Perkembangan program IMPAK di Flat Larkin

Hujung minggu lalu saya sempat singgah di Flat Larkin untuk melihat sendiri perkembangan program IMPAK (Ibu Bapa Memastikan Peningkatan Akademik Anak-Anak).

Kelas tajaan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru bersama Pertubuhan IKRAM Negeri Johor itu diadakan buat ibubapa bagi mempertingkatkan institusi keluarga dan dikendalikan oleh jurulatih yang bertauliah.

Alhamdulillah semalam merupakan sesi terakhir selepas 10 minggu kita jalankan. Sementara kelas berlangsung, anak-anak diasuh dan bermain secara sihat.

Semoga program IMPAK ini akan dapat menyumbang secara positif kepada meningkatkan kemahiran dan kualiti bimbingan ibu bapa dalam membantu pembelajaran anak-anak.

Pink Heroes Fun Walk – Kempen Kesedaran

Pink Heroes!

Sabtu lalu, saya telah berbesar hati melepaskan peserta Pink Heroes Fun Walk sempena kempen kesedaran mengenai kanser payudara.

Saya turut berjalan bersama-sama sejauh lebih 3km sebagai sokongan buat survivors.

Untuk pengetahuan, kanser payudara adalah kanser paling kerap berlaku di Malaysia. Saya berharap Breast Cancer Support Group Johor Bahru (BCSGJB) dapat terus memainkan peranan aktif dalam meningkatkan kesedaran khususnya dalam membantu mengesan kanser di tahap awal.

Tahniah buat (BCSGJB) dan semua mereka yang terlibat bagi membantu menjayakan program.

Sumbangan Deepavali dan sumbangan pelajaran

Pada hari Jumaat yang lalu, telah diadakan Majlis Sumbangan Deepavali kepada komuniti India Flat Larkin bersama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru.

Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu persiapan perayaan Deepavali yang akan datang di samping menyarlurkan bantuan keperluan makanan asas.

Turut disampaikan Sumbangan Pelajaran kepada mereka yang layak bagi menampung pembelajaran di peringkat universiti.

Majlis Apresiasi Tingkatan 5, SMK Tun Syed Nasir Ismail

Semalam, saya telah dijemput untuk menyempurnakan Majlis Apresiasi Tingkatan 5 di SMK Tun Syed Nasir Ismail, Johor Bahru.

Saya kongsikan pandangan saya mengenai tamatnya persekolahan bermaksud ada 3 situasi yang mereka terpaksa hadapi: perkara yang akan ditinggalkan – memori & pengalaman, perkara yang perlu dihadapi sekarang – SPM & pilihan kerjaya dan masa depan iaitu tanggungjawab kita semua untuk berbakti kepada masyarakat.

Saya berpesan agar para pelajar untuk terus rajin menuntut ilmu dan tidak berputus asa terutamanya dalam menghadapi dunia yang lebih mencabar selepas zaman persekolahan.

Semoga segala tunjuk ajar dan ilmu yang dituntut di sekolah dapat membentuk pemikiran yang intelektual di samping sahsiah yang terpuji.

Saya doakan agar mereka diberikan kemudahan dan dapat menghadapi peperiksaan SPM dengan cemerlang insyaAllah.

Perbincangan pembangunan Daerah Johor Bahru

Pada hari Ahad yang lalu, saya telah turut serta dalam satu program lawatan Menteri Besar Johor ke Daerah Johor Bahru.

Dalam sesi taklimat tersebut, beberapa perkara telah dibincangkan termasuk agenda pembangunan infrastruktur dan ekonomi oleh kerajaan negeri di Daerah Johor Bahru.

Saya berharap segala yang dirancang akan dapat dilaksanakan dengan baik dan telus demi kebaikan rakyat insyaAllah.

Program Sertai Peluang ke-2 SPM

Pendaftaran Program Jom Sertai Peluang Ke-2 SPM di Parlimen Johor Bahru semalam.

Saya mengingatkan adik-adik kita mengenai betapa pentingnya sijil SPM untuk membuka peluang meningkatkan kemahiran (seperti TVET) mahupun pekerjaan.

Kumpulan sasaran program ini adalah:- mereka yang ingin ulang SPM atau mereka yang tidak ditawarkan SPM di peringkat menengah seperti pengajian tahfiz.

Insyallah Parlimen Johor Bahru akan membiayai yuran kelas mingguan ini sepenuhnya dengan syarat pelajar mengikuti kelas ini dengan komited.

Mereka yang masih belum mendaftar boleh berhubung dengan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru.

Program taklimat penerangan PLBEGJB

Dialog pagi tadi bersama penduduk Kg Melayu Majidee dan Kg Kurnia yang terkesan dengan pembinaan landasan berkembar keretapi.

Terima kasih kepada semua pihak yang hadir dan terima kasih kepada Dato Sri Azmi atas taklimat yang diberikan.

Kita menerima baik pembangunan untuk manfaat rakyat terbanyak tetapi kebajikan penduduk tempatan wajar dipertahankan.

Semalam dari Parlimen saya balik ke Johor Bahru kerana perbincangan ini penting untuk mengelakkan sebarang kekeliruan. Selesai majlis pagi tadi saya bergegas dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur untuk mendengar ucapan Belanjawan di Parlimen.

Insyallah saya akan bagi ulasan awal berkenaan belanjawan esok.

Adik Dannel jaguh Muay Thai Malaysia

Saya tinggalkan Parlimen sekejap untuk ke KLIA bagi menyambut kepulangan adik Dannel yang memenangi satu pingat emas dan satu pingat perak bagi kejohanan IFMA World Youth Muay Thai di Turki.

Beliau merupakan anak kelahiran Kg Dato’ Onn, Larkin Johor Bahru.

Kejayaan pada usia 12 tahun di peringkat antarabangsa menjanjikan satu bakat baru buat negara.

Sukan Bola Basikal di Taman Dato Onn

Pada hari Isnin yang lalu, saya telah dijemput untuk menyaksikan persembahan dan demo dari pemain-pemain Bola Basikal di Dewan Raya Taman Dato Onn.

Ini mungkin kali pertama saya didedahkan dengan sukan baru yang unik ini yang menggunakan basikal untuk bermain bola.

Sukan ini mungkin ada daya tarikannya yang sendiri. Oleh itu, kemudahan dewan tersebut akan dijadikan tempat latihan bagi penggemar sukan Bola Basikal.

Pertemuan bersama Exco Johor YB Jimmy

Semalam, saya telah mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama YB Jimmy Puah, ADUN Bukit Batu yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti.

Kami saling bertukar pandangan dalam beberapa perkara khususnya dalam usaha untuk menarik pelaburan yang berkualiti bagi menghasilkan pekerjaan bernilai tinggi untuk golongan muda dan masyarakat Johor Bahru.

YB Jimmy sebelum ini pernah mencadangkan satu peruntukan dana khas melalui kerjasama syarikat GLC disediakan bagi kumpulan atau syarikat startup di Johor dalam Belanjawan Johor 2020.

Saya berpendapat ia adalah satu langkah yang baik dalam usaha untuk mengekalkan bakat-bakat graduan untuk bekerja di Malaysia bagi menyaingi sektor peluang pekerjaan yang ditawarkan di Singapura.

Kami juga meneliti isu berkaitan Kim Teng Park bagi mencari jalan yang terbaik untuk semua pihak.

Saya berharap bandaraya Johor Bahru akan terus menerima pembangunan yang seimbang dan mampan menjelang Belanjawan Johor 2020.