REALITI ALAM PEKERJAAN DI MALAYSIA

Sering kali kita mendengar bahawa golongan belia atau graduan sukar untuk mendapatkan pekerjaan.

Ini telah menarik minat saya untuk mengkaji perkara ini dengan lebih mendalam. Saya akan cuba melihat bagaimana sektor keusahawanan dapat membantu menangani masalah pengangguran belia ini.

Sebelum itu, saya telah membaca beberapa artikel dan kertas kajian yang dikeluarkan oleh agensi berkaitan bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai sektor buruh di Malaysia.

Untuk pengetahuan, Malaysia boleh diklasifikasikan sebagai salah sebuah negara yang memiliki guna tenaga penuh oleh kerana kadar pengangguran yang berada di bawah paras 4.0%.

TahunKadar Pengangguran (%)
2014
2.9
20153.1
20163.4
20173.4

Namun begitu, setiap tahun pasti timbul masalah pengangguran yang serius yang wujud dalam kalangan belia dan graduan. Perkara ini harus diteliti bagi mengenal pasti punca-punca yang membawa kepada permasalahan ini.

Berdasarkan laporan penyiasatan tenaga buruh 2016, kadar pengangguran yang tinggi direkodkan oleh penduduk dalam kumpulan umur 15–19 tahun iaitu 15.9% pada 2016, diikuti penduduk berumur 20–24 tahun dengan kadar 9.1%. Dari segi bilangan penganggur pula, sumbangan terbesar dicatat oleh kumpulan umur 20–24 tahun, iaitu 37.7% daripada keseluruhan penganggur.

Antara punca yang telah digariskan (yang berkaitan dengan dasar) adalah: 
1. Ketidakpadanan bekalan/pasaran buruh dan permintaan industri (mismatch between labour supply and industry demand)
2. Gaji tidak setimpal dengan kelayakan (highly skilled, but low wages)
3. Peluang pekerjaan yang tidak mencukupi

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pada suku kedua 2018 terdapat 200,000 kekosongan jawatan yang tidak diisi. Kebanyakannya adalah jawatan yang memerlukan pekerja separuh mahir.

Kumpulan pekerja separuh mahir terdiri daripada graduan yang memiliki diploma dan pelajar-pelajar lepasan SPM atau kolej vokasional seperti TVET. Kumpulan ini merupakan kumpulan yang terbesar dalam pasaran buruh berbanding kumpulan graduan universiti.

Selain itu, daripada 200,000 kekosongan jawatan yang ada, hanya 51,000 jawatan adalah untuk golongan graduan universiti. Terdapat dua kemungkinan yang menyebabkan perkara ini berlaku. Pertama, kekurangan tenaga kerja dan yang kedua, tiada bekalan tenaga kerja yang diperlukan disebabkan ketidakpadanan (mismatch of labour).

Oleh itu, saya akan cuba mengupas isu ini dengan lebih lanjut. Namun, saya lebih cendong untuk melihat bagaimana industri keusahawanan dapat memainkan peranan sebagai peluang alternatif kepada golongan belia.

Mudah-mudahan bermanfaat.

LAWATAN BERSAMA DSAI KE AS DAN KANADA

Pada minggu lepas, saya telah ikut serta lawatan DS Anwar Ibrahim ke Amerika Syarikat dan Kanada.

Sebaik sampai di Washington D.C selepas 25 jam penerbangan, beliau terus diminta berucap di satu program.

Ini merupakan kali pertama saya jejak kaki ke US sejak zaman universiti.

Kebetulan di program pertama saya pakai sweater UW Badgers yang dah 10 tahun berhabuk, ada beberapa alumni & parents bertegur sapa.

Walaupun saya hanya graduate Universiti Wisconsin-Madison, saya tetap bersyukur.

#SayNOtofakeeducation #academicintegrity

TUBUH RCI SEGERA UNTUK SIASAT DAKWAAN CAMPUR TANGAN KEHAKIMAN

Hakim Mahkmah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer telah membuat satu pendedahan menggemparkan bahawa, telah terdapat campur tangan dalam institusi kehakiman sebelum pilihan raya serta selepas pilihan raya yang masih berterusan, membabitkan salah laku perlembagaan dan kehakiman.

Menurut beliau, telah terdapat campur tangan dalam proses membuat penghakiman terhadap kes-kes berprofil tinggi seperti yang melibatkan Presiden PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan mantan Pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh. Tambahnya lagi, wujud usaha berterusan untuk mengelirukan orang awam melalui berkonspirasi untuk menyembunyi jenayah kehakiman.

Oleh itu, AMK menggesa agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan dengan segera bagi menyiasat dakwaan atau pendedahan yang telah dibuat.

Sebelum ini, rakyat mengalami krisis keyakinan terhadap institusi kehakiman negara yang sering kali dianggap tidak telus dan tidak bebas. Maka, kerajaan baru Pakatan Harapan perlu memikul tanggungjawab untuk mengembalikan keyakinan tersebut dengan menjamin kebebasan badan kehakiman negara.

Keberanian tindakan Hakim Mahkamah Rayuan tersebut untuk mendedahkan maklumat (whistleblowing) seperti ini harus dipuji dan dihormati. Hal ini kerana tindakan yang diambil adalah berlandaskan prinsip kebebasan dan integriti badan kehakiman negara daripada campur tangan dalaman mahupun luaran.

Oleh yang demikian, AMK ingin menegaskan bahawa penubuhan RCI merupakan satu langkah tepat yang perlu diambil dengan segera untuk menyiasat dakwaan campur tangan yang dibuat oleh Hakim Mahkmah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer.

Penyiasatan melalui RCI juga perlu dilihat sebagai usaha untuk membela mereka yang telah dizalimi akibat ketidakadilan dalam proses penghakiman yang mungkin telah berlaku.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

ADA SAMAN TAK BOLEH MASUK MALAYSIA?

Mulai 1 April, kerajaan Singapura akan menghalang kenderaan Malaysia atau mana-mana kenderaan asing ke republik itu sekiranya mempunyai saman kesalahan trafik yang belum dijelaskan.

Adakah Malaysia juga berhak membuat peraturan yang sama? Ia bukan untuk menyekat atau menghalang orang luar masuk ke negara ini, tetapi lebih kepada menjaga kedaulatan negara.

Saya telah cuba untuk mendapatkan reaksi netizen mengenai tindakan kerajaan Singapura tersebut. Seramai 111 pennguna facebook telah meninggalkan komen mereka mengenai isu ini.

Rata-rata masyarakat merasakan bahawa kerajaan Malaysia perlu mengenakan sekatan yang sama terhadap kenderaan asing yang memiliki saman trafik.

Malahan, ada juga netizen berpendapat bahawa langkah yang diambil oleh Singapura akan mendisiplinkan rakyat Malaysia yang ingin memasuki negara tersebut secara tidak langsung. Oleh itu, kerajaan Malaysia perlu membuat perkara yang sama supaya undang-undang sedia ada di sini akan sentiasa dipatuhi.


YA..SANGAT WAJAR..Kita sebagai Malaysian kena belajar disiplin macam Singapore…semua undang2 yang dibuat kerajaan mereka telah mendisiplinkan rakyat mereka..Kita sebagai orang luar pun akan automatik jadi patuh dan akan ikut undang2 negara mereka jika kita masuk ke sana..

Jadi saya menyokong 200% jika kerajaan Malaysia baru ini buat perkara yang sama.

Nurul Farhana, pengguna facebook

Saya merasakan perlu diwujudkan satu garis panduan untuk kenderaan asing yang memiliki kesalahan atau saman trafik. Hal ini untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku di atas jalan raya yang mungkin boleh memberi kesan buruk kepada rakyat tempatan.

KESAN PERANG DAGANG KEPADA EKONOMI

SIRI 2 #TRADE

Di sini saya ingin menceritakan sambungan daripada siri pertama dengan secara ringkas sahaja kesan perang dagang terhadap ekonomi Malaysia.

Sudah pasti banyak lagi kesan-kesan lain secara langsung dan tidak langsung terhadap perniagaan dalam negara yang memerlukan kajian dan pemahaman yang lebih tinggi dalam isu ini.

Seperti yang telah dilaporkan, Bursa Malaysia telah mencatatkan peningkatan aliran masuk bersih dana asing sejak beberapa minggu yang lalu. Memang tidak boleh dinafikan bahawa perkembangan ini ‘dibantu’ oleh perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Secara keseluruhan, Malaysia tidak terjejas secara langsung disebabkan persengketaan antara dua buah negara tersebut. Namun, terdapat peluang di mana Malaysia mampu meningkatkan nilai eksport ke AS dan China. Peningkatan eksport sudah pasti dapat menyumbang kepada ekonomi negara disebakan peningkatan pengeluaran dan tukaran mata wang asing.

Contohnya, Malaysia boleh mengisi ruang yang dikenakan tarif, contohnya minyak soya yang diimport oleh China dari AS, berkemungkinan akan menaikkan permintaan untuk minyak kelapa sawit di Malaysia.

Menurut Kementerian MITI, perdagangan Malaysia-China terus berkembang pada kadar lebih tinggi berbanding dengan rakan dagang lain. Bagi tempoh Januari hingga November 2018, keseluruhan perdagangan Malaysia meningkat 6.2 peratus berbanding tempoh yang sama 2017, menyumbang 6.9 peratus pertumbuhan kepada eksport dan 5.3 peratus kepada import.

Namun begitu, kita tidak boleh menafikan kelembapan ekonomi global yang mungkin terjadi disebabkan perang dagang ini. Tarif yang dikenakan bertujuan untuk melindungi industri tempatan boleh menjejaskan pendapatan kedua-dua buah negara untuk jangka masa pendek dan panjang.

Pengurangan barang dagangan ekspot China ke AS akan memaksa negara tersebut untuk mengurus kewangan dan berbelanja dengan lebih berhemah. Apabila kuasa besar ekonomi seperti China mengambil keputusan untuk mengurangkan perbelanjaan, ini sudah pasti akan dapat dirasai negara-negara kecil dan membangun seperti Malaysia, yang bergantung kepada pendapatan perdagangan.

Suasana ketidaktentuan dalam pasaran ini akan membuatkan pelabur lebih berhati-hati dan lebih gemar untuk hanya melihat. Ini seterusnya akan lebih memburukkan keadaan dan membawa kepada krisis ekonomi yang kritikal.

Oleh itu, negara AS dan China perlu segera mencari jalan tengah bagi mencapai persetujuan bersama. Perang dagang yang berlanjutan hanya akan lebih memburukkan keadaan dan dalam jangka masa panjang, ia boleh membawa kepada kelembapan ekonomi global yang lebih buruk.

GAGAL HANTAR ANAK KE SEKOLAH AKAN DIDENDA?

Kerajaan sedang mengkaji semula Akta Pendidikan Negara untuk mewajibkan murid-murid melengkapkan persekolahan dari darjah satu sehingga tamat tingkatan lima.

Untuk pengetahuan, Akta Pendidikan Negara kini hanya mewajibkan murid-murid untuk melengkapkan persekolahan dari Tahun Satu sehingga Tahun Enam sahaja.

Oleh itu, menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata ibu bapa yang gagal menghantar anak ke sekolah berdepan kemungkinan dikenakan denda sebanyak RM5,000 ataupun penjara selama enam bulan.

Namun begitu, hukuman ini juga mengambil kira faktor masalah yang mungkin dihadapi oleh ibu bapa untuk tidak menghantar anak ke sekolah khususnya seperti masalah kewangan dan kemudahan persekolahan.

Oleh yang demikian, hukuman ini lebih bersasarkan kepada golongan ibubapa yang tidak bertanggungjawab dan tidak memikirkan masa depan anak sendiri.

Saya telah meneliti komen-komen yang ditinggalkan oleh para netizen mengenai perkembangan ini. Rata-ratanya menunjukkan reaksi yang bercampur.

Selain itu, terdapat juga netizen yang memberikan cadangan untuk dipertimbangkan oleh Kementerian Pendidikan.


Tiada ibu bapa yang dengan niat tidak mahu anaknya melanjutkan persekolahan mereka jika tidak mengalami kesempitan hidup. Mereka ini terpaksa bekerja untuk membantu ekonomi keluarga menyebabkan mereka tercicir alam persekolahan. Ini bukan pilihan tetapi ini sahaja jalan untuk meneruskan hidup. Cadangan saya untuk mengatasi masalah ini, kerajaan ambil mereka sebagai anak angkat negara yang menyediakan persekolahan mereka dan cuba tingkatkan ekonomi keluarga mereka.

Khairul Hafiz Mohamed, pengguna facebook


Di negara maju, diorang ada social welfare services. Macam anak anak yang terbiar akan dirampas hak penjagaan diorang, dihantar ke asrama atau sistem ibu bapa angkat dimana setiap anak angkat akan dibayar RM1000 sebulan.

Mohd Azwan Adnan, pengguna facebook

Yang pasti, perlu lebih banyak kajian dijalankan bagi mengenal pasti langkah yang efektif bagi mencapai 100 peratus anak-anak bersekolah. Perkara ini harus diperhalusi daripada pelbagai aspek melibatkan ibu-bapa, kanak-kanak, struktur masyarakat dan sebagainya.

PENUBUHAN MAJLIS TINDAKAN EKONOMI LANGKAH TEPAT?

Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir memberi petunjuk bahawa kerajaan sekarang mengambil serius masalah kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

Pertama kali Majlis Tindakan Ekonomi ditubuhkan adalah pada tahun 1998 semasa negara terperangkap dalam krisis kewangan global yang telah memberi kesan kepada kebanyakan negara Asia waktu itu.

Masalah kos sara hidup boleh disimpulkan kepada dua perkara.

1. Gaji rendah
2. Harga barang tinggi

Harga barang tinggi di sini mungkin merujuk kepada harga rumah, harga barang keperluan asas, harga petrol atau minyak mentah, harga kenderaan dan sebagainya.

Contohnya, berdasarkan Laporan Indeks Harga Rumah Malaysia, pada suku ketiga 2017, harga purata untuk semua rumah di Malaysia mencecah RM410,050. Harga telah meningkat daripada RM385,201 (Q3 2016) dan
RM401,905 (Q2 2017). Walhal gaji graduan universiti masih kekal di paras RM2,000 sebulan!

Selain itu, artikel Dimensi Koop menunjukkan bahawa gaji di UK adalah tiga kali ganda nilainya lebih tinggi jika dibandingkan dengan Malaysia. Malah, seseorang individu di UK mampu membeli sebuah BMW berdasarkan gaji diterima tetapi di Malaysia, seseorang individu hanya mampu membeli kereta Viva dengan pinjaman bank.

Umum mengetahui bahawa Malaysia mengalami kadar kenaikan gaji yang rendah setiap tahun. Menurut Laporan Produktiviti 2015/16 yang secara jelas menunjukkan kadar kenaikan jumlah imbuhan kepada pekerja (dalam bentuk gaji, caruman dan pampasan) sebenarnya telah menurun dari 5.3% (2011) kepada 3.8% (2015).

Ini menunjukkan bahawa isu ekonomi adalah isu yang kompleks yang melibatkan pelbagai pemegang taruh.

Namun, adakah Kabinet sekarang boleh dikatakan gagal?

Saya merasakan persoalan itu terpulang kepada rakyat untuk menilainya.

Yang pasti, isu kos sara hidup adalah satu isu yang perlu ditangani bersama. Ia melibatkan ahli politik (penggubal dasar), majikan, pemilik perniagaan, pelabur dan sebagainya.

Dasar ekonomi tidak boleh digubal sewenang-wenangnya kerana boleh menyebabkan gangguan kitaran ekonomi yang tidak diingini yang boleh membawa kesan yang lebih buruk.

Kerajaan Pakatan Harapan mempunyai masa lima tahun untuk membuktikan kepada rakyat kemampuan menangani masalah kos sara hidup ini.

PERANG DAGANG ANTARA AS DAN CHINA – SIAPA DULU, AYAM KE TELUR?

SIRI 1 #TRADE

Saya sengaja kongsikan sedikit senario dunia sementara masing-masing hangat dengan situasi politik Malaysia.

Dua kuasa besar ekonomi dunia, Amerika Syarikat dan China telah terlibat dalam satu perang dagang (trade war) yang sudah berlanjutan sekian lama dan semakin menjadi-jadi Januari tahun lepas.

Ketidakstabilan dalam sektor perdagangan dunia ini bermula apabila Presiden Donald Trump mula mengenakan tarif kepada barang-barang import seperti panel solar (solar cells) dan mesin basuh besar (large residential washing machine).

Kemudian, Amerika Syarikat sekali lagi mengumumkan pelaksanaan tarif import terhadap bahan mentah kepada besi dan aluminum (steel and aluminum) pada March 2018.

Pada 22 Mac 2018, siasatan seksyen 301 mendapati China terlibat dalam aktiviti dagangan yang tidak jujur (discriminatory trade practices) untuk pemindahan teknologi, harta benda intelektual (intellectual property) dan inovasi. Berdasarkan perkembangan itu, Presiden Trump telah mengarahkan The Office of the United States Trade Representative (USTR) untuk mengenakan tarif kepada barangan import China yang bernilai 50 bilion USD.

China kemudiannya bertindak balas dengan mengenakan tarif kepada barang-barang yang diimport daripada AS yang bernilai 3 bilion USD.

Ini bersamaan lebih kurang RM 12,000,000,000.00 !!

Kedua-dua buah negara terus berbalas-balas ‘serangan’ dengan meluaskan cukai import terhadap barang-barang dagangan mereka. Maka bermulalah perang dagang antara dua kuasa besar ekonomi dunia.

Apa itu TARIF?

Kalau mereka yang kurang pasti, tarif ialah sejenis cukai yang dikenakan ke atas barangan apabila mereka dibawa masuk merentasi suatu sempadan negara.

Pengenalan tarif ini sudah pasti akan memaksa peniaga di Amerika Syarikat dan China yang terpaksa menaikkan harga barang disebabkan cukai yang tinggi. Ini seterusnya boleh memberi kesan kepada keuntungan perniagaan disebabkan pelanggan yang memilih untuk mencari alternatif yang lebih murah.

Sekatan tarif ini sudah semestinya memberi kesan ekonomi kepada kedua-dua buah negara. Malahan, negara serantau juga turut merasai kesan akibat perang dagang yang sedang berlaku ini.

Apakah kesannya kepada Malaysia?

Bagaimana kita boleh bermanfaat dalam situasi ini?

PERJUMPAAN BERSAMA MPP UiTM SHAH ALAM

Pada hari Khamis lepas, saya telah melapangkan masa untuk bersua muka dengan Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam.

Asalnya santai tapi saya lontarkan pandangan yang serius mengenai keperluan melihat pembangunan negara merentas pandangan kaum semata-mata.

Alhamdulillah mereka sambut baik dengan dialog yang membangkitkan soalan-soalan yang ilmiah merangkumi sudut ekonomi, politik dan sosial.

Moga perbincangan tadi akan mewujudkan dinamik dan suasana yang lebih proaktif di kalangan pimpinan mahasiswa dan juga kampus.

PERTUMBUHAN KDNK PKS KUKUH 7.2%

Industri keusahawanan melalui perniagaan kecil dan sederhana (PKS) telah menunjukkan pekembangan yang memberansangkan sejak kebelakangan ini.

Pertumbuhan KDNK PKS telah mengatasi pertumbuhan KDNK keseluruhan sejak penubuhan Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan pada tahun 2004. Pada tahun 2017, KDNK PKS Malaysia merekodkan pertumbuhan kukuh 7.2% berbanding 5.2% yang dicatatkan pada tahun 2016. Prestasi ini mengatasi KDNK Malaysia dan Bukan PKS yang masing-masing mencatatkan 5.9% dan 5.1%.

Meniti era IT kini, segelintir rakyat Malaysia telah berani melibatkan diri dalam perniagaan keusahawanan dan menjadikannya sebagai kerjaya. Beberapa startups Malaysia juga telah berjaya menembusi pasaran Asia seperti Carsome, iflix, Grab dll. Dengan kadar peratusan sumbangan KDNK PKS kepada KDNK Nasional yang semakin meningkat, ia menggambarkan perkembangan positif dunia keusahawanan di Malaysia.

Perkembangan ini sepatutnya menarik minat terutamanya golongan belia untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan atau startups. Ditambah lagi dengan sokongan kewangan daripada agensi-agensi kerajaan dan juga crowdfunding platform yang wujud berkembang.

Bidang keusahawanan kini mungkin boleh dibahagikan kepada dua:

  1. IT based (“startup”): Melibatkan pembangunan aplikasi telefon pintar (smartphone) dan memerlukan modal perniagaan yang besar
  2. Non-IT based (tradisional): Perniagaan yang lebih berbentuk fizikal yang memiliki kedai dan inventori

Mendepani Revolusi Industri 4.0, kerajaan telah menggalakkan industri PKS untuk mula mengguna pakai teknologi IT bagi membantu mengembangkan perniagaan mereka. Pendigitalan perniagaan akan dapat membantu para usahawan mengurus perniagaan dengan lebih cekap di samping meneroka potensi pasaran baru bagi barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan.