Jana ekonomi luar bandar untuk tangani miskin bandar

Pada minggu lalu, satu laporan telah dikeluarkan oleh pelapor khas PBB berhubung isu kadar kemiskinan negara yang dikatakan lebih tinggi daripada angka yang diguna pakai sekarang ini, yakni 0.4 peratus.

Saya kira kerajaan perlu memberi perhatian yang sewajarnya kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh pelapor tersebut dan membuat perangkaan berbanding perangkaan yang diguna pakai oleh negara.

Dalam sesi Parlimen yang lalu, saya juga telah membangkitkan isu Paras Garis Kemikinan (PGK) yang menjadi salah satu kayu ukur utama kerajaan dalam mengenal pasti keluarga-keluarga miskin.

Paras PGK nasional merangkumi makanan dan bukan makanan adalah RM980 pada tahun 2016. Salah satu kelemahan yang mungkin timbul adalah PGK ini diguna pakai tanpa mengira perbezaan lokaliti (bandar atau luar bandar), akses kepada kemudahan-kemudahan dan sebagainya.

Selain daripada apa yang diperkatakan oleh pelapor khas PBB tersebut, saya merasakan kerajaan perlu memberikan perhatian kepada satu lagi kelompok yakni golongan miskin bandar.

Menurut sumber, golongan miskin bandar ini turut terdiri daripada mereka yang berhijrah daripada luar bandar untuk mencari pekerjaan dan sebagainya.

Bagaimanapun, penghijrahan secara mendadak sejak 1990 telah menyebabkan peluang ekonomi dan tempat tinggal menjadi terhad sekali gus mengakibatkan sebahagian penghuni bandar tersisih daripada arus pembangunan.

Masalah miskin bandar ini sepatutnya membuka jalan kepada pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar. Industri-industri seperti perikanan, penternakan dan pertanian perlu diberi lebih penekanan bagi menarik minat anak muda luar bandar khususnya untuk bekerja dalam sektor tersebut.

Penggunaan teknologi-teknologi moden akan mampu meningkatkan produktiviti sekali gus menjurus kepada peningkatan pendapatan golongan petani dan nelayan professional.

Hal ini seterusnya akan dapat mengurangkan migrasi anak muda ke bandar dan memastikan pembangunan ekonomi yang lebih seimbang antara bandar dan luar bandar.

Saya melihat pembangunan industri ekonomi luar bandar sebagai salah satu alternatif bagi menangani masalah pengangguran belia di negara. Penjanaan ekonomi yang terlalu memusat di bandaraya tanpa rancangan ekonomi di luar bandar akan memberikan kesan yang tidak baik dalam jangka masa panjang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *