LAWATAN MENGEJUT DI KG MELAYU MAJIDEE


Solat Jumaat di Masjid Kg Dato Sulaiman Menteri.

Pada hujung minggu lalu, saya telah turun ke beberapa kawasan dalam Parlimen Johor Bahru dan sempat melakukan satu lawatan mengejut ke sebuah kawasan.

Pada hari Jumaat, saya sempat melakukan solat Jumaat di Masjid Kg Dato Sulaiman Menteri. Ketua Kampung, Tok Zaini telah usahakan dengan sekolah berdekatan untuk kita sama-sama bantu murid-murid yang memerlukan.

Kemudian, sempat minum dan sembang panjang dengan beberapa penduduk mengenai permasalahan setempat. Terdapat beberapa aduan yang saya kira perlu diambil tindakan secepat mungkin. Insyallah saya akan berbincang dengan pejabat pusat khidmat rakyat dan juga pihak berkuasa tempatan bagi mencari satu solusi yang berkesan.

InsyaAllah kita akan cuba untuk lakukan yang terbaik untuk masyarakat setempat.

Usai solat Jumaat, saya telah melakukan satu lawatan mengejut di sekitar Jalan Budiman, Kg Melayu Majidee. Ini kerana penduduk setempat telah melahirkan kebimbangan atas kerja-kerja yang sedang dijalankan.

Projek pembesaran landasan keretapi akan memberi kesan kepada rumah-rumah tersebut yang dibina terlalu berhampiran dengan trek. Notis telah dikeluarkan tetapi saya akan usahakan satu mesyuarat bersama dengan mereka yang terlibat.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Penghulu, Ketua Kampung, Ahli Majlis dan wakil-wakil penduduk yang turut bersama dan beri kerjasama sebaiknya.

Akhir sekali, saya telah turut serta dalam satu program untuk meraikan kanak-kanak yang tinggal di rumah Kebajikan Villa Paulos, Johor Bahru. Saya berharap kumpulan ini akan diberikan perhatian yang sewajarnya oleh kelompok masyarakat setempat.

Saya yakin perkhidmatan yang diberikan oleh rumah kebajikan tersebut akan mampu memberikan penjagaan yang sebaiknya kepada mereka. Saya menggalakkan orang ramai untuk turut sama membantu sama ada daripada segi masa atau kewangan untuk kesejahteraan kanak-kanak di sini.

Moga kehadiran kami sedikit sebanyak memberikan keceriaan. Terima kasih kepada pihak pengurusan rumah kebajikan yang menjemput serta para penyumbang yang prihatin terhadap rumah Kebajikan Villa Paulos.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *