Foodbank dan i-KeeP, usaha kerajaan tangani harga barang mahal

(BAHAGIAN 2)

Indeks Harga Pengguna atau Consumer Price Index (CPI) merupakan kayu pengukur kenaikan harga barang ataupun inflasi, yang sedikit sebanyak memberi petunjuk mengenai turun naik harga barang dalam pasaran.

Inflasi diukur atau dikira mengikut kumpulan harga barangan tertentu iaitu bakul barangan atau basket of goods. Kumpulan harga barangan semasa akan dibandingkan dengan harganya sebelum ini bagi menilai perubahan harga dalam tempoh tertentu.

Setiap kategori barangan dan perkhidmatan mempunyai pemberat atau weightage berbeza yang menyumbang kepada angka indeks CPI. Pemberat yang ditetapkan bagi setiap kategori barangan dan perkhidmatan di atas melambangkan corak perbelanjaan pengguna.

Tiga kumpulan harga utama yang mempengaruhi CPI ialah makanan dan minuman bukan alkohol, (2) perumahan (iaitu termasuk air, elektrik serta gas) dan (3) Pengangkutan (iaitu termasuk harga minyak).

Berdasarkan data terbaru yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Indeks CPI bagi bulan Januari 2019 mencatatkan angka -0.7 peratus. Namun, penurunan kadar CPI ini seolah-olah gagal diterjemah kepada penurunan harga barang yang boleh dirasai oleh rakyat.

Bahkan, biarpun semakan harga oleh KPDNHEP menunjukkan penurunan, rakyat terutamanya golongan B40 masih lagi terbeban terutamanya dengan harga barang makanan.

Jadi apa usaha yang dibuat oleh kerajaan?

Pertama, KPDNHEP telah melancarkan satu program berimpak tinggi yang mampu memanfaatkan lebihan makanan yang diberi nama Program Food Bank. Program Food Bank adalah satu pendekatan bagi mengumpulkan lebihan makanan yang masih boleh diguna dan untuk diagihkan kepada kumpulan sasaran oleh persatuan dan pertubuhan amal.

Usaha seperti ini bukan sahaja mengurangkan pembaziran, tetapi juga memberikan manfaat khususnya kepada isi rumah B40. Melalui inisiatif ini, sebanyak 945 tan metrik lebihan makanan berjaya diselamatkan setakat November tahun lalu dan disalurkan kepada 26,200 isi rumah di seluruh Malaysia.

Kedua, KPDNHEP juga telah memperkenalkan Inisiatif Kedai Ekonomi Rakyat atau I-KeeP. I-KeeP menawarkan barang keperluan harian pada harga 3 hingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran di premis kendalian rakan strategik peruncitan yang menyertai program itu.

I-KeeP diperkenalkan bagi menggantikan Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M), yang telah gagal (seperti yang diakui oleh bekas Timbalan Menteri Kewangan Kedua Dato’ Seri Johari Abdul Ghani) dan tidak mendapat sambutan disebabkan model perniagaan yang tidak mampan. Disebabkan itu, peruntukan wang rakyat RM300 juta untuk program KR1M juga turut terbazir begitu sahaja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *