Motif viral? Persahabatan dengan bukan Islam

Tindakan saya untuk memenuhi undangan jemputan ke Gurdwara daripada komuniti Sikh di bandaraya Johor Bahru semalam menimbulkan pelbagai reaksi.

Walaupun program ini pada asalnya bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kita meraikan kepelbagaian dalam masyarakat, ianya menimbulkan perbincangan dan kecaman yang meluas di laman-laman media sosial dan kumpulan-kumpulan Whatsapp.

Mungkin kurangnya usul periksa atau kekhilafan dari segi penyampaian seperti adu domba oleh gerakan maya pembangkang ‘Ops Johor’ yang terkenal sebagai medium penyebaran kebencian perkauman dan agama menyebabkan isu sebegini mudah diviralkan dan dikaitkan dengan sensitiviti masyarakat.

Saya terima nasihat, teguran dan peringatan dengan hati terbuka daripada pimpinan agama, saudara-mara, sahabat dan orang ramai. Malah saya amat bersyukur dengan panduan yang diberikan.

Manakala segala tohmahan, cacian dan kata-kata kesat hanyalah menggambarkan betapa rendahnya keperibadian mereka.

Tindakan mereka ini sekadar memperkuatkan keyakinan saya dengan usaha yang saya cuba lakukan.

Saya hargai sokongan rakan-rakan yang faham mengenai keperluan untuk kita mengangkat kebenaran dan mendidik masyarakat.

Maka saya kongsikan pandangan dan pengalaman yang berlaku semalam sebagai rujukan bagi menggalakkan lagi hubungan baik sesama rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

MENJAGA HUBUNGAN DENGAN ALLAH

Apabila program Iftar Muhibbah ini tiba-tiba hangat diperkatakan, saya telah menulis di Facebook bagi memberi sedikit gambaran mengenai Gurdwara berdasarkan apa yang berlaku tahun lepas.

Saya terangkan inisiatif yang telah dibuat oleh komuniti Sikh sebelum ini yang menyebabkan saya bersetuju untuk hadir ke Gurdwara buat kali yang kedua.

Ternyata dalil-dalil dan hujah-hujah agama tidak meletakkan halangan kepada umat Islam untuk menghormati agama lain dan mengharuskan kunjungan ke rumah ibadat mereka dengan tujuan yang murni.

Namun, saya tetap merasakan saya bertanggungjawab agar mereka yang turut serta dalam program ini terutamanya di kalangan Muslim terpelihara dari segi perbuatan atau mengelak dari perkara-perkara yang meragukan.

Walaupun ada Fatwa yang menyebut hukumnya makruh mengerjakan ibadah di rumah ibadat lain (maksudnya boleh dibuat), tetapi saya juga perlu peka dan sebagai seorang pemimpin tempatan sudah pasti gerak-geri saya bukan saja dinilai dan diperhatikan tetapi juga boleh menjadi ikutan.

Bagi Iftar Muhibbah tahun lepas, saya sebenarnya telah menyertai qariah Masjid Bulatan, Kg Melayu Majidee untuk Majlis Khatam Quran, berbuka puasa dan solat Maghrib secara berjemaah sebelum saya ke Gurdwara bagi memenuhi undangan mereka.

Mereka yang suka tuduh-menuduh boleh semak dengan qariah Masjid atau rajin-rajinlah bersama mengimarahkan rumah Allah.

Cuma saya menganggap ibadah saya adalah urusan dengan Allah dan saya tidak mahu dianggap menunjuk-nunjuk sebab itu saya tidak ceritakan secara terbuka.

Tetapi dalam konteks ini, saya ceritakan juga untuk elak fitnah pihak yang tidak bertanggungjawab.

Manakala untuk undangan Iftar Muhibbah tahun ini, saya dapat tiba lebih awal di Gurdwara sekitar jam 6.45 petang bagi menyantuni penganjur, hadirin dan pihak media sebelum saya menyeberangi jalanraya ke Kompleks Kotaraya@Galleria bagi berbuka puasa di Masjid An-Nur Kotaraya (rujukan: https://www.facebook.com/593529354077239/posts/2266229873473837)

Selesai solat Maghrib berjemaah di Masjid An-Nur Kotaraya, saya kembali semula ke Gurdwara untuk makan bersama dan meraikan tuan rumah dan tetamu mereka.

TAKUT DENGAN KEBAIKAN

Sementara penganjur bertungkus-lumus mempersiapkan majlis, mereka juga faham dan menghormati permintaan saya untuk berbuka dan solat Maghrib di Masjid terlebih dahulu sebelum makan bersama.

Saya juga ucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Kotaraya@Galleria dan Masjid An-Nur yang tampil memudahkan kami untuk berbuka puasa.

Toleransi sebegini jarang-jarang diceritakan.

Dalam berhadapan dengan masyarakat berbilang bangsa, masyarakat Melayu Islam sering didambakan dengan pemikiran seperti:-

Kita perlu takut akidah kita tergugat.

Kita perlu sangsi dengan mereka bukan Islam yang cuba menggugat kepercayaan kita.

Walaupun mereka cuba melakukan kebaikan, sudah pasti mereka mempunyai agenda tersembunyi.

Begitulah sensitiviti dan sentimen yang telah ditanam dalam masyarakat kita.

Diakui bahawa sikap berwaspada dan berjaga-jaga perlu ada, namun kita perlu ada keyakinan dengan kemampuan diri kita yang boleh dipupuk melalui kepercayaan, ilmu dan amalan.

Sebagai orang Islam, kita wajib berpegang teguh kepada agama kita.

Sebagai rakyat Malaysia pula, kita perlu bersikap jujur bahawa kita hidup dalam masyarakat majmuk.

Pandanglah mereka yang bukan beragama Islam dari sudut sesama manusia.

Kebaikan yang dibuat wajarlah disambut dengan kebaikan.

Provokasi dan sentimen perkauman hanya akan melemahkan kita semua sebagai sebuah negara.

Menghormati dan memahami antara satu sama lain membolehkan kita bukan sahaja mewujudkan suasana yang harmoni tetapi juga mengenali diri kita sendiri dengan lebih dekat.

Sikap sebegini tidak boleh dibeli tetapi perlu diusahakan dalam diri masing-masing.

Adalah rugi untuk kita sebagai seorang Muslim tetapi tidak berusaha ke arah keperibadian yang terpuji dan melangkaui polemik perkauman.

MASIH BANYAK YANG PERLU DILAKUKAN

Program Muhibbah semalam bukanlah majlis rasmi tetapi kerana tersebar luasnya, ramai yang tampil bagi memudahkan urusan dan saya terharu melihat kesepakatan semua pihak.

Kehadiran pemimpin komuniti muslim berbangsa India daripada Masjid India berdekatan dan komuniti muslim berbangsa Cina dari Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) untuk meraikan majlis muhibbah adalah amat bermakna.

Mereka menjadi bukti bahawa agama Islam tidak eksklusif kepada mana-mana kaum atau kumpulan, tidak menindas serta tidak memutuskan hubungan silaturahim hatta kini berbeza kepercayaan.

Sementara polemik agama dan perkauman akan terus dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, kita seharusnya mempunyai jati diri, prinsip, sahsiah dan nilai-nilai terpuji.

Tidak dinafikan kita perlu sentiasa merujuk kepada alim ulama’ dalam hukum-hakam agama.

Kita perlu teliti dan perlu ada kaedah membuat keputusan berdasarkan panduan yang diberikan.

Tetapi saya juga yakin sebagai seorang Muslim di negara ini, kita juga mampu berperanan mengeratkan hubungan sesama rakyat Malaysia.

Sekurang-kurangnya kita semua mempunyai aspirasi untuk mewujudkan masyarakat yang bertoleransi dan saling faham-memahami sementara tegas dalam mengangkat nilai-nilai murni seperti akauntabiliti, menolak rasuah dan salah guna kuasa.

Saya yakin dengan berpandukan keyakinan tersebut, kita mempunyai kekuatan ke arah kesejahteraan masyarakat baik dari segi politik, ekonomi dan sosial.

Selepas majlis di Gurdwara, saya bergegas ke Masjid Taman Dato’ Onn, Larkin untuk Solat Isyak dan Terawikh bersama dengan penduduk tempatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *