Inisiatif Usahawan Parlimen Johor Bahru

Alhamdulillah, stainless steel stall untuk Idaman Corner telah sampai malam tadi. Pemindahan penjaja-penjaja depan Maslee ke kawasan sini.

Fasa perubahan landskap Larkin Idaman dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru.

InsyaAllah kita akan mula perancangan untuk fasa kedua tidak lama lagi di Larkin dan Kg Melayu. Terima kasih kepada yang membantu.

Aktiviti setempat di Parlimen Johor Bahru

Semalam saya telah dijemput untuk merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan SK Sri Tebrau yang ke 26.

Gembira melihat semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh adik-adik SK Sri Tebrau. Adat pertandingan – ada yang gembira atas kemenangan, ada yang kecewa atas kekalahan.

Sukan sememangnya satu aspek yang penting dalam kehidupan. Bukan sahaja menjamin kesihatan mental dan fizikal, ia juga mampu merapatkan hubungan anggota masyarakat yang berbilang kaum.

Terima kasih kepada SK Sri Tebrau atas jemputan. Saya berharap semangat kesukanan akan terus mekar dalam diri pelajar-pelajar SK Sri Tebrau.

Yassin dan tahlil bersama dengan jemaah Masjid Kg Dato’ Suleiman Menteri, Johor Bahru.

Terima kasih atas layanan mesra dan sambil-sambil berkongsi perkembangan terkini.

Perjumpaan bersama usahawan muda Dropee.com

Semalam saya telah sempat meluangkan masa bersama seorang lagi usahawan muda tempatan bernama Aizat, baru sahaja berumur 29 tahun.

Kagum dengan startups beliau yakni Dropee.com. Model perniagaan digital berasaskan Business To Business yang telah banyak membantu peruncit-peruncit khususnya di luar bandar untuk membeli barangan dengan harga yang lebih murah.

Walaupun usia perniagaan baru beberapa tahun, namun prestasi perniagaannya cukup memberansangkan.

Banyak perkara yang telah saya pelajari. InsyaAllah terdapat beberapa potensi kerjasama yang boleh dijalin khusus untuk pembangunan komuniti masyarakat setempat.

All the best to Team Dropee.com!

Dua Kementerian bergabung pulihkan Felda

Felda oh Felda.

Menyedari kemelut kewangan Felda yang semakin meruncing hari ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Gabungan dua kementerian ini bakal memperuntukkan sebanyak RM 1 bilion bagi melaksanakan projek tanaman jangka pendek untuk memulihkan pendapatan Felda.

Projek tanaman jangka pendek akan berpotensi menjana aliran tunai dengan cepat dan konsisten, seterusnya mampu meningkatkan pendapatan Felda.

Beberapa jenis tanaman jangka pendek seperti sayur-sayuran dan buah-buahan yang akan mengurangkan kebergantungan kepada hasil kelapa sawit semata-mata.

Dalam masa yang sama ia bertujuan meningkatkan pengeluaran makanan, menambah eksport dan mengurangkan kebergantungan kerajaan kepada makanan-makanan import.

Usaha ini perlu dilaksanakan memandangkan industri kelapa sawit bergantung kepada pasaran dunia yang tidak menentu, terdedah kepada pelbagai risiko seperti permintaan yang rendah daripada negara pengimport, sekatan perdagangan daripada negara Eropah dan harga minyak mentah (CPO) yang tidak stabil.

Saya berharap usaha ini akan membantu meletakkan Felda kembali sebagai sebuah institusi kerajaan yang berdaya saing dan disegani. Ini seterusnya akan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi keluarga-keluarga Felda yang majoritinya terdiri daripada golongan Bumiputera.

Tingkat daya pengeluaran untuk kawal harga makanan

Dalam Perbahasan Titah Diraja 2019 sesi Parlimen yang lalu, saya telah membangkitkan isu Approved Permit (AP) yang mungkin menjadi salah satu punca kenaikan harga barang disebabkan monopoli perniagaan.

Menurut Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, AP bukanlah punca kenaikan harga makanan. Sebaliknya, AP memainkan peranan utama seperti memenuhi ketidakcukupan pengeluaran dalam negara dan supaya pengguna mendapat harga yang berpatutan dan stabil.

Antara punca kenaikan harga makanan adalah permintaan yang tinggi melebihi penawaran semasa sesuatu bahan makanan yang mungkin disebabkan oleh pengeluaran yang rendah akibat kejadian cuaca melampau seperti kemarau atau banjir dan serangan penyakit.

Saya berpendapat kebergantungan Malaysia terhadap barang import makanan juga menjadi salah punca utama kenaikan harga makanan yang sukar untuk dikawal. Ditambah pula dengan pasaran global yang tidak menentu dan nilai mata wang Ringgit.

Oleh itu, untuk kesan jangka panjang yang lebih berkesan, saya berharap kerajaan dapat mengambil inisiatif untuk meningkatkan nilai pengeluaran makanan dalam negeri. Contohnya, inisiatif seperti NFC sebelum ini yang bertujuan untuk pengeluaran daging lembu dalam negeri.

Ini akan membolehkan kerajaan mengawal harga barang makanan seperti keperluan makanan asas (ayam, ikan, sayur-sayuran dll) yang menjadi faktor kepada isu kos sara hidup.

Townhall Anak Muda bersama DS Anwar Ibrahim

Terima kasih kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang sudi meluangkan masa bersama anak muda Johor Bahru pada Sabtu lepas dalam satu sesi town hall.

Banyak perkara telah dibincangkan berkaitan pembangunan anak muda khususnya. Terdapat juga beberapa isu berbangkit berkaitan peluang pekerjaan, ekonomi digital dan perkembangan politik semasa yang diutarakan oleh anak muda yang hadir.

InsyaAllah semoga sesi town hall ini menjadi titik permulaan bagiAngkatan Muda Keadilan Johor melaksanakan kerja-kerja pembangunan anaka muda melalui kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan setempat.

Sesi bersama penduduk di Pusat Khidmat Rakyat

Pada hari Jumaat lalu, saya telah meluangkan masa di pejabat Pusat Khidmat Rakyat untuk berjumpa dan berbincang dengan beberapa warga Johor Bahru mengenai permasalahan setempat.

Pelbagai jenis aduan diterima dan diteliti bersama. Turut berbincang hal-hal bagi menambah baik kawasan Parlimen Johor Bahru untuk diutarakan kepada pihak berwajib.

Terima kasih kepada yang sudi hadir meluangkan masa ke pejabat.

Beli di kedai i-KeeP untuk harga lebih murah!

Beli barang dapur di kedai-kedai ni untuk harga yang lebih murah!

Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melancarkan Kedai Ekonomi Pengguna (I-KeeP) di seluruh negara.

Program ini membantu pengguna mendapatkan barangan keperluan harian pada harga yang lebih rendah iaitu sebanyak 3 hingga 20% berbanding harga pasaran!

Perbadanan Nasional Berhad (PNS) akan sentiasa memantau barangan yang dijual di premis-premis I-Keep bagi memastikan harga barangan kekal pada paras harga berpatutan selain memastikan bekalan barangan mencukupi.

Pihak KPDNHEP telah menyenaraikan kedai I-Keep seluruh negara berserta alamat. Boleh klik sini

Saya akan cuba cadangkan agar beberapa pasaraya di Johor Bahru dapat dimasukkan di bawah program i-KeeP ini.

Nisbah gaji menurun dalam tempoh 10 tahun lepas

(Bahagian 2)

Baca Bahagian 1 di sini

Kesannya, nisbah gaji dengan nilai tambah dalam bidang pembuatan dianggarkan berkurang daripada 36% pada tahun 2000 kepada hanya 26% pada tahun 2010. Situasai ini adalah tidak adil kepada pekerja. Pendapatan syarikat meningkat tetapi pembahagian kepada tenaga buruh masih kekal rendah.

Merujuk kepada perbandingan dengan negara-negara lain, pertumbuhan produktiviti Malaysia mendahului negara maju seperti Luxembourg, Amerika Syarikat, Jepun, Australia dan Singapura. Walau bagaimanapun, Malaysia masih ketinggalan jika dibandingkan daripada segi tahap produktiviti.

Tahap produktiviti Malaysia sama ada dalam output bagi setiap bilangan pekerja atau output bagi setiap jam bekerja adalah yang tertinggi di antara negara Asia terpilih. Namun, daripada segi pertumbuhan produktiviti, Malaysia adalah lebih perlahan berbanding China, India, dan Filipina.

RMKe-11 telah menetapkan sasaran minimum pertumbuhan produktiviti buruh tahunan sebanyak 3.7% dan tahap produktiviti pada RM92,300 menjelang 2020. Lima teras strategik telah dirumuskan sebagai asas cadangan untuk meningkatkan produktiviti.

Lima teras strategik itu adalah menghasilkan tenaga kerja masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, memastikan akauntabiliti industri terhadap produktiviti, membentuk ekosistem yang teguh dan menentukan mekanisme pelaksanaan yang padu.

Kerajaan perlu memastikan bahawa peningkatan produktiviti perlu diterjemahkan kepada pemberian gaji setimpal kepada golongan pekerja. Pihak majikan khususnya perlu bertindak adil dalam pembahagian kekayaan di samping menggalakkan penghasilan pekerjaan berkemahiran tinggi yang lebih banyak.

Pertumbuhan gaji pekerja lambat, tidak seiring produktiviti

(Bahagian 1)

Laporan Produktiviti 2017/2018

Berdasarkan carta di atas, dapat dilihat bahawa pertumbuhan produktiviti negara adalah pada tahap yang baik. Malaysia mensasarkan pertumbuhan sebanyak 3.7% pada tahun 2018.

Peningkatan gaji yang setimpal sering kali dikaitkan dengan pertumbuhan produktiviti. Namun begitu, menurut Dr. Muhammed Abdul Khalid, peningkatan gaji tidak seiring dengan kadar pertumbuhan produktiviti yang tinggi.

Contohnya, dalam sektor perkilangan Malaysia pada dekad lepas, produktiviti buruh bertumbuh pada purata 5% setiap tahun, tetapi purata sebenar gaji perkilangan berkembang pada kadar yang jauh lebih lambat iaitu hanya 2.4%.

Jika dilihat pada tempoh antara tahun 1998 dan 2007, pengeluaran bagi setiap pekerja dalam sektor perkilangan meningkat lebih kurang 180% tetapi peningkatan gaji pada jangka waktu yang sama meningkat hanya 73%.

Peningkatan produktiviti di Malaysia biasanya dipacu oleh penggunaan teknologi automasi bagi menggantikan tenaga kerja manusia. Penerapan teknologi tinggi dalam industri perkilangan contohnya telah membantu meningkatan pengeluaran dan menambah pendapatan.

Namun begitu, pertumbuhan produktiviti jarang sekali dikaitkan dengan penghasilan jenis pekerjaan berkemahiran tinggi yang lebih melibatkan inovasi. Oleh yang demikian, walaupun dengan angka pertumbuhan produktiviti yang memberansangkan, jenis-jenis pekerjaan yang wujud masih lagi berkemahiran rendah dan sederhana.