Inisiatif tawaran #MalaysiaKerja dalam Belanjawan

Menerusi Belanjawan 2020, kerajaan bakal melancarkan inisiatif #MalaysiaKerja bagi membuka pasaran kerja dengan insentif yang lumayan. Dalam masa yang sama ia bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah. Melalui program ini, ia dipecahkan kepada 4 segmen.

Segmen pertama dikhususkan kepada graduan melalui #GraduanKerja. Graduan yang menganggur melebihi 12 bulan akan menerima elaun sebanyak RM500 sebulan sekiranya menerima tawaran kerja yang baharu selama tempoh 2 tahun. Bagi majikan, mereka akan menerima insentif pengambilan pekerja dari golongan graduan sebanyak RM300 sebulan bagi tempoh 2 tahun.

Segmen #WanitaKerja dikhususkan kepada golongan wanita berusia 30 hingga 50 tahun yang tidak bekerja setahun dan ke atas. Mereka yang kembali bekerja bakal menerima insentif sebanyak RM500 sebulan selama 2 tahun dan dikecualikan cukai pendapatan sehingga 2023. Manakala majikan bakal menerima insentif dari kerajaan sebanyak RM300 sebulan bagi tempoh yang sama.

Bagi mengurangkan pengambilan pekerja asing, segmen #WatanKerja telah diperkenalkan. Rakyat Malaysia yang bekerja menggantikan pekerja asing akan menerima insentif gaji sebanyak RM350 hingga RM500 sebulan selama 2 tahun mengikut sektor. Bagi golongan majikan yang menggambil pekerja tempatan, mereka bakal menerima insentif sebanyak RM250 sebulan untuk tempoh yang sama.

Manakala #PerantisKerja diwujud untuk memperkasakan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET). Pelajar TVET akan menerima elaun RM100 sebulan bagi menggalakkan lebih ramai belia menyertai kursus tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *