INDEKS GAJI KEBANGSAAN DIUMUMKAN

Hari ini, Menteri Sumber Manusia, M.Kulasegaran telah melancarkan Indeks Gaji Kebangsaan (IGK) setelah kajian dijalankan sekurang-kurangnya selama dua tahun (Malay Mail, 2019).

Saya melihat ini sebagai satu langkah yang baik ke arah meningkatkan tahap gaji rakyat Malaysia. Umum mengetahui bahawa salah satu faktor utama yang menyebabkan rakyat tertekan dengan kos sara hidup sekarang adalah kenaikan gaji yang rendah beberapa tahun kebelakangan ini.

Contohnya, dalam sektor perkilangan Malaysia pada dekad lepas, produktiviti buruh bertumbuh pada purata 5% setiap tahun, tetapi purata sebenar gaji perkilangan berkembang pada kadar yang jauh lebih lambat iaitu hanya 2.4%.

Jika dilihat pada tempoh antara tahun 1998 dan 2007, pengeluaran bagi setiap pekerja dalam sektor perkilangan meningkat lebih kurang 180% tetapi peningkatan gaji pada jangka waktu yang sama meningkat hanya 73%.

Malahan sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) pun, jikalau anda masih ingat akan jelajah Bina Semula Negara yang dianjurkan oleh Rafizi Ramli, beliau telah menuntut agar gaji setimpal diberikan terhadap pekerja-pekerja. Ini kerana memang telah dibuktikan oleh kertas-kertas kajian yang menunjukkan pasaran buruh mengalami kenaikan gaji yang rendah. Masih ada lagi graduan yang menerima gaji bawah daripada RM2,000 sebulan!

Namun menurut kementerian, indeks ini hanya akan berfungsi sebagai garis panduan dan bukannya wajib dipatuhi oleh para majikan. Oleh itu, satu pemantauan perlu sentiasa dijalankan agar gaji yang ditawarkan selari dengan tuntutan ekonomi semasa.

Indeks Gaji Kebangsaan diharap akan dapat menjadi alat yang berkesan dalam proses penetapan gaji yang lebih setimpal di samping Indeks Harga Pengguna dan Indeks Produktiviti. Selain itu, saya yakin IGK mampu memberikan pemahaman yang lebih baik dalam proses perangkaan polisi dan dasar berkaitan pasaran buruh dan ekonomi negara.

Rujukan – https://www.malaymail.com/news/malaysia/2019/02/19/putrajaya-launches-national-wage-index-for-productivity-wage-benchmark/1724453

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *