Selamat Menyambut Hari Malaysia ke-56!

Tanggal 16 September merupakan detik bersejarah buat negara kita Malaysia. Gabungan Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu telah membuktikan bahawa Persekutuan Malaysia yang dibentuk telah berjaya memberikan kemakmuran kepada semua.

Justeru, sejarah penubuhan Persekutuan Malaysia perlu terus dikenang oleh setiap rakyat Malaysia. Membina kejayaan pada hari ini bukanlah suatu tugas yang mudah. Ia memerlukan kecekalan, pengorbanan dan keikhlasan.

Semoga rakyat Malaysia terus hidup dalam keadaan aman, harmoni, dan bersatu-padu dengan menerapkan perpaduan sebagai elemen utama.

Selamat Menyambut Hari Malaysia Ke-56 buat seluruh rakyat Malaysia!

Ucapan Salam Maal Hijrah 1441H

Salam Maal Hijrah 1441H/2019M diucapkan kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Marilah sama-sama kita mengingati perjalanan junjungan besar Rasulullah SAW yang dari kota Mekah ke bumi Madinah dalam menyebarluaskan usaha dakwah dan meningkatkan syiar Islam.

Hijrah bukan sahaja membawa maksud perpindahan ke arah kehidupan yang lebih baik, tetapi memberi pengertian yang lebih luas.

Semoga kita terus dikurniakan rahmat dan petunjuk daripada Allah SWT dalam kita berusaha untuk menjadi seorang mukmin yang lebih baik insyaAllah.

Ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha 1440H

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam tidak kira di mana jua.

Di sebalik kemeriahan Aidiladha, marilah sama-sama kita menghayati makna pengorbanan sebenar Nabi Ismail dalam menyahut seruan Allah S.W.T untuk tunduk akur pada perintah-Nya.

Sebagai orang yang beriman, tentunya kita akan diuji dengan kesukaran, kesenangan, kebahagian dan pengorbanan.

Sudah pasti disebalik pengorbanan yang kita lalui tentunya mempunyai hikmah yang tersendiri. Semoga pengorbanan yang kita lalui mendapat keberkatan di sisi Allah S.W.T.

Untuk warga Johor Bahru, esok (Ahad) dan Isnin saya akan singgah di beberapa buah surau dan masjid untuk turut serta dalam acara Korban dan berjumpa masyarakat setempat insyaAllah.

#Undi18 langkah pembaharuan demokrasi politik

Pagi tadi saya telah bersiaran secara langsung dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM TV1 untuk perbincangan berkaitan #Undi18.

Saya menyokong untuk usul pindaan Perlembagaan ini dilaksanakan. Saya yakin ini adalah satu langkah pembaharuan demokrasi politik yang akan meletakkan Malaysia seiring dengan negara-negara maju.

Ahli-ahli politik kini perlu mengambil kira pandangan anak muda secara keseluruhan agar polisi-polisi yang dirangka mencerminkan keadaan semasa yang dihadapi oleh golongan belia dan anak muda. Contohnya seperti isu PTPTN dan pengajian tinggi.

InsyaAllah, usul #Undi18 akan dibahaskan pada minggu hadapan dan perlu mendapat sokongan 2/3 majoriti Dewan Rakyat.

Saya berharap pihak pembangkang dapat bersama dengan pihak kerajaan untuk melakukan pembaharuan yang bakal mencatat sejarah demokrasi politik negara.

Perbahasan RUU Perlindungan Pengguna

Semalam, saya telah turut serta sebagai pembahas pertama dalam Rang Undang-Undang Perlindungan Pengguna Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Dalam perbahasan tersebut, saya telah menekankan beberapa aspek perlindungan pengguna:

1. Hak pengguna ditingkatkan 
2. Kesedaran pengguna diperluaskan
3. Memaksa peniaga untuk bertindak lebih adil

Secara keseluruhan, saya menyokong RUU Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2019 demi meningkatkan hak dan kesedaran pengguna yang sekaligus memastikan pasaran/perniagaan yang lebih adil kepada pembeli.

Perbahasan RUU Perlindungan Pengguna oleh YB Akmal Nasir

Enam langkah segera tangani kesesakan di CIQ Johor

Saya menyambut baik langkah-langkah yang diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Kajian Cadangan Penubuhan Badan Tunggal Menjaga Sempadan Negara dan Pintu-Pintu Masuk Termasuk Pelabuhan-Pelabuhan pada Rabu lalu yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Perkara ini seringkali dibangkitkan dalam Dewan Rakyat dan terima kasih kepada kerajaaan atas keprihatinan isu ini.

Langkah-langkah jangka pendek ini telah diambil bagi menangani masalah kesesakan yang serius dengan mempercepat urusan keluar masuk kenderaan di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Abu Bakar (KSAB).

Enam langkah yang diambil adalah:

1. Pembukaan semula kaunter Malaysia Automated Clearance System di KSAB pada 19 Jun;

2. Perolehan tender bagi MACS bernilai RM9 juta dijangka selesai pada akhir Dis ini;

3. Memobilisasi pegawai bertugas di kaunter tidak sesak ke kaunter yang lebih sesak;

4. Pembukaan laluan kontra di laluan ketibaan kereta;

5. Mewajibkan kerja lebih masa semasa pertukaran syif (7 pagi – 8 pagi); dan

6. Pembukaan penuh kaunter motosikal Mbike.

Saya berharap langkah-langkah yang diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan ini dapat segera mengurangkan masalah kesesakan buat 200,000 rakyat Malaysia yang berulang alik dari Malaysia ke Singapura.

InsyaAllah saya akan melihat jika terdapat sebarang perubahan positif terhadap lalu lintas di CIQ dalam tempoh tiga hingga enam bulan yang yang akan datang.

Akmal Nasir
Ahli Parlimen Johor Bahru

Perbahasan usul pengisytiharan harta

Klip perbahasan saya berkaitan usul pengisytiharan harta pada hari Isnin yang lalu.

Alhamdulillah usul tersebut telah berjaya diluluskan pada hari yang sama di Dewan Rakyat.

Saya berharap semua Ahli Parlimen dapat menerima usul ini dengan baik dan mula mengambil langkah mengisytiharkan harta.

Tidak perlu marah, tidak perlu takut.
Kalau tak salah, takde harta yang akan diangkut.

Perbahasan YB Akmal Nasir, Ahli Parlimen Johor Bahru

Lawatan warga Johor Bahru ke Parlimen

Semalam, saya telah menerima satu rombongan lawatan me Parlimen Malaysia daripada Johor Bahru.

Mereka sempat untuk berada dalam dewan ketika saya membahaskan usul pengisytiharan harta semalam.

Selesai bahas usul, saya segera menyertai mereka dan meluangkan sedikit masa berkongsi mengenai hal ehwal Parlimen dan isu-isu semasa.

Terima kasih kepada team penganjur kerana membantu menguruskan perjalanan daripada Johor Bahru.

Diharap gambar bersama TPM semalam menjadikan perjalanan jauh itu berbaloi ha3

P/s album penuh gambar-gambar boleh dilibat di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru

Wajarkah usia 18 tahun dibenarkan mengundi?

Kerajaan ketika ini sedang berusaha untuk mereformasikan sistem pilihan raya. Usaha tersebut termasuk cubaan untuk menurunkan kadar usia mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Namun begitu, terdapat pihak yang menyokong dan ada juga yang menentang usaha ini.

Bagi yang menyokong, usia 18 tahun merupakan usia yang diterima pakai sebagai konvensi umur layak mengundi seluruh dunia.

Hanya Malaysia dan lima negara lain di dunia yang masih mengekalkan usia mengundi 21 tahun ke atas.

Sedangkan usia 18 tahun merupakan usia yang sudah disahkan dewasa oleh perundangan negara untuk memikul tanggungjawab sebagai anggota masyarakat.

Mereka sudah dibenarkan bekerja, mendirikan rumah tangga, mendapatkan lesen perniagaan, memohon pinjaman kewangan, menyertai anggota keselamatan, membayar cukai, dan sudah boleh dibicarakan di mahkamah.

Pengekalan usia mengundi 21 tahun ke atas merupakan suatu bentuk penafian hak ke atas mereka yang sudah layak menjadi anggota masyarakat memandangkan mereka juga sudah mula wajib membayar cukai kepada kerajaan. Malah, sudah dibenarkan mendaftarkan diri sebagai ahli parti.

Namun bagi yang menentang, ada yang menganggap golongan berusia 18 tahun masih mentah dan tidak layak untuk turun mengundi memandangkan mereka masih muda dan mudah dipengaruhi oleh pelbagai anasir.

Apa pandangan anda?

MUNGKIN UMNO KEKAL SAMA SAHAJA

Saya menyambut baik kenyataan balas Dato’ Seri Mohamad Hasan, pemangku Presiden UMNO terhadap saranan saya agar UMNO memulangkan semula dana yang dikatakan diterima dari 1MDB.

Cadangan tersebut dibuat memandangkan Dato’ Seri Mohamad Hasan mempunyai ketokohan tersendiri dan mengambil peluang keemasan ini untuk meletakkan pemulihan UMNO di landasan terbaik.

Apalah nak dibandingkan dengan saya sebagai seorang anak muda yang baru dalam politik dan hanyalah Ahli Parlimen biasa.

Namun hujah beliau tidak konsisten.

Sebelum ini alasannya adalah wang yang diterima sekiranya benar dari 1MDB telahpun dibelanjakan dan yang tinggal sekarang wang yang ‘bersih’. Sekarang, alasannya dana UMNO telah dibekukan maka tidak boleh dipulangkan balik.

Apakah dalih seterusnya kita pun kurang pasti.

Namun, saya hargai komitmen beliau untuk menghormati proses undang-undang.

Kes 1MDB ini bukan hanya disiasat di Malaysia, tetapi tindakan mahkamah juga diambil di peringkat antarabangsa.

Ketika Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dalam proses mendapatkan semula aset 1MDB, selebriti seperti Leonardo Di Caprio dan Miranda Kerr telah bertindak memulangkan barang yang dipercayai dibeli menggunakan dana 1MDB terlebih dahulu.

Mereka tetap beri kerjasama kepada Jabatan Kehakiman untuk memberikan keterangan dan sebagainya tetapi memilih jalan yang lebih berani untuk membersihkan nama dengan bertindak terlebih dahulu.

Mungkin mereka sedar dana tersebut adalah wang rakyat dan mereka langsung tidak mahu terpalit atau bersubahat walaupun sebagai penerima sumber haram.

Adakah kita boleh mengharapkan integriti dan etika yang sama?

Mungkin kita kena faham bebanan dan cabaran Dato’ Seri Muhamad Hasan untuk memulihkan UMNO.

Walaupun beliau ada potensi, yang lain-lain belum tentu lagi.

Sekiranya kepimpinan beliau masih terus dibayangi oleh pengaruh Dato’ Seri Najib, bagaimana UMNO boleh berubah?

Dato’ Seri Muhamad Hasan mungkin ada ketokohan, tetapi pendekatan jalan selamat akan menyebabkan UMNO akan kekal sama sahaja.

Cuma saya mengharapkan kerajaan akan berjaya mendapatkan balik dana 1MDB dan dipulangkan kembali kepada rakyat Malaysia.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia