INDUSTRI PERLU BEKERJASAMA TINGKAT KEPADANAN TENAGA KERJA

Walaupun tahap pendidikan tenaga kerja semakin tinggi, peluang pekerjaan yang diwujudkan dalam ekonomi Malaysia masih tertumpu pada pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana.

Berdasarkan Laporan Tahunan 2016 BNM, seolah-olah terdapat ketidakpadanan yang ketara di antara bakat tenaga kerja yang dihasilkan dengan jenis pekerjaan yang diwujudkan dalam industri.

Pihak majikan ada membangkitkan isu kekurangan kemahiran yang ketara dalam kalangan pekerja baharu. Kaji selidik yang dijalankan Bank Dunia dan TalentCorp mendapati bahawa 90% daripada syarikat percaya bahawa siswazah universiti sepatutnya menjalani lebih banyak latihan industri sebelum mendapatkan ijazah.

Majikan terus menerus menyalahkan sektor pendidikan terutamanya pendidikan universiti (secara tidak langsung) atas kelemahan menghasilkan gologan graduan yang berkualiti tinggi. Nilai kebolehpasaran dan kemahiran komunikasi yang lemah dikatakan menjadi faktor utama peningkatan pengangguran golongan belia negara.

Namun pada masa yang sama, syarikat-syarikat ini tidak mengambil inisiatif dalam turut membantu menghasilkan pekerja yang berkemahiran tinggi. Dikatakan 50% syarikat tiada program latihan industri berstrukutur menunjukkan mereka tidak berminat untuk ‘melabur’ dalam mengembangkan bakat-bakat tenaga kerja dalam negara.

Selain itu, kerjasama dengan pihak universiti juga sangat lemah. Sepatutnya, pihak syarikat bekerjasama dengan pihak universiti dalam menghasilkan satu perancangan atau kurikulum strategik untuk meningkatkan kualiti graduan universiti. Kerjasama seperti ini sudah pasti akan mengurangkan masalah ketidakpadanan industri yang kian serius sejak kebelakangan ini.

Di samping itu, golongan majikan juga haruslah mengambil langkah proaktif dalam menghasilkan lebih banyak kerja berkemahiran tinggi. Seperti yang telah dibincagkan di atas, penghasilan pekerjaan berkemahiran tinggi adalah sedikit dan ia tidak selari dengan jumlah graduan yang dihasilkan setiap tahun.

Oleh itu, sektor pendidikan dan industri harus mula mengorak langkah dalam menjalin kerjasama agar masalah ini dapat diselelsaikan dengan lebih berkesan. Hal ini kerana golongan yang paling akan terkesan adalah golongan graduan yang menganggur selama berbulan-bulan yang turut terbeban dengan hutang PTPTN.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *