Kerajaan komited laksanakan projek BRT Johor Bahru

Berdasarkan perkembangan terbaru, projek Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (IMBRT) akan diteruskan dan pembinaannya dijangka bermula pada tahun 2022.

Sebelum ini pada sesi Dewan Rakyat Julai yang lalu, saya telah menyarankan agar projek ini dapat dilaksanakan di bawah pentadbiran kerajaan baharu Pakatan Harapan setelah mendapat kelulusan daripada kerajaan Persekutuan pada Oktober 2017.

Ini kerana berdasarkan perangkaan, Daerah Johor Bahru mempunyai populasi penduduk sekitar 1.83 juta orang dan kemudahan IMBRT mampu mengurangkan kesesakan dan pencemaran di samping menggalakkan masyarakat meggunakan pengangkutan awam.

Selain itu, saya berpendapat pembinaan BRT ini akan mampu meningkatkan tahap capaian di wilayah Iskandar Malaysia khususnya buat golongan B40 dan M40.

Pembangunan sistem pengangkutan BRT akan menghubungkan Johor Bahru ke kawasan perindustrian dan kediaman di Tebrau, universiti dan pusat-pusat perniagaan di Skudai dan kawasan pembangunan baru di Nusajaya.

Pembinaan stesen-stesen BRT secara strategik juga diyakini dapat membantu menjana ekonomi setempat melalui peluang perniagaan dan pekerjaan.

Saya akan terus mengikuti perkembangaan projek IMBRT secara dekat dan berharap sebarang pengumuman berkaitan dapat diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan dari semasa ke semasa.

Akmal Nasir
Ahli Parlimen Johor Bahru

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *