang lebih rendah. Bagi belia berumur 15-24 tahun, hanya 16% mencapai pendidikan tertiari, manakala baki 84% pencapaian pendidikan paling tinggi bagi mereka ialah peringkat menengah (Profil bagi keseluruhan tenaga kerja: Pendidikan tertiari: 28%; Rendah, menengah dan tiada pendidikan formal: 72%).

Yang nyata, belia yang berpendidikan tertiari merupakan kumpulan yang lebih besar dalam kelompok belia yang menganggur (23% daripada jumlah keseluruhan belia yang menganggur). Apa yang membimbangkan ialah kadar pengangguran dalam kalangan belia yang berpendidikan tinggi adalah lebih tinggi, pada 15.3%, berbanding belia yang tidak berpendidikan tertiari iaitu 9.8%. Angka ini menunjukkan tidak banyak pekerjaan berkemahiran tinggi yang dihasilkan oleh industri walaupun negara mensasarkan peningkatan produktiviti dan penujuan ke arah negara berpendatan tinggi.

Pemerhatian ini jelas berbeza daripada pemahaman ekonomi mengenai peningkatan pulangan pencapaian pendidikan, dan juga bertentangan dengan pengalaman ekonomi maju.

Perkembangan dalam pengangguran siswazah ini telah menimbulkan beberapa persoalan dasar yang utama berhubung dengan peningkatan kualiti dan kesesuaian sistem pendidikan sebagai persediaan untuk menghadapi industri yang semakin berubah, jenis pekerjaan yang diwujudkan dan kesediaan modal insan, serta langkah-langkah meningkatkan pemadanan dalam pasaran pekerja dan mengurangkan asimetri maklumat tentang keperluan kemahiran oleh industri.

Berdasarkan rajah di atas, jelas menunjukkan trend yang berbeza daripada segi tenaga kerja bagi negara membangun dan negara maju. Jikalau dilihat di negara maju, golongan belia yang menganggur kebanyakannya terdiri daripada mereka yang tidak mendapat pendidikan tertiari. Hal ini berbeza dengan negara-negara membangun. Kebanyakan jenis pekerjaan yang dihasilkan diisi oleh pekerja-pekerja separuh mahir dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan pengangguran golongan graduan universiti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *