Bicara Anak Muda di Pulau Pinang & Kedah bersama AMK

3 Ogos

Alhamdulillah malam semalam berada di Pulau Pinang untuk satu program dialog santai bersama AMK P.Pinang dan anak-anak muda tempatan.

Dalam pertemuan tersebut, saya mengajak rakan-rakan untuk menggunakan saluran politik untuk berkhidmat dan menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat.

Rugi kalau kita hanya menghabiskan masa berpolitik semata-mata tanpa membawa manfaat kepada masyarakat sekeliling, lebih-lebih lagi selepas membentuk kerajaan.

Terima kasih kepada mereka yang telah hadir bersama. Bermacam-macam soalan dilontarkan ha3 InsyaAllah kita akan berjumpa lagi.

4 Ogos

Malam semalam bersama dengan rakan-rakan daripada Angkatan Muda Keadilan Negeri Kedah pula di Alor Setar. Ada juga dari Perlis yang turut serta bersama.

InsyaAllah saya akan turun ke negeri-negeri sebagai lanjutan daripada latihan AMK Reformasi baru-baru ini.

Kita akan pastikan idealisme perjuangan Keadilan kekal teguh dalam sayap pemuda walaupun telah menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Dialog bersama pelajar IKTBN Bukit Mertajam

Petang tadi saya berdialog bersama para pelajar IKTBN Bukit Mertajam, Pulau Pinang mengenai #Undi18.

Kita jumpa meminta Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk turut menjadi panelis bagi menyampaikan pandangan pelajar selain sesi soal jawab.

Saya mengingatkan adik-adik kita mengenai hak mereka sebagai rakyat Malaysia untuk menentukan masa depan negara dan mencadangkan agar pendirian mereka berdasarkan nilai-nilai idealisme yang jelas seperti jujur, melawan rasuah dan mengangkat suara anak muda.

Kelazimannya anak muda memang mempunyai pandangan kritikal kerana mereka mahukan sesuatu keadaan bertambah baik.

Maka orang politik kenalah peka dan ambil peduli suara anak muda.

Majlis Pra Pelancaran Program Tabung Makanan

Semalam telah berlansung Majlis Pra Pelancaran Program Tabung Makanan yang dipacu oleh Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru di Dewan Serbaguna Jalan Merdeka, Kg Melayu Majidee.

Saya sempat bersama Pengarah KPDNHEP Negeri Johor, Encik Mohd Hairul Anuar bin Bohro, Ketua Seksyen Kepenggunaan, Puan Nurul Alia Bustamam, ADUN Larkin, YB Izhar Ahmad dan Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri Johor, saudara Naim Jusri menyerahkan barangan tabung makanan kepada lebih 70 orang penerima yang layak.

Turut hadir di dalam majlis tersebut ialah Ahli-Ahli Majlis setempat dan juga Ketua Kampung di dalam kawasan Parlimen Johor Bahru.

Program sulung Latihan AMK Reformasi

Alhamdulillah saya bersama-sama dengan pimpinan AMK dari seluruh negara telah meluangkan hujung minggu kami dengan menggilap idealisme perjuangan.

Dalam keadaan masing-masing sibuk dengan komitmen kepada masyarakat dan keluarga, setelah sekian lama merancang akhirnya kami berjaya berkumpul sebagai sebuah keluarga besar.

Saya menghormati mereka sebagai rakan kongsi dalam memimpin akar umbi dan fokus kami adalah agar semangat Reformasi dapat terus diterapkan di kalangan anak muda.

Kepada AMK di luar sana, bolehlah mendapatkan perkongsian dan maklumat dengan pimpinan negeri dan cabang yang turut serta.

Saya ucapkan terima kasih kepada DS Anwar Ibrahim, DS Saifuddin Nasution, sdr Rafizi Ramli dan Dato Johari Abdul yang sudi meluangkan masa dan berkongsi pengalaman serta ilmu kepimpinan.

Juga kepada Dr Rahim Ghouse, sdr Che Zam dan Ustaz Hakim yang memberikan input daripada perspektif aktivis, strategi dan latihan.

Ternyata cabaran sebagai anak muda yang mendokong kerajaan adalah jauh bezanya dengan gerakan pembangkang.

Insyallah kita akan cuba susun untuk latihan sebegini bagi peringkat yang seterusnya.

Akmal Nasir
Ketua AMK Malaysia

#AMKreformasi
#AngkatanMuda

Tanjung Malim bakal menjadi Bandar Integrasi TVET

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, sebuah bandar integrasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan dibangunkan di Tanjung Malim, Perak atas tanah milik kementerian. Kawasan tersebut seluas 24.28 hektar.

Bandar ini merangkumi universiti, kawasan industri dan pusat penjanaan inovasi bagi memartabatkan bidang TVET pada masa akan datang. Pemilihan lokasi tersebut adalah wajar memandangkan berhampiran dengan kilang perusahaan Proton dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Berkemungkinan besar sebuah universiti TVET akan diwujudkan di kawasan tersebut. Segala-galanya bergantung kepada kejayaan program atau inisiatif yang dilaksanakan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Saya berpendapat ini adalah satu perkembangan yang baik bagi sektor TVET. Saya juga berharap sistem pensijilan TVET akan dapat diperkemaskan lagi supaya dapat diangkat setaraf dengan sijil keluaran universiti.

Melalui cara ini, sijil TVET akan mampu memberikan pulangan gaji yang lebih menarik yang seterusnya dapat menarik minat lebih ramai belia dan anak muda untuk berkecimpung dalam industri berasaskan kemahiran.

Perjumpaan bersama Majlis Belia Malaysia

Pada hari Selasa yang lalu, Majlis Belia Malaysia (MBM) telah mengajak saya untuk berbincang mengenai pembangunan belia negara dan juga hal-hal berkaitan ekoran perubahan ketetapan had umur belia yang telah dibuat.

Pada masa ini, MBM sedang menjalani proses penstrukturan semula dari segi kepimpinan organisasi dan kewangan bagi menjamin kelangsungan pertubuhan belia ini yang telah wujud selama 69 tahun.

Saya telah memberikan pendapat dan cadangan dalam usaha untuk memperkasakan lagi MBM bagi memenuhi objekfif pembangunan anak muda di Malaysia.

Saya berharap MBM akan dapat terus memainkan peranan yang lebih efektif kepada warga belia negara dan melahirkan barisan kepimpinan pelapis yang muda dan berwawasan selari dengan garis had umur baru yang telah ditetapkan.

Perjumpaan santai bersama AMK Pulau Pinang

Semalam, meraikan AMK P.Pinang yang dipimpin sdr Fahmi Zainol dan sdr Adzlan petang tadi.

Alhamdulillah perbincangan yang bermanfaat dari segi menggarap sokongan anak muda di luar sana dan juga perkemaskan jentera AMK.

Insyallah kita akan terus bina pelapis walaupun kita sudah menjadi kerajaan negeri lebih dua penggal.

Pesanan utama saya adalah soal displin dalam perjuangan dan kekal dengan agenda Reformasi.

Program e-dagang bantu turunkan harga barang

Pelbagai langkah sedang dilakukan kerajaan dalam usaha untuk membantu rakyat menangani masalah kos sara hidup.

Terbaru, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), sedang membangunkan sistem e-dagang.

Program ini sedang dibangunkan oleh pasukan khas KPDNHEP dan akan dipantau dari semasa ke semasa bagi meneliti kemajuan pembangunan sistem tersebut.

Kewujudan program e-dagang bakal menjadi platform penjualan terus barangan daripada penjual kepada pengguna tanpa melalui orang tengah.

Penggunaan orang tengah sehingga beberapa lapisan sebelum ini merupakan punca harga barang dijual pada harga yang mahal sebelum sampai ke peringkat pengguna.

Bagi menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, perlaksanaan program e-dagang adalah berdasarkan kepada kejayaan syarikat e-dagang China yang mampu menjual pelbagai barangan keperluan dan runcit dengan harga yang murah bagi kegunaan domestik.

Kempen pemilikan rumah diteruskan

Sungguhpun Kempen Pemilikan Rumah/Ownership Campaign (HOC) 2019 telah tamat pada 30 Jun lalu, kerajaan telah melanjutkan semula program ini untuk tempoh 6 bulan lagi.

Ia bertujuan untuk membantu golongan muda untuk berpeluang memiliki rumah. Perlanjutan program ini berkuatkuasa bermula dari 1 Julai sehingga 31 Disember 2019.

Program ini merupakan usahasama antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Di samping membantu golongan muda memiliki rumah, program ini bertujuan untuk mengurangkan jumlah hartanah yang tidak terjual di dalam pasaran.

Berdasarkan program HOC, hanya hartanah yang telah dilancarkan atau siap dibina untuk tahun 2019 sahaja akan menerima manfaat.

Rumah pasaran sekunder seperti dibeli daripada rakan, ahli keluarga atau mana-mana pihak lain tidak layak untuk kempen HOC.

Pengecualiaan duti setem (untuk SPA dan MOT) akan diberikan kepada rumah berharga RM300,000 hingga RM1 juta. Pembeli rumah juga akan menikmati diskaun tambahan 10% pada harga pembelian.

Program Santai bersama AMK Melaka

Pada hari Ahad yang lepas, saya telah turun ke Melaka bagi memenuhi jemputan Angkatan Muda Keadilan Melaka untuk program Santai AMK Melaka.

Alhamdulillah, Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga turut sempat meluangkan masa bersama-sama pimpinan dan ahli-ahli AMK Melaka untuk berkongsi pendapat dan cerita di samping mengukuhkan lagi idealisme Reformasi yang dipegang selama ini.

Terima kasih kepada Sdr Prasanth dan pimpinan di atas penganjuran program ini. Semoga bermanfaat bagi membantu menyusun program dan strategi bagi membangunkan anak muda di Melaka dan mengukuhkan lagi pergerakan AMK Melaka.