KESAN PERANG DAGANG KEPADA EKONOMI

SIRI 2 #TRADE

Di sini saya ingin menceritakan sambungan daripada siri pertama dengan secara ringkas sahaja kesan perang dagang terhadap ekonomi Malaysia.

Sudah pasti banyak lagi kesan-kesan lain secara langsung dan tidak langsung terhadap perniagaan dalam negara yang memerlukan kajian dan pemahaman yang lebih tinggi dalam isu ini.

Seperti yang telah dilaporkan, Bursa Malaysia telah mencatatkan peningkatan aliran masuk bersih dana asing sejak beberapa minggu yang lalu. Memang tidak boleh dinafikan bahawa perkembangan ini ‘dibantu’ oleh perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Secara keseluruhan, Malaysia tidak terjejas secara langsung disebabkan persengketaan antara dua buah negara tersebut. Namun, terdapat peluang di mana Malaysia mampu meningkatkan nilai eksport ke AS dan China. Peningkatan eksport sudah pasti dapat menyumbang kepada ekonomi negara disebakan peningkatan pengeluaran dan tukaran mata wang asing.

Contohnya, Malaysia boleh mengisi ruang yang dikenakan tarif, contohnya minyak soya yang diimport oleh China dari AS, berkemungkinan akan menaikkan permintaan untuk minyak kelapa sawit di Malaysia.

Menurut Kementerian MITI, perdagangan Malaysia-China terus berkembang pada kadar lebih tinggi berbanding dengan rakan dagang lain. Bagi tempoh Januari hingga November 2018, keseluruhan perdagangan Malaysia meningkat 6.2 peratus berbanding tempoh yang sama 2017, menyumbang 6.9 peratus pertumbuhan kepada eksport dan 5.3 peratus kepada import.

Namun begitu, kita tidak boleh menafikan kelembapan ekonomi global yang mungkin terjadi disebabkan perang dagang ini. Tarif yang dikenakan bertujuan untuk melindungi industri tempatan boleh menjejaskan pendapatan kedua-dua buah negara untuk jangka masa pendek dan panjang.

Pengurangan barang dagangan ekspot China ke AS akan memaksa negara tersebut untuk mengurus kewangan dan berbelanja dengan lebih berhemah. Apabila kuasa besar ekonomi seperti China mengambil keputusan untuk mengurangkan perbelanjaan, ini sudah pasti akan dapat dirasai negara-negara kecil dan membangun seperti Malaysia, yang bergantung kepada pendapatan perdagangan.

Suasana ketidaktentuan dalam pasaran ini akan membuatkan pelabur lebih berhati-hati dan lebih gemar untuk hanya melihat. Ini seterusnya akan lebih memburukkan keadaan dan membawa kepada krisis ekonomi yang kritikal.

Oleh itu, negara AS dan China perlu segera mencari jalan tengah bagi mencapai persetujuan bersama. Perang dagang yang berlanjutan hanya akan lebih memburukkan keadaan dan dalam jangka masa panjang, ia boleh membawa kepada kelembapan ekonomi global yang lebih buruk.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *