Kenyataan Media isu perasmian Kongres AMK

KENYATAAN MEDIA ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA

Oleh :
Akmal Nasir
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) BERTANGGUNGJAWAB PENUH DALAM PENGURUSAN KONGRES NASIONAL TAHUNAN AMK 2019

13 November 2019

Saya mengambil maklum satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh beberapa kepimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) berhubung isu Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan AMK 2019 yang akan berlangsung pada 6 Disember ini.

Justeru ingin saya tekankan bahawa sebarang keputusan yang dibuat untuk Kongres AMK kali ini telah diputuskan melalui Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK Malaysia yang telah berlangsung pada 20 Oktober 2019.

Oleh itu adalah lebih wajar untuk mana-mana kepimpinan AMK merujuk saluran yang ada sebelum membuat kenyataan terbuka yang tidak tepat.

Saya juga ingin mengingatkan agar usaha untuk menggilap muafakat dan kesatuan dalam perjuangan harus bermula dengan setiap anggota perlu menghormati kepimpinan parti, perlembagaan, dan keputusan-keputusan mesyuarat parti.

Setiap anggota parti perlu pastikan usaha ini bukan sekadar menjadi omongan kosong, tapi perlu dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas.

Kongres Nasional Tahunan AMK adalah platform penting untuk menghimpunkan seluruh anggota dan kepimpinan akar umbi dari seluruh negara.

AMK bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyusun dan melaksanakan perjalanan Kongres AMK ini termasuklah dalam urusan perasmian.

Maka, Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK Malaysia telah menetapkan perasmi Kongres AMK tahun ini adalah YAB Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri merangkap penasihat KEADILAN.

AMK bertanggungjawab memberi mesej yang jelas kepada seluruh anggota KEADILAN bahawa AMK akan kekal teguh mendokong kepimpinan parti yang sekaligus memelihara tradisi perjuangan KEADILAN.

Ini menjadikan KEADILAN kekal sebagai sebuah parti yang utuh dan dinamik.

AMK akan menjadikan Kongres Nasional Tahunan AMK 2019 sebagai platform untuk menyuarakan isu-isu demi kepentingan rakyat terutamanya anak muda seperti pendidikan, peluang pekerjaan serta kos sara hidup dan bukannya isu politik kelompok yang berkepentingan.

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *