PTPTN – Kenyataan Media

KENYATAAN MEDIA ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA (AMK) BERKENAAN PERTEMUAN TERTUTUP BERSAMA PERBADANAN TABUNG PENDIDIKAN TINGGI NASIONAL (PTPTN)

Angkatan Muda KEADILAN Malaysia (AMK) telah mengadakan satu pertemuan bersama pengurusan tertinggi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada 12 Disember 2018. Pertemuan ini diadakan sebagai langkah susulan membincangkan dengan lebih lanjut keputusan PTPTN menangguhkan Potongan Gaji Berjadual (PGB) yang pada awalnya diumumkan ingin dilaksanakan pada Januari 2019.

AMK menyambut baik tindakan kerajaan untuk mendengar pandangan anak muda dan dalam pertemuan bersama PTPTN, AMK telah mengesyorkan tuntutan-tuntutan seperti berikut kepada PTPTN:

1. PTPTN perlu mematuhi dan menghormati perjanjian asal pembayaran balik yang telah dipersetujui lebih awal antara PTPTN dan peminjam;

2. Satu fokus penuh diberikan kepada usaha untuk mengesan dan memulakan pembayaran balik yang masih belum dimulakan oleh mana-mana peminjam;

3. Sekiranya PTPTN ingin meminda kandungan perjanjian asal pembayaran balik, PTPTN perlu terlebih dahulu merujuk dan mendapatkan kebenaran daripada peminjam;

4. Kadar Ujrah sebanyak 1% yang dikenakan bagi tujuan menampung kos-kos bagi mengurus dan menyediakan pinjaman kepada peminjam adalah dikekalkan buat masa ini tanpa sebarang kenaikan; dan

5. Sebarang makluman dan ketetapan baru yang akan diputuskan oleh PTPTN kelak yang akan memberikan kesan langsung kepada peminjam seharusnya dimaklumkan lebih awal dan dibincang terlebih dahulu bersama peminjam.

AMK mengambil pendirian memandangkan isu PTPTN adalah menjadi sebahagian teras utama manifesto Pakatan Harapan pada pilihanraya umum yang lepas, sebarang pengumuman penting dan sensitif seharusnya dibincangkan dan diteliti dengan lebih berhati-hati agar tidak terkeluar dari semangat asal ketika manifesto digubal dan diumum kepada rakyat. PTPTN sewajarnya mencari formula baru untuk memastikan kelangsungan pendidikan tinggi dengan menggunakan kaedah yang tidak membebankan anak muda.

AKMAL NASIR
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia
Ahli Parlimen Johor Bahru

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *