LAWATAN KERJA KE TAIWAN

Pada minggu ini, saya menyertai delegasi Ahli Parlimen dalam rangka lawatan kerja selama lima hari ke Taiwan.

Pada hari Isnin, kami telah mengadakan satu pertemuan dengan tiga entiti berbeza iatu Office of Trade Negotiations, Agriculture Technology Research Institute dan Industrial Technology Research Institute.

Pelaburan negara ini dalam penyelidikan amat tinggi seperti Pusat Penyelidikan Teknologi Industri yang mempunyai lebih 6,000 orang pekerja sepenuh masa.

Yang lebih menarik, kerajaan mereka hanya menampung sekitar 50% perbelanjaan institut ini dan selebihnya mereka berjaya menjana pendapatan sendiri samada bekerjasama dengan pihak swasta mahupun menjual teknologi yang dimiliki.

Taiwan memiliki model penyelidikan yang menarik yang mungkin boleh diaplikasikan di Malaysia. Saya merasakan sektor penyelidikan di Malaysia perlu dipertingkat untuk meningkatkan daya saing dan inovasi negara.

Perkembangan dalam industri penyelidikan akan dapat membantu mewujudkan pekerjaaan bertahap kemahiran tinggi yang akan dapat menggunakan tenaga kerja belia yang sedia ada.

InsyaAllah saya akan cuba mencadangkan beberapa perkara kepada kementerian yang berkaitan sebagai satu usaha susulan daripada lawatan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *