PELANCARAN PROGRAM ZIARAH CAKNA

Pada hari Ahad yang lepas, saya telah diberi peluang untuk bersama-sama dalam majlis Pelancaran Program Ziarah Cakna peringkat Daerah Johor Bahru 2019.

Terima kasih kepada Pejabat Pendidikan Daerah yang memberi ruang kepada saya untuk bersua muka dengan keseluruhan Pengetua, Guru Besar dan YDP PIBG.

Cabaran warga pendidik yang bukan sahaja perlu memastikan pencapaian akademik yang cemerlang, tetapi juga memastikan sahsiah yang terpuji dan tiada pelajar yang tercicir.

Moga guru-guru terus diberikan kekuatan untuk membina masa depan negara kita. Respek!

PERASMIAN PUSAT KHIDMAT RAKYAT JOHOR BAHRU

Pada hari Sabtu yang lepas, acara perasmian Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru telah berjaya disempurnakan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Kami berasa berbesar hati menerima kunjungan daripada YAB Timbalan Perdana Menteri ke Johor, khususnya Johor Bahru.


Terima kasih kepada semua yang membantu & hadir menjayakan majlis. Seronok bila lihat ramai penggerak sebelum dan selepas PRU yang terus bersemangat untuk berkhidmat kepada masyarakat!

Pada masa yang sama, kami juga sempat memperkenalkan kepada YAB TPM satu organisasi bukan kerajaan khusus untuk membantu golongan wanita yang ingin menjalankan perniagaan.

Persatuan Mesra Wanita – Perawan┬átelah ditubuhkan di Johor Bahru dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat bagi membantu kaum wanita meningkatkan taraf hidup selaras dengan matlamat dan hasrat kerajaan memperkasakan peranan wanita di dalam sektor perniagaan.

Antara matlamat utama PERAWAN adalah untuk memperkasakan wanita ke dalam arus perdana pembangunan negara dan memberi peluang untuk wanita mencapai potensi dalam semua bidang.

Oleh itu, saya ingin menjemput para wanita khususnya di Johor Bahru yang berminat untuk menjalankan perniagaan untuk menyertai persatuan ini.InsyaAllah pelbagai program akan diatur bagi merancakkan aktiviti ahli-ahli di samping medapatkan sokongan agensi-agensi kerajaan tempatan.

Jemput “Like” facebook page Persatuan Mesra Wanita – Perawan dan sebarkan maklumat ini kepada seramai yang mungkin.

Jangan risau, ini bukan skim MLM! Ha3

SKIM PERLINDUNGAN NASIONAL B40 (mySALAM)

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah melancarkan mySalam yang menyediakan perlindungan takaful kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang menerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR).

Inisiatif oleh Kerajaan Persekutuan ini adalah untuk membantu golongan B40 menangani kesulitan kewangan yang timbul akibat kemasukan ke wad hospital kerajaan atau ditimpa salah satu daripada 36 penyakit kritikal yang tidak diduga.

Kerajaan menjangkakan seramai 3.69 juta rakyat yang berumur 18 sehingga 55 tahun layak menerima manfaat daripada skim itu.

Diharap inisiatif ini dapat meningkatkan akses kesihatan yang lebih luas kepada masyarakat khususnya golongan B40. Kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan rakyat dapat menikmati perubatan kesihatan yang baik dan ini sudah semestinya satu usaha yang boleh dibanggakan.

RAI KANAK-KANAK ISTIMEWA & THAIPUSAM

Pada hari Sabtu yang lepas 19 Januari, saya telah turut bersama-sama meraikan kanak-kanak istimewa terutamanya daripada SK Larkin 2 Johor Bahru atas inisiatif kelab penyokong Liverpool – All Red Ones di Plaza Leisure Mall, Taman Pelangi.

Mengikut mereka yang ada pengalaman, sukan seperti bowling boleh menjadi terapi kepada kanak-kanak istimewa ini. Saya sempat bowling dua kali, cukup sekadar saya nyatakan bola tak masuk longkang haha.

Walaupun ada cubaan untuk mempengaruhi saya untuk sokong Liverpool, saya bukan jenis sokong bila team tersebut tengah leading.

Saya berasa sangat berbesar hati kerana diberi peluang untuk turut serta dalam program ini. Diharap program seperti dapat terus dianjurkan untuk memberi keceriaan kepada kanak-kanak istimewa ini.

Sempena sambutan Thaipusam pula pada hari Isnin, DYMM Tuanku Sultan mencemar duli hadir ke sambutan Thaipusam di Kuil Arulmigu Thendayuthapani, Johor Bahru.

Sambutan perayaan seperti ini memberikan peluang kepada kita untuk meraikan masyarakat majmuk dan seterusnya memupuk sikap saling hormat-menghormati.

LAWATAN KERJA KE TAIWAN

Pada minggu ini, saya menyertai delegasi Ahli Parlimen dalam rangka lawatan kerja selama lima hari ke Taiwan.

Pada hari Isnin, kami telah mengadakan satu pertemuan dengan tiga entiti berbeza iatu Office of Trade Negotiations, Agriculture Technology Research Institute dan Industrial Technology Research Institute.

Pelaburan negara ini dalam penyelidikan amat tinggi seperti Pusat Penyelidikan Teknologi Industri yang mempunyai lebih 6,000 orang pekerja sepenuh masa.

Yang lebih menarik, kerajaan mereka hanya menampung sekitar 50% perbelanjaan institut ini dan selebihnya mereka berjaya menjana pendapatan sendiri samada bekerjasama dengan pihak swasta mahupun menjual teknologi yang dimiliki.

Taiwan memiliki model penyelidikan yang menarik yang mungkin boleh diaplikasikan di Malaysia. Saya merasakan sektor penyelidikan di Malaysia perlu dipertingkat untuk meningkatkan daya saing dan inovasi negara.

Perkembangan dalam industri penyelidikan akan dapat membantu mewujudkan pekerjaaan bertahap kemahiran tinggi yang akan dapat menggunakan tenaga kerja belia yang sedia ada.

InsyaAllah saya akan cuba mencadangkan beberapa perkara kepada kementerian yang berkaitan sebagai satu usaha susulan daripada lawatan ini.

LAWATAN KERJA KAWASAN PARLIMEN

Pada hujung minggu lalu, saya telah melakukan lawatan rutin kerja di kawasan Parlimen Johor Bahru.

Lawatan kerja saya bermula dengan mennyertai solat Jumaat bersama penduduk setempat di Masjid Larkin Perdana, Johor Bahru. Kebetulan pada masa yang sama, Bank Rakyat ada buat serahan bantuan zakat kepada masjid tersebut.

Saya telah diberi ruang untuk menyampaikan sijil pentauliahan dan juga meninjau kawasan lapang di belakang masjid yang pernah dimohon untuk didirikan rumah imam. Saya akan cuba untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai permohonan tersebut.

Pada keesokan harinya, lawatan kerja saya diteruskan ke Plaza Mara di Larkin, Johor Bahru untuk membuat tinjauan dan mendapatkan maklumbalas daripada pengurusan MARA.

Pada masa yang sama, saya sempat juga bertukar pengalaman dengan pengarah MARA Johor ketika mana YB Rafizi dan saya ada buat pendedahan demi pendedahan mengenai ketirisan dalam MARA ketika zaman kerajaan terdahulu.

Bagi isu tempatan, pengurusan MARA memohon untuk diadakan parkir bas persiaran dihadapan bangunan bagi membantu para peniaga di Plaza tersebut.

Alhamdulillah perkara berkenaan telahpun mendapat makluman Datuk Bandar (dan telahpun diadakan lawatan tapak) dan insyallah kita akan cuba dapatkan perkembangan lanjut secepat mungkin.

Kemudian, pada hari yang sama saya berkesempatan untuk melawat Sekolah Kebangsaan Angkatan Tentera yang terletak di Kebun Teh, Johor Bahru.

Saya ingin mengambil peluang untuk melihat sendiri bekalan meja-meja baru di kantin sekolah tersebut mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Seterusnya saya dibawa melihat bangunan (di ruang murid-murid menunggu ibubapa) yang mana bumbungnya telah lama dimakan anai-anai.

Saya ucapkan terima kasih kepada Pengarah Pendidikan Daerah dan pasukan yang turut serta. Insyallah kita akan diteliti agar keselamatan murid-murid terjamin.

P/S: Al Fatihah buat Allahyarham Guru Besar Kamarudin yang telah kembali ke rahmatullah Khamis lepas. Moga rohnya dicucuri rahmat.

LAPORKAN ADUAN SETEMPAT

Masuk tahun baru 2019, saya mengambil maklum tentang beberapa kerosakan jalan raya dan masalah di beberapa tempat di dalam kawasan saya. Saya telah berbincang dengan pegawai saya dan akan cuba untuk selesaikannya secepat mungkin.

Bagi yang lain, sekiranya anda mempunyai sebarang masalah,boleh kemukakan laporan anda di pusat khidmat kami. Anda juga boleh emelkan ke khidmatrakyatjb@gmail.com atau Whatsapp Pusat Khidmat Rakyat Johor Bahru di 013 783 2468 bagi tindakan susulan.

InsyaAllah kami akan cuba selesaikan setiap aduan yang diterima. Kerjasama anda amat saya hargai. Terima kasih.

LAWATAN MENGEJUT DI KG MELAYU MAJIDEE


Solat Jumaat di Masjid Kg Dato Sulaiman Menteri.

Pada hujung minggu lalu, saya telah turun ke beberapa kawasan dalam Parlimen Johor Bahru dan sempat melakukan satu lawatan mengejut ke sebuah kawasan.

Pada hari Jumaat, saya sempat melakukan solat Jumaat di Masjid Kg Dato Sulaiman Menteri. Ketua Kampung, Tok Zaini telah usahakan dengan sekolah berdekatan untuk kita sama-sama bantu murid-murid yang memerlukan.

Kemudian, sempat minum dan sembang panjang dengan beberapa penduduk mengenai permasalahan setempat. Terdapat beberapa aduan yang saya kira perlu diambil tindakan secepat mungkin. Insyallah saya akan berbincang dengan pejabat pusat khidmat rakyat dan juga pihak berkuasa tempatan bagi mencari satu solusi yang berkesan.

InsyaAllah kita akan cuba untuk lakukan yang terbaik untuk masyarakat setempat.

Usai solat Jumaat, saya telah melakukan satu lawatan mengejut di sekitar Jalan Budiman, Kg Melayu Majidee. Ini kerana penduduk setempat telah melahirkan kebimbangan atas kerja-kerja yang sedang dijalankan.

Projek pembesaran landasan keretapi akan memberi kesan kepada rumah-rumah tersebut yang dibina terlalu berhampiran dengan trek. Notis telah dikeluarkan tetapi saya akan usahakan satu mesyuarat bersama dengan mereka yang terlibat.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Penghulu, Ketua Kampung, Ahli Majlis dan wakil-wakil penduduk yang turut bersama dan beri kerjasama sebaiknya.

Akhir sekali, saya telah turut serta dalam satu program untuk meraikan kanak-kanak yang tinggal di rumah Kebajikan Villa Paulos, Johor Bahru. Saya berharap kumpulan ini akan diberikan perhatian yang sewajarnya oleh kelompok masyarakat setempat.

Saya yakin perkhidmatan yang diberikan oleh rumah kebajikan tersebut akan mampu memberikan penjagaan yang sebaiknya kepada mereka. Saya menggalakkan orang ramai untuk turut sama membantu sama ada daripada segi masa atau kewangan untuk kesejahteraan kanak-kanak di sini.

Moga kehadiran kami sedikit sebanyak memberikan keceriaan. Terima kasih kepada pihak pengurusan rumah kebajikan yang menjemput serta para penyumbang yang prihatin terhadap rumah Kebajikan Villa Paulos.

SUDUT PANDANGAN: NETIZEN BERBEZA PENDAPAT ISU STESEN PETROL 24 JAM

Pemilik stesen minyak mencadangkan semua stesen minyak seluruh Malaysia hanya beroperasi 18 jam sehari berbanding 24 jam.

Ini berikutan dikatakan sebagai langkah untuk mengurangkan kerugian yang bakal diserap melalui penurunan minyak menjelang 1 Januari ini selain membolehkan mereka mengurangkan kos pembayaran gaji minima yang ditetapkan kerajaan.

Saya merasakan perkara ini akan mengundang sedikit kegusaran kepada pengguna-pengguna kenderaan di Malaysia. Oleh itu, saya cuba untuk mendapatkan pandangan daripada orang ramai melalui media sosial facebook.

Antara pandangan yang menarik perhatian di ruangan komen.


Dorg bkn untung jual minyak semata.. Paling untung kedai runcit dorg tu. Korg kerajaan jgn la mudah tepedaya dgn puak ni nk desak korg ikut ckp dia. Lainla petrolpump yg kosong xde kedai mesra, kejadah apetu

Husnulhadi Hadi


Masalahnya bukannya banyak pun kos nak buka dari jam 12 mlm ke 6 pagi tu. setakat buka lampu stesen minyak & kunci pintu & upah org duduk jaga dlm stesen minyak tu lagi murah dari bayar security jaga stesen tu dlm masa tutup stesen tu!

Mohd Affendi Abas

Saya berharap stesen-stesen petrol di Malaysia dapat kekal beroperasi selama 24 jam bagi kemudahan masyarakat. Kos operasi yang minimal dari jam 12 tengah malam ke 6 pagi tidak sepatutnya membebankan pengurus stesen minyak, walaupun dalam keadaan harga minyak mentah yang rendah.

AGENDA 2019: BANTERAS GEJALA DADAH

Hari ini saya sempat meluangkan masa untuk mengadakan satu perbincangan dengan Ketua Polis Daerah (OCPD) Johor Bahru Selatan, YDH ACP Shahurinain Bin Jais pagi tadi.

Pelbagai isu telah dibincangkan yang berkaitan dengan kes-kes jenayah di Johor Bahru dan juga tahap keselematan masyarakat setempat. Pihak polis telah berusaha keras untuk mengawasi sindiket-sindiket yang mampu mengugat keamanan penduduk di Johor Bahru.

Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tuan OCPD dan pasukan polis yang terus komited menjaga keamanan dan keselamatan terutamanya sekitar Parlimen Johor Bahru.

Antara agenda utama tahun 2019 yang telah kami persetujui adalah untuk membanteras gejala dadah yang sekaligus akan mengurangkan masalah sosial dan jenayah.