Sambutan Isra’ Mikraj

Salam Israk Mikraj saya ucapkan kepada seluruh umat Islam di Malaysia. Peristiwa bersejarah ini mengingatkan kita semua kepada perjalanan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W pada ¾ malam dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa (Israk) dan perjalanan dari Masjid Al-Aqsa ke Sidratul Muntaha bagi melihat keindahan, kekuasaan dan kebesaran ciptaan Allah S.W.T sebelum bertemu Allah S.W.T tuhan pencipta alam (Mikraj).

Firman Allah S.W.T ;
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
[ Surah Al-Isra’ : 1 ]

Peristiwa ini sangat bermakna bagi umat Islam kerana bermulanya dua perkara iaitu penetapan solat fardhu 5 waktu dan penukaran arah kiblat dari Masjid Al-Aqsa ke Masjid Al-Haram yang menjadi kiblat kita sehingga ke hari ini..

Semoga peristiwa besar ini dapat memberi iktibar kepada kita semua.

Perkembangan Projek PRIMA Tebrau

Saya telah menerima aduan daripada beberapa pembeli rumah PR1MA dan telah menyusun satu pertemuan dengan wakil pembeli PR1MA Tebrau sebelum Parlimen bersidang untuk sesi ini.

Mereka telah melahirkan kerisauan mengenai kemajuan pembinaan PR1MA apabila pihak kontraktor dilihat memperlahankan kerja-kerja pembinaan sedangkan projek tersebut dilihat hampir siap.

Saya juga risau jika perkara yang sama berlaku bagi projek-projek PR1MA yang lain, maka saya kemukakan soalan Parlimen.

Saya lampirkan jawapan Menteri sebagai perkongsian dan Alhamdulillah tiada projek PR1MA yang terbengkalai.

Namun kita kena sama-sama peka untuk pastikan projek PR1MA siap.

TUBUH RCI SEGERA UNTUK SIASAT DAKWAAN CAMPUR TANGAN KEHAKIMAN

Hakim Mahkmah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer telah membuat satu pendedahan menggemparkan bahawa, telah terdapat campur tangan dalam institusi kehakiman sebelum pilihan raya serta selepas pilihan raya yang masih berterusan, membabitkan salah laku perlembagaan dan kehakiman.

Menurut beliau, telah terdapat campur tangan dalam proses membuat penghakiman terhadap kes-kes berprofil tinggi seperti yang melibatkan Presiden PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan mantan Pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh. Tambahnya lagi, wujud usaha berterusan untuk mengelirukan orang awam melalui berkonspirasi untuk menyembunyi jenayah kehakiman.

Oleh itu, AMK menggesa agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan dengan segera bagi menyiasat dakwaan atau pendedahan yang telah dibuat.

Sebelum ini, rakyat mengalami krisis keyakinan terhadap institusi kehakiman negara yang sering kali dianggap tidak telus dan tidak bebas. Maka, kerajaan baru Pakatan Harapan perlu memikul tanggungjawab untuk mengembalikan keyakinan tersebut dengan menjamin kebebasan badan kehakiman negara.

Keberanian tindakan Hakim Mahkamah Rayuan tersebut untuk mendedahkan maklumat (whistleblowing) seperti ini harus dipuji dan dihormati. Hal ini kerana tindakan yang diambil adalah berlandaskan prinsip kebebasan dan integriti badan kehakiman negara daripada campur tangan dalaman mahupun luaran.

Oleh yang demikian, AMK ingin menegaskan bahawa penubuhan RCI merupakan satu langkah tepat yang perlu diambil dengan segera untuk menyiasat dakwaan campur tangan yang dibuat oleh Hakim Mahkmah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer.

Penyiasatan melalui RCI juga perlu dilihat sebagai usaha untuk membela mereka yang telah dizalimi akibat ketidakadilan dalam proses penghakiman yang mungkin telah berlaku.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

PERASMIAN PUSAT KHIDMAT RAKYAT JOHOR BAHRU

Pada hari Sabtu yang lepas, acara perasmian Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru telah berjaya disempurnakan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Kami berasa berbesar hati menerima kunjungan daripada YAB Timbalan Perdana Menteri ke Johor, khususnya Johor Bahru.


Terima kasih kepada semua yang membantu & hadir menjayakan majlis. Seronok bila lihat ramai penggerak sebelum dan selepas PRU yang terus bersemangat untuk berkhidmat kepada masyarakat!

Pada masa yang sama, kami juga sempat memperkenalkan kepada YAB TPM satu organisasi bukan kerajaan khusus untuk membantu golongan wanita yang ingin menjalankan perniagaan.

Persatuan Mesra Wanita – Perawan telah ditubuhkan di Johor Bahru dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat bagi membantu kaum wanita meningkatkan taraf hidup selaras dengan matlamat dan hasrat kerajaan memperkasakan peranan wanita di dalam sektor perniagaan.

Antara matlamat utama PERAWAN adalah untuk memperkasakan wanita ke dalam arus perdana pembangunan negara dan memberi peluang untuk wanita mencapai potensi dalam semua bidang.

Oleh itu, saya ingin menjemput para wanita khususnya di Johor Bahru yang berminat untuk menjalankan perniagaan untuk menyertai persatuan ini.InsyaAllah pelbagai program akan diatur bagi merancakkan aktiviti ahli-ahli di samping medapatkan sokongan agensi-agensi kerajaan tempatan.

Jemput “Like” facebook page Persatuan Mesra Wanita – Perawan dan sebarkan maklumat ini kepada seramai yang mungkin.

Jangan risau, ini bukan skim MLM! Ha3

SKIM PERLINDUNGAN NASIONAL B40 (mySALAM)

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah melancarkan mySalam yang menyediakan perlindungan takaful kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang menerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR).

Inisiatif oleh Kerajaan Persekutuan ini adalah untuk membantu golongan B40 menangani kesulitan kewangan yang timbul akibat kemasukan ke wad hospital kerajaan atau ditimpa salah satu daripada 36 penyakit kritikal yang tidak diduga.

Kerajaan menjangkakan seramai 3.69 juta rakyat yang berumur 18 sehingga 55 tahun layak menerima manfaat daripada skim itu.

Diharap inisiatif ini dapat meningkatkan akses kesihatan yang lebih luas kepada masyarakat khususnya golongan B40. Kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan rakyat dapat menikmati perubatan kesihatan yang baik dan ini sudah semestinya satu usaha yang boleh dibanggakan.

KEHARMONIAN KAUM DEMI KESEJAHTERAAN NEGARA

Sempena perayaan Krismas tahun ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Natal kepada rakyat Malaysia yang menganut agama Kristian di negara ini.

Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum, berpeluang untuk menyambut beberapa perayaan daripada berlainan agama dan bangsa. Masyarakat seharusnya menggunakan peluang ini sebagai satu salah satu cara untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara kaum dan agama.

Sebagai seorang Muslim, saya disaran untuk menghormati penganut agama lain demi menjaga keharmonian dan kemakmuran masyarakat. Malahan, menurut Mufti Wilayah, Dr Zulkifli, ia adalah diharuskan untuk mengucapkan Merry Christmas apabila wujud keperluan untuk mengucapkannya bagi menyuburkan semangat muhibbah dan memperbaiki ketegangan sosial yang berlaku dalam masyarakat. Apatah lagi dalam konteks pemimpin bagi masyarakat majmuk.

Di kesempatan yang sama, saya juga ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2019 kepada seluruh masyarakat Malaysia. InsyaAllah, kesejahteraan rakyat akan terus menjadi agenda utama Pakatan Harapan pada tahun hadapan. Saya akan berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab dalam mewakili suara rakyat sebagai seorang Ahli Parlimen dan Ketua Pemuda Keadilan dengan lebih baik.

Sekali lagi, Selamat Hari Natal dan Selamat Tahun Baru 2019!

Akmal Nasir
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia