Gerakan Kempen Komuniti Muda oleh AMK Malaysia

Sepanjang setahun yang lalu, AMK secara keseluruhannya telah menganjurkan pelbagai inisiatif dan program di peringkat akar umbi samada yang digerakkan melalui negeri atau cabang AMK. Kebanyakkan program-program ini adalah berbentuk sumbangan, kebajikan, kejohanan sukan, dialog dan sebagainya yang mana laporan ini kita terima melalui Mesyuarat Pimpinan Pusat AMK setiap bulan.

Walaupun kita bersama dengan kerajaan, kita tidak boleh bergantung hanya kepada agensi atau jabatan semata-mata, sebaliknya AMK perlu kekal berperanan dalam masyarakat.

Sebagai contoh, minggu lepas Saudara Chua Wei Kiat dan AMK Selayang beserta beberapa wakil rakyat telah menghantar 10 kenderaan pickup beserta sumbangan untuk mangsa-mangsa banjir di Kelantan. Saya percaya ada juga usaha sedemikian daripada AMK lain yang turut menghulurkan bantuan.

Namun begitu, sekiranya kita dapat meluaskan perancangan dan penglibatan, saya percaya keberkesanan dan kesan usaha AMK akan dapat ditingkatkan dan dirasai oleh masyarakat keseluruhannya.

Pada masa yang sama, kita perlu terapkan nilai-nilai dalam aktiviti berkomuniti ini supaya ada kesinambungan (bukan sekadar ad-hoc atau aktiviti one off) dan mempunyai sasaran atau matlamat yang lebih besar.

Melalui program dan kerangka yang lebih tersusun, kita boleh melahirkan aktivis-aktivis yang akan menjuarai pelbagai isu khusus yang membolehkan AMK berperanan membawa suara anak muda.

Jika kita ikuti ‘global trend’ atau perkembangan dunia, ikon-ikon muda mengorak langkah untuk menyedarkan masyarakat dunia mengenai kepentingan isu yang diperjuangkan.

Sebagai contoh, anak muda dari Eropah iaitu Boyan Slat (Dutch) yang berusia 25 tahun menggerakkan inisiatif The Ocean Cleanup dan Interceptor 002 rekaannya sedang membersihkan Sungai Klang.

Greta Thunberg (Swedish), aktivis alam sekitar / perubahan iklim dunia yang kini berusia 16 tahun, telahpun dicalonkan untuk Anugerah Nobel Peace Prize untuk tahun 2019.

Kita perlu ambil inspirasi sebegini, kesedaran yang tercetus memakan masa bertahun-tahun. Saya percaya AMK perlu berperanan dalam memperjuangkan isu hak asasi manusia dan kesan alam sekitar, serta mempunyai rangkaian anak muda di akar umbi bermula dari Sekolah sehinggalah anak muda yang telah berkeluarga melalui program-program berkomuniti.

Maka saya sarankan untuk kita wujudkan kempen gerakan “Komuniti Muda” untuk menyelaraskan program dan aktiviti di seluruh negara. Kita akan lancarkan selepas Tahun Baru Cina supaya usaha AMK-AMK di akar umbi akan memberi kesan positif dan dirasai melangkaui kawasan masing-masing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *