LAWATAN KERJA KAWASAN PARLIMEN

Pada hujung minggu lalu, saya telah melakukan lawatan rutin kerja di kawasan Parlimen Johor Bahru.

Lawatan kerja saya bermula dengan mennyertai solat Jumaat bersama penduduk setempat di Masjid Larkin Perdana, Johor Bahru. Kebetulan pada masa yang sama, Bank Rakyat ada buat serahan bantuan zakat kepada masjid tersebut.

Saya telah diberi ruang untuk menyampaikan sijil pentauliahan dan juga meninjau kawasan lapang di belakang masjid yang pernah dimohon untuk didirikan rumah imam. Saya akan cuba untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai permohonan tersebut.

Pada keesokan harinya, lawatan kerja saya diteruskan ke Plaza Mara di Larkin, Johor Bahru untuk membuat tinjauan dan mendapatkan maklumbalas daripada pengurusan MARA.

Pada masa yang sama, saya sempat juga bertukar pengalaman dengan pengarah MARA Johor ketika mana YB Rafizi dan saya ada buat pendedahan demi pendedahan mengenai ketirisan dalam MARA ketika zaman kerajaan terdahulu.

Bagi isu tempatan, pengurusan MARA memohon untuk diadakan parkir bas persiaran dihadapan bangunan bagi membantu para peniaga di Plaza tersebut.

Alhamdulillah perkara berkenaan telahpun mendapat makluman Datuk Bandar (dan telahpun diadakan lawatan tapak) dan insyallah kita akan cuba dapatkan perkembangan lanjut secepat mungkin.

Kemudian, pada hari yang sama saya berkesempatan untuk melawat Sekolah Kebangsaan Angkatan Tentera yang terletak di Kebun Teh, Johor Bahru.

Saya ingin mengambil peluang untuk melihat sendiri bekalan meja-meja baru di kantin sekolah tersebut mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Seterusnya saya dibawa melihat bangunan (di ruang murid-murid menunggu ibubapa) yang mana bumbungnya telah lama dimakan anai-anai.

Saya ucapkan terima kasih kepada Pengarah Pendidikan Daerah dan pasukan yang turut serta. Insyallah kita akan diteliti agar keselamatan murid-murid terjamin.

P/S: Al Fatihah buat Allahyarham Guru Besar Kamarudin yang telah kembali ke rahmatullah Khamis lepas. Moga rohnya dicucuri rahmat.

LAPORKAN ADUAN SETEMPAT

Masuk tahun baru 2019, saya mengambil maklum tentang beberapa kerosakan jalan raya dan masalah di beberapa tempat di dalam kawasan saya. Saya telah berbincang dengan pegawai saya dan akan cuba untuk selesaikannya secepat mungkin.

Bagi yang lain, sekiranya anda mempunyai sebarang masalah,boleh kemukakan laporan anda di pusat khidmat kami. Anda juga boleh emelkan ke khidmatrakyatjb@gmail.com atau Whatsapp Pusat Khidmat Rakyat Johor Bahru di 013 783 2468 bagi tindakan susulan.

InsyaAllah kami akan cuba selesaikan setiap aduan yang diterima. Kerjasama anda amat saya hargai. Terima kasih.

LAWATAN MENGEJUT DI KG MELAYU MAJIDEE


Solat Jumaat di Masjid Kg Dato Sulaiman Menteri.

Pada hujung minggu lalu, saya telah turun ke beberapa kawasan dalam Parlimen Johor Bahru dan sempat melakukan satu lawatan mengejut ke sebuah kawasan.

Pada hari Jumaat, saya sempat melakukan solat Jumaat di Masjid Kg Dato Sulaiman Menteri. Ketua Kampung, Tok Zaini telah usahakan dengan sekolah berdekatan untuk kita sama-sama bantu murid-murid yang memerlukan.

Kemudian, sempat minum dan sembang panjang dengan beberapa penduduk mengenai permasalahan setempat. Terdapat beberapa aduan yang saya kira perlu diambil tindakan secepat mungkin. Insyallah saya akan berbincang dengan pejabat pusat khidmat rakyat dan juga pihak berkuasa tempatan bagi mencari satu solusi yang berkesan.

InsyaAllah kita akan cuba untuk lakukan yang terbaik untuk masyarakat setempat.

Usai solat Jumaat, saya telah melakukan satu lawatan mengejut di sekitar Jalan Budiman, Kg Melayu Majidee. Ini kerana penduduk setempat telah melahirkan kebimbangan atas kerja-kerja yang sedang dijalankan.

Projek pembesaran landasan keretapi akan memberi kesan kepada rumah-rumah tersebut yang dibina terlalu berhampiran dengan trek. Notis telah dikeluarkan tetapi saya akan usahakan satu mesyuarat bersama dengan mereka yang terlibat.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Penghulu, Ketua Kampung, Ahli Majlis dan wakil-wakil penduduk yang turut bersama dan beri kerjasama sebaiknya.

Akhir sekali, saya telah turut serta dalam satu program untuk meraikan kanak-kanak yang tinggal di rumah Kebajikan Villa Paulos, Johor Bahru. Saya berharap kumpulan ini akan diberikan perhatian yang sewajarnya oleh kelompok masyarakat setempat.

Saya yakin perkhidmatan yang diberikan oleh rumah kebajikan tersebut akan mampu memberikan penjagaan yang sebaiknya kepada mereka. Saya menggalakkan orang ramai untuk turut sama membantu sama ada daripada segi masa atau kewangan untuk kesejahteraan kanak-kanak di sini.

Moga kehadiran kami sedikit sebanyak memberikan keceriaan. Terima kasih kepada pihak pengurusan rumah kebajikan yang menjemput serta para penyumbang yang prihatin terhadap rumah Kebajikan Villa Paulos.

SUDUT PANDANGAN: NETIZEN BERBEZA PENDAPAT ISU STESEN PETROL 24 JAM

Pemilik stesen minyak mencadangkan semua stesen minyak seluruh Malaysia hanya beroperasi 18 jam sehari berbanding 24 jam.

Ini berikutan dikatakan sebagai langkah untuk mengurangkan kerugian yang bakal diserap melalui penurunan minyak menjelang 1 Januari ini selain membolehkan mereka mengurangkan kos pembayaran gaji minima yang ditetapkan kerajaan.

Saya merasakan perkara ini akan mengundang sedikit kegusaran kepada pengguna-pengguna kenderaan di Malaysia. Oleh itu, saya cuba untuk mendapatkan pandangan daripada orang ramai melalui media sosial facebook.

Antara pandangan yang menarik perhatian di ruangan komen.


Dorg bkn untung jual minyak semata.. Paling untung kedai runcit dorg tu. Korg kerajaan jgn la mudah tepedaya dgn puak ni nk desak korg ikut ckp dia. Lainla petrolpump yg kosong xde kedai mesra, kejadah apetu

Husnulhadi Hadi


Masalahnya bukannya banyak pun kos nak buka dari jam 12 mlm ke 6 pagi tu. setakat buka lampu stesen minyak & kunci pintu & upah org duduk jaga dlm stesen minyak tu lagi murah dari bayar security jaga stesen tu dlm masa tutup stesen tu!

Mohd Affendi Abas

Saya berharap stesen-stesen petrol di Malaysia dapat kekal beroperasi selama 24 jam bagi kemudahan masyarakat. Kos operasi yang minimal dari jam 12 tengah malam ke 6 pagi tidak sepatutnya membebankan pengurus stesen minyak, walaupun dalam keadaan harga minyak mentah yang rendah.

AGENDA 2019: BANTERAS GEJALA DADAH

Hari ini saya sempat meluangkan masa untuk mengadakan satu perbincangan dengan Ketua Polis Daerah (OCPD) Johor Bahru Selatan, YDH ACP Shahurinain Bin Jais pagi tadi.

Pelbagai isu telah dibincangkan yang berkaitan dengan kes-kes jenayah di Johor Bahru dan juga tahap keselematan masyarakat setempat. Pihak polis telah berusaha keras untuk mengawasi sindiket-sindiket yang mampu mengugat keamanan penduduk di Johor Bahru.

Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tuan OCPD dan pasukan polis yang terus komited menjaga keamanan dan keselamatan terutamanya sekitar Parlimen Johor Bahru.

Antara agenda utama tahun 2019 yang telah kami persetujui adalah untuk membanteras gejala dadah yang sekaligus akan mengurangkan masalah sosial dan jenayah.

BERITA BAIK UNTUK PENGUSAHA GETAH

Bermula bulan Januari ini, kerajaan telah mengambil keputusan untuk menaikkan harga lantai getah skrap daripada RM2.20 kepada RM2.50 sekilogram.

Diharapkan dengan kenaikan ini, pekebun atau penoreh rasa lebih berbaloi untuk membut tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

Hal ini kerana dikatakan harga getah yang murah menjadi faktor ramai penoreh tidak membuat tuntutan tersebut.

Saya berpendapat bahawa harga-harga barang komuditi utama di Malaysia seperti getah dan kelapa sawit perlu sentiasa dipantau oleh pihak berkuasa. Ini akan membolehkan tindakan drastik dapat diambil bagi menangani ketidaktentuan harga pasaran yang menjejaskan pengusaha-pengusaha tempatan.

REBAT RM40 UNTUK KUMPULAN B40

Dalam pembentangan Belanjawan 2019 yang lepas, kerajaan Pakatan Harapan telah mengumumkan Rebat RM40 untuk bil elektrik.

Pemberian subsidi ini diberikan ke atas bil elektrik pengguna kediaman sehingga RM40 sebulan.

Selaras dengan hasrat Kerajaan melaksanakan subsidi bersasar, penyaluran subsidi ini dikhususkan kepada individu atau isi rumah yang berdaftar dengan program e-Kasih.

Rebat kerajaan ini akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2019 sehingga 31 Disember 2019 bagi menggantikan pemberian rebat sedia ada.

Saya berharap inisiatif ini dapat memberikan sedikit kemudahan dan kesenagan kepada golongan B40 pada tahun hadapan. InsyaAllah kerajaan Pakatan Harapan akan sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat dengan memperkenalkan inisiatif-inisiatif yang dapat membantu meringankan beban rakyat.

Baca berita lanjut di http://www.astroawani.com/berita-malaysia/rebat-bil-elektrik-rm40-kepada-185-000-miskin-tegar-tahun-hadapan-194429

HENTIKAN UNSUR POLITIK DAN PERKAUMAN, BIAR POLIS JALANKAN SIASATAN

Pihak polis telah mengambil tindakan tegas terhadap Presiden Jaringan Melayu Malaysia, Azwanddin Hamzah, dengan penahanan reman terhadap beliau berhubung ucapan kontroversinya, baru-baru ini.

Mana-mana pihak tidak seharusnya mengambil kesempatan untuk menggunakan isu kematian anggota bomba Malaysia, Muhammad Adib, sebagai saluran untuk menegakkan agenda yang berkepentingan

Kepercayaan dan keyakinan harus diberikan kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan terhadap kes tersebut. Rakyat perlu berhenti menyebarkan maklumat-maklumat yang tidak sahih berkaitan insiden tersebut untuk mengelakkan salah faham dan reaksi yang tidak diingini, terutamanya di media sosial.

Masyarakat perlu yakin bahawa laporan siasatan menyeluruh yang tepat dan telus akan dikeluarkan dalam masa terdekat oleh pihak berkuasa.

Oleh itu, diharap tidak ada lagi cubaan untuk mengapi-apikan kembali unsur perkauman atau apa sahaja yang boleh menganggu-gugat kesejahteraan masyarakat Malaysia.

Baca berita lanjut di https://www.malaysiakini.com/news/457823?fbclid=IwAR0z_dLS4xrrIjN5DmboPljH6iTVtq7QTsTNDCmuMvBV5wlTwl8X_vrYQSY

WAKTU OPERASI UTC BARU. NETIZEN KURANG SETUJU?

Saya telah meneliti komen-komen netizen dalam salah satu posting facebook saya baru-baru ini berkaitan waktu operasi baru UTC.

Rata-rata masyarakat kurang bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan tempoh hari untuk memendekkan waktu operasi UTC kepada 7 malam. Biarpun UTC merupakan projek kerajaan Barisan Nasional yang lepas, kita perlu akui manfaatnya dalam memudahkan urusan-urusan tertentu terhadap rakyat.

Mereka merasakan kerajaan perlu meneliti semula keputusan yang telah dibuat dan mencadangkan alternatif waktu operasi yang lebih mesra rakyat. Contohnya, waktu operasi yang bermula pada waktu tengah hari sehingga jam 10 malam.

Rakyat memahami akan keperluan kerajaan untuk mengurangkan pembaziran dalam pengurusan pentadbiran kerajaan. Namun ia seharusnya tidak menjejaskan perkhidmatan-perkhidmatan asas yang telah disediakan kepada rakyat.

Diharap tindakan yang sewajarnya dapat diambil oleh pihak kerajaan agar rakyat sebagai pembayar cukai dapat terus menikati perkhidmatan yang terbaik, sejajar dengan hasrat Pakatan Harapan.

KEHARMONIAN KAUM DEMI KESEJAHTERAAN NEGARA

Sempena perayaan Krismas tahun ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Natal kepada rakyat Malaysia yang menganut agama Kristian di negara ini.

Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum, berpeluang untuk menyambut beberapa perayaan daripada berlainan agama dan bangsa. Masyarakat seharusnya menggunakan peluang ini sebagai satu salah satu cara untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara kaum dan agama.

Sebagai seorang Muslim, saya disaran untuk menghormati penganut agama lain demi menjaga keharmonian dan kemakmuran masyarakat. Malahan, menurut Mufti Wilayah, Dr Zulkifli, ia adalah diharuskan untuk mengucapkan Merry Christmas apabila wujud keperluan untuk mengucapkannya bagi menyuburkan semangat muhibbah dan memperbaiki ketegangan sosial yang berlaku dalam masyarakat. Apatah lagi dalam konteks pemimpin bagi masyarakat majmuk.

Di kesempatan yang sama, saya juga ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2019 kepada seluruh masyarakat Malaysia. InsyaAllah, kesejahteraan rakyat akan terus menjadi agenda utama Pakatan Harapan pada tahun hadapan. Saya akan berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab dalam mewakili suara rakyat sebagai seorang Ahli Parlimen dan Ketua Pemuda Keadilan dengan lebih baik.

Sekali lagi, Selamat Hari Natal dan Selamat Tahun Baru 2019!

Akmal Nasir
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia