Pemecahan monopoli BERNAS manfaat pengguna

Sebelum ini saya pernah membangkitkan isu monopoli BERNAS dalam industri padi dan beras di Malaysia melalui langkah penswastaan yang dilaksanakan untuk mengambil alih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara.

Amalan monopoli dalam sesebuah sektor ekonomi boleh merencatkan daya saing industri bagi menawarkan barang dan perkhidmatan yang lebih baik, yang akhirnya pengguna akan menanggung kerugian tersebut.

Menurut Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, terdapat 2 fasa dalam membangunkan Model Baharu Pengurusan Industri Padi dan Beras.

Fasa 1 (Soft Landing) ialah bagi tempoh 2019 sehingga 2020 dan Fasa 2 iaitu selepas tamat tempoh konsesi di antara Kerajaan dan BERNAS pada 10 Januari 2021.

Pada peringkat Fasa 1 ini, fokus Kementerian adalah melihat keseluruhan aspek berhubung Perjanjian Konsesi BERNAS menerusi kajian keseluruhan yang sedang dilaksanakan melibatkan kerjasama juru perunding daripada pihak World Bank dan pakar tempatan (local expertise). Kajian ini dijangka akan selesai pada suku pertama tahun 2020.

Selain itu, kajian juga dijalankan terhadap kesan penamatan Perjanjian Konsesi BERNAS di sepanjang rantaian industri terdiri yang terdiri daripada pesawah, pengilang, pemborong, peruncit dan pengguna bagi memastikan industri ini terus dinamik dan berdaya saing serta memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya.

Jangkaan manfaat ekonomi yang diperolehi dengan memperkukuhkan semula rantaian industri terhadap petani adalah peningkatan pendapatan petani.

Manakala di peringkat pengusaha industri tempatan akan mewujudkan industri yang lebih kompetitif dan lebih berdaya saing seterusnya memberi manfaat kepada kumpulan pengguna dengan memastikan bekalan beras yang mencukupi, berkualiti dan harga yang stabil.

Oleh yang demikian, saya berharap pemecahan monopoli BERNAS secara keseluruhannya akan memberikan kebaikan kepada semua pihak khususnya pengguna untuk mendapatkan kualiti dan harga beras yang terbaik.

Selain itu, golongan petani juga bakal memperoleh manfaat melalui peningkatan pendapatan hasil daripada pewujudan industri yang lebih berdaya saing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *