KEUSAHAWANAN TAK ‘GLAMOUR’?

Berdasarkan Laporan Tahunan PKS 2015/2016, Malaysia adalah sebuah negara dalam kalangan ekonomi di rantau Asia dengan pembiayaan dan infrastruktur fizikal disediakan secara meluas bagi memberi sokongan kepada para usahawan.

Namun, walaupun dengan faktor yang positif, kadar Total Early-stage Entrepreneurial Activity (TEA) negara adalah paling rendah di rantau ini. Menurut laporan tersebut, peratusan individu yang sedang dalam proses permulaan atau sudah menjalankan perniagaan baharu di Malaysia adalah 2.9% pada tahun 2015, berbanding dengan 6.6% pada tahun 2013 dan 5.9% pada tahun 2014. Trend ini menunjukan bahawa tidak ramai rakyat yang mengejar peluang keusahawanan dan inisiatif yang innovatif.

Data di atas menunjukan aktiviti keusahawanan peringkat awal di Malaysia adalah konsisten dan dipacu terutamanya oleh peluang berbanding dengan keperluan. Dalam Laporan Global Entrepreneurship Monitor (GEM), Malaysia berada di tempat keenam daripada 60 buah negara dalam Indeks Motivasi, dengan usahawan Malaysia memilih untuk mengejar peluang berasaskan kepada motivasi keusahawanan, dan bukannya memulakan perniagaan berasaskan keperluan.

Namun begitu, keusahawanan tidak dilihat sebagai kerjaya pilihan di Malaysia (hanya 39.3% pada tahun 2015) dan negara seperti Singapura (51.7% pada tahun 2014), berbanding negara ASEAN yang lain. Hal ini mungkin kerana terdapat banyak peluang pekerjaan tetap yang menawarkan skim gaji yang menarik seperti manfaat KWSP dan perubatan.

Seterusnya, kadar pemilikan perniagaan baharu yang rendah di Malaysia (2.3% pada tahun 2015) adalah kerana persekitaran pekerjaan yang teguh; lebih ramai rakyat Malaysia memilih untuk mendapat pendapatan yang stabil melalui pekerjaan, berbanding mempunyai perniagaan sendiri.

Oleh yang demikian, usaha ke arah penggalakan penglibatan belia dalam keusahawanan perlu dilakukan dengan segera. Penubuhan semula Kementerian Pembangunan Usahawan adalah satu langkah yang baik ke arah membudayakan keusahawanan dalam kalangan masyarakat.

InsyaAllah saya akan cuba kupas isu mengenai keusahawanan dan pada yang sama, menjalankan gerak kerja di bawah melalui platfrom ahli parlimen dan pemuda Keadilan. Saya melihat industri keusahawanan memainkan peranan yang penting dalam menangani isu pengangguran belia negara pada masa ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *