Dialog bersama pelajar IKTBN Bukit Mertajam

Petang tadi saya berdialog bersama para pelajar IKTBN Bukit Mertajam, Pulau Pinang mengenai #Undi18.

Kita jumpa meminta Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk turut menjadi panelis bagi menyampaikan pandangan pelajar selain sesi soal jawab.

Saya mengingatkan adik-adik kita mengenai hak mereka sebagai rakyat Malaysia untuk menentukan masa depan negara dan mencadangkan agar pendirian mereka berdasarkan nilai-nilai idealisme yang jelas seperti jujur, melawan rasuah dan mengangkat suara anak muda.

Kelazimannya anak muda memang mempunyai pandangan kritikal kerana mereka mahukan sesuatu keadaan bertambah baik.

Maka orang politik kenalah peka dan ambil peduli suara anak muda.

Perjumpaan bersama Majlis Belia Malaysia

Pada hari Selasa yang lalu, Majlis Belia Malaysia (MBM) telah mengajak saya untuk berbincang mengenai pembangunan belia negara dan juga hal-hal berkaitan ekoran perubahan ketetapan had umur belia yang telah dibuat.

Pada masa ini, MBM sedang menjalani proses penstrukturan semula dari segi kepimpinan organisasi dan kewangan bagi menjamin kelangsungan pertubuhan belia ini yang telah wujud selama 69 tahun.

Saya telah memberikan pendapat dan cadangan dalam usaha untuk memperkasakan lagi MBM bagi memenuhi objekfif pembangunan anak muda di Malaysia.

Saya berharap MBM akan dapat terus memainkan peranan yang lebih efektif kepada warga belia negara dan melahirkan barisan kepimpinan pelapis yang muda dan berwawasan selari dengan garis had umur baru yang telah ditetapkan.

SMK Sri Mersing juara ragbi L16!

Alhamdulillah Kejohanan Ragbi #JBsevens telah berlangsung dengan baik.

Saya sempat ikuti perlawanan akhir dan tahniah kepada SMK Sri Mersing yang telah dinobatkan sebagai juara bawah 16 tahun, yang sekaligus menjulang Piala Pusingan buat julung kalinya.

Keputusan penuh kejohanan adalah seperti berikut:-

Kategori L16
Johan : SMK Sri Mersing
Naib Johan : Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar
Cup: English College & SMK Pasir Gudang 3

Kategori L14
Johan : Sekolah Tun Hussein Onn, Kluang
Naib Johan : SMK Sri Mersing
Cup: English College & Sekolah Tun Hussein Onn (B), Kluang

Kategori L11
Johan : SK Uda 2, Johor Bahru
Naib Johan : SK Bandar Easter, Kota Tinggi

Perancangan untuk menganjurkan JBsevens bermula seawal Januari dan saya menyambut usaha baik Jawatankuasa walaupun terdapat kekangan dari segi dana dan tenaga.

Walaupun pelbagai cabaran dan dugaan (kejohanan mulanya dijadualkan bulan Mac tetapi terpaksa ditunda ke minggu ini), saya ucapkan terima kasih kepada 63 pasukan yang menyertai pertandingan ini.

Sokongan guru-guru, ibu bapa dan peminat sukan ragbi ini adalah sangat bermakna buat adik-adik kita.

Terima kasih kepada jawatankuasa penganjur yang terdiri daripada Jabatan Pelajaran Negeri, PPD, MBJB, Jabatan Kesihatan, Guru-Guru, Pegawai-pegawai teknikal, MSAB, badan NGO dan juga sukarelawan.

Penghargaan buat penyumbang-penyumbang serta Johor Rugby Union atas sokongan yang diberikan.

Insyallah saya melihat kejohanan ini sebagai satu langkah positif untuk menghidupkan sebuah kejohanan bertaraf nasional.

Kita akan usahakan agar #JBsevens kembali lagi tahun depan.

p/s: Gambar bersama SMK Sri Mersing. Untuk gambar-gambar penuh kejohonan, boleh klik di sini https://www.facebook.com/pg/pkrjbofficial/photos/?tab=album&album_id=685970531816835

Program Iftar Mega Prima di UPM

Semalam, saya telah bersama-sama dengan kumpulan Koordinator Program Pembangunan Food Bank Siswa Kebangsaan (Food Bank 4 Student #F4ST) mengagih makanan kepada mahasiswa di program Iftar Mega Putra anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM).

Seramai lebih 3,000 mahasiswa telah menyertai program Iftar Mega Putra di Dataran UPM.

Ini adalah satu program yang menarik dalam mengeratkan lagi hubungan sesama pelajar di kampus.

Turut bersama adalah Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor UPM dan pimpinan MPP UPM.

Forum “The State of the Labour Market in Malaysia”

Semalam saya telah diberi peluang untuk menganjurkan forum dengan kerjasama beberapa persatuan UIA yang bertajuk “The State of the Labour Market in Malaysia”.

Forum tersebut telah membincangkan realiti sebenar alam sektor buruh di Malaysia terutamanya isu gaji rendah yang menjadi salah satu faktor utama kos sara hidup tinggi.

InsyaAllah perbincangan forum akan turut diadakan di universiti-universiti tempatan yang lain.

Apabila lebih ramai masyarakat memahami situasi sebenar, secara tidak langsung akan menjurus kepada gesaan penstrukturan semula sektor buruh untuk pemberian gaji yang lebih setimpal.

Terima kasih kepada pihak penganjur dan para pelajar dan pensyarah yang telah menjayakan forum ini.

Food Bank Siswa bantu mahasiswa lapar

Tengah hari tadi dalam satu sesi perbincangan bersama YB Menteri KPDNHEP Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail dan badan-badan yang telibat dalam pelaksaan program Food Bank Malaysia.

Perlaksanaan Program Food Bank Siswa di beberapa buah Universiti Awam (UA) telah memberikan impak positif kepada mahasiswa. Program yang menyasarkan mahasiswa berlatarbelakang keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dilihat mampu menangani isu mahasiswa lapar.

Ketika ini pihak kementerian sedang menyasarkan pelaksanaan program Food Bank Siswa ke 20 UA sebelum Disember tahun ini, dalam masa yang sama memerlukan kerjasama dan komitmen dari pelbagai pihak untuk menjayakannya.

Dijangka, program ini bakal diperluas ke Institusi Pendidikan Guru (IPG), Kolej-kolej Komuniti, Sekolah Agama dan universiti-universiti swasta pada masa akan datang.

Perjumpaan bersama usahawan muda Dropee.com

Semalam saya telah sempat meluangkan masa bersama seorang lagi usahawan muda tempatan bernama Aizat, baru sahaja berumur 29 tahun.

Kagum dengan startups beliau yakni Dropee.com. Model perniagaan digital berasaskan Business To Business yang telah banyak membantu peruncit-peruncit khususnya di luar bandar untuk membeli barangan dengan harga yang lebih murah.

Walaupun usia perniagaan baru beberapa tahun, namun prestasi perniagaannya cukup memberansangkan.

Banyak perkara yang telah saya pelajari. InsyaAllah terdapat beberapa potensi kerjasama yang boleh dijalin khusus untuk pembangunan komuniti masyarakat setempat.

All the best to Team Dropee.com!

PERJUMPAAN BERSAMA MPP UiTM SHAH ALAM

Pada hari Khamis lepas, saya telah melapangkan masa untuk bersua muka dengan Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam.

Asalnya santai tapi saya lontarkan pandangan yang serius mengenai keperluan melihat pembangunan negara merentas pandangan kaum semata-mata.

Alhamdulillah mereka sambut baik dengan dialog yang membangkitkan soalan-soalan yang ilmiah merangkumi sudut ekonomi, politik dan sosial.

Moga perbincangan tadi akan mewujudkan dinamik dan suasana yang lebih proaktif di kalangan pimpinan mahasiswa dan juga kampus.

KEHARMONIAN KAUM DEMI KESEJAHTERAAN NEGARA

Sempena perayaan Krismas tahun ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Natal kepada rakyat Malaysia yang menganut agama Kristian di negara ini.

Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum, berpeluang untuk menyambut beberapa perayaan daripada berlainan agama dan bangsa. Masyarakat seharusnya menggunakan peluang ini sebagai satu salah satu cara untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara kaum dan agama.

Sebagai seorang Muslim, saya disaran untuk menghormati penganut agama lain demi menjaga keharmonian dan kemakmuran masyarakat. Malahan, menurut Mufti Wilayah, Dr Zulkifli, ia adalah diharuskan untuk mengucapkan Merry Christmas apabila wujud keperluan untuk mengucapkannya bagi menyuburkan semangat muhibbah dan memperbaiki ketegangan sosial yang berlaku dalam masyarakat. Apatah lagi dalam konteks pemimpin bagi masyarakat majmuk.

Di kesempatan yang sama, saya juga ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2019 kepada seluruh masyarakat Malaysia. InsyaAllah, kesejahteraan rakyat akan terus menjadi agenda utama Pakatan Harapan pada tahun hadapan. Saya akan berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab dalam mewakili suara rakyat sebagai seorang Ahli Parlimen dan Ketua Pemuda Keadilan dengan lebih baik.

Sekali lagi, Selamat Hari Natal dan Selamat Tahun Baru 2019!

Akmal Nasir
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia

JANGAN STRESS, NANTI CEPAT…

Ada sesiapa yang tak pernah stress?

Baru-baru ini saya telah dijemput ke satu forum di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Saya telah dipadankan dengan Sir Uzairi, selebriti cikgu viral yang terkenal dengan kaedah tersendiri mengajar matematik.

Kalau tengok Sir, memang sentiasa ceria dan penuh tenaga.

Kebiasaannya program yang saya hadiri adalah berlatar belakangkan politik, isu-isu semasa ataupun program kawasan.

Forum ini pula lebih kepada perkongsian peribadi dan berkongsi pandangan mengenai kehidupan mahasiswa.

Soalan terakhir yang dikemukakan kepada kami adalah mengenai ‘stress’ atau tekanan.

Ianya berbunyi sebegini:- Bukankah kita mahu kehidupan yang bahagia dan tenang? (ayat sebenar lebih kepada nak kurangkan assignment yang banyak ha3) Adakah tekanan ini bagus kepada mahasiswa?

JAWAPAN SAYA:

Dalam kehidupan ini, kita tidak boleh lari daripada tanggungjawab dan bebanan. Setiap hari akan ada sahaja masalah dan cabaran baru.

Stress atau tekanan pula saya lihat kepada kerisauan atau kebimbangan GAGAL untuk memikul cabaran atau menyelesaikan masalah tersebut.

Kebanyakkan orang akan banyak menghabiskan masa untuk risau akan kegagalan tersebut.

Kerisauan inilah yang menimbulkan tekanan perasaan yang seterusnya memberi kesan kepada hasil kerja. Lebih teruk apabila Stress/Worry ini mula memberi kesan kepada kesihatan dan kehidupan.

Sebaliknya, kita perlu pikul tanggungjawab dan bebanan tersebut. Memanglah masalah itu sukar, kadang-kadang kita perlukan masa untuk menyelesaikannya.

Tapi yang paling penting adalah untuk mula ambil tindakan.

Rancang dan laksanakan.

Berkaitan assignment, Mahasiswa kena mula buat. Assignment itu takkan siap dengan sendirinya (melainkan tiru lah).

Dalam kehidupan pun sama.

Kita juga kena susun keutamaan atau priority.

Berkawanlah dengan mereka yang membantu dan membina, bukan yang kerja condemn dan memperkecilkan kita.

Banyak lagi kaedah untuk kita menguruskan tekanan dan menyelesaikan tugasan.

Saya sendiri juga hadapi masalah untuk fokus apabila pelbagai masalah dan cabaran itu datang sekaligus.

Tetapi itulah kehidupan.

Tiada manusia yang sempurna.

Kita cuma perlu terus berusaha ke arah kebaikan.

So adik-adik, jangan stress ya!