Kenapa Azmin perlu ikut pembangkang?

PEMUDA PKR masih tidak berpuas hati dengan penjelasan Azmin Ali yang menyokong saranan pembangkang agar Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri sehingga habis penggal.

Ketua pergerakan itu, Akmal Nasir berkata sokongan itu tidak wajar kerana Pakatan Harapan sudahpun bersetuju Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan perdana menteri mengikut tempoh dijanjikan.

Azmin juga sepatutnya menyatakan pandangan tersebut dalam Majlis Presiden PH dan bukan membuat kenyataan terbuka, katanya.

“Mengapa mereka ini memilih untuk berpandangan memihak kepada pembangkang. Sedangkan PH sudah ada keputusannya,” kata Akmal Nasir kepada The Malaysian Insight.

Tegasnya, semua pihak dalam parti komponen PH perlu menghormati perjanjian peralihan kuasa jawatan perdana menteri seperti dibincangkan sebelum pilihan raya umun lalu.

“Dalam keadaan ini (isu peralihan kuasa) bagi saya (kita) perlu hormati pandangan PH. Kalau dikatakan tiada perbincangan, kenapa konsensus ini dicapai dahulunya?

“Jadi perkara ini dah dibincang panjang. Dan keputusan konsensus (peralihan kuasa) dah tercapai,” kata Akmal selepas program Bicara Anak Muda di Balik Pulau, Pulau Pinang, semalam.

Semalam, Azmin Ali menjelaskan kepada media, kenyataan sokongan kepada saranan pembangkang itu tidak bermakna beliau menolak Anwar sebagai pengganti perdana menteri.

Sebaliknya, sokongan untuk Dr Mahathir menghabiskan penggal dengan jawatannya itu untuk menjamin kestabilan politik dan kemajuan ekonomi.

“Kalau anda lihat kandungan (kenyataan) saya jelas ianya tumpu kepada soal ekonomi. Soal kestabilan politik penting untuk menarik pelaburan dalam negara.

“Penting perdana menteri teruskan kepimpinan beliau supaya ada kestabilan politik dan konsisten,” kata Azmin.

Azmin juga menafikan beliau terlibat dalam satu pertemuan wakil rakyat pembangkang untuk menyokong Dr Mahathir memegang jawatan sehingga habis penggal, Selasa lalu.

Saranan itu pada awalnya disuarakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mahu Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri biarpun PH mahu bersetuju jawatan itu dilepaskan kepada Anwar.

Hadi juga berkata, parti Bersatu perlu dipertahankan memandangkan parti lain dalam PH tidak mencerminkan kepimpinan Islam.

Sokongan Azmin ke atas saranan Hadi menyebabkan Aktivis Reformis 98 mendesak agar Azmin Ali disingkirkan kerana tindak-tanduknya membelakangi presiden dan parti.

Dr Mahathir bagaimanapun menegaskan beliau akan memenuhi janji dan tidak akan berkhidmat sehingga habis penggal. – 3 Ogos, 2019.

Sumber: https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/172901

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *