Majlis Makan Malam Amal Pesuruhjaya Sumpah

Berpeluang untuk turut serta dalam Majlis Makan Malam Amal Pesuruhjaya Sumpah Negeri Johor di Hotel Thistle.

Saya merasakan kita perlu memperbanyakkan amalan bersedekah tidak kira kaum dan agama.

Ini seterusnya akan dapat mengeratkan lagi silatulrahim sesama manusia khususnya dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Semoga program seperti ini dapat dianjurkan lagi dan menarik lebih ramai penyumbang untuk mengambil bahagian insyaAllah.

Majlis Graduasi Kanak-kanak Kiwanis

Sabtu lalu saya telah dijemput bagi menyempurnakan Majlis Graduasi Kanak-Kanak Kiwanis Down Syndrome Foundation.

Untuk pengetahuan, Kiwanis Down Syndrome Foundation memiliki beberapa pusat pembelajaran seperti di Petaling Jaya, Klang dan Johor Bahru.

Yayasan ini ditubuhkan dengan hasrat murni bagi membantu kanak-kanak Down Syndrome, yang mana fokus utamanya adalah menawarkan pelajaran dan pendidikan kepada mereka sehingga umur 6 tahun.

InsyaAllah Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru akan terus memberikan sokongan kepada usaha ini agar kanak-kanak tersebut dapat menjalani kehidupan yang baik melalui pendidikan dan juga persekitaran yang kondusif.

Latihan Sel Komunikasi di Johor Bahru

Hujung minggu lalu saya telah turut serta dalam satu program Latihan Sel Komunikasi di Hotel Straits View, Johor Bahru bertujuan melatih aktivis akar umbi teknik komunikasi dan kaedah penyaluran maklumat yang berkesan.

Program ini telah berjaya menghimpunkan sekumpulan sukarelawan dan aktivis KEADILAN untuk menjadi sebahagian daripada pasukan Sel Komunikasi.

InsyaAllah inisiatif ini akan diperluaskan ke setiap negeri dalam masa terdekat dalam usaha untuk memastikan penyaluran maklumat yang tepat kepada rakyat.

Sambutan Maulidur Rasul dan kenduri Aqiqah

Pada hari Sabtu lalu telah berlangsung Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Surau An Nur Pangsapuri Desa Melayu, Bakar Batu.

Majlis diserikan dengan perarakan Maulidur Rasul bersama penduduk setempat. Suasana meriah apabila para keluarga membawa anak-anak mereka untuk turut bersama-sama.

Perarakan Maulidur Rasul memang telah menjadi budaya masyarakat Malaysia sejak sekian lama. Semoga kita dapat mengambil pengajaran daripada sirah dan perjuangan Rasul SAW.

Seusai perarakan Maulidur Rasul, saya telah turut serta dalam satu Majlis Aqiqah anak kepada Imam Surau At-Taqwa, Larkin Idaman yang diadakan di Restoran Hazirah.

Terima kasih atas jemputan. Semoga amalan kita diterima Allah SWT.

Pemeriksaan Kesihatan Percuma di Kg Dato Onn

Hujung minggu lalu, saya telah mengambil peluang untuk menjalani Pemeriksaan Kesihatan Percuma KPJ Specialist di Kampung Dato Onn.

Inisiatif seperti ini sangat bermanfaat bagi golongan masyarakat seperti warga emas dan keluarga B40 untuk mendapatkan akses kepada fasiliti kesihatan.

Terima kasih kepada KPJ Specialist atas program yang dianjurkan. Saya berharap ia dapat diadakan secara berkala dan berterusan di kawasan-kawasan lain yang memerlukan.

Karnival Beli Barangan Malaysia 2019

Sabtu lalu, saya telah turut serta dalam Karnival Beli Barangan Malaysia 2019 Peringkat Kebangsaan di Plaza Angsana, Johor Bahru.

Saya berpendapat ini adalah satu inisiatif yang baik oleh kerajaan bagi mempromosikan jenama-jenama tempatan yang berkualiti terhadap para pengguna.

Pembelian barangan-barangan tempatan seterusnya akan memacu ekonomi rakyat Malaysia terutamanya entiti perniagaan kecil dan sederhana (PKS) yang sememangnya bergantung kepada pengguna domestik.

Saya berharap promosi kempen ini akan dapat dijalankan secara konsisten dan diluaskan lagi ke negeri-negeri lain.

Penjimatan kos RTS wajar dinikmati pengguna

Kenyataan Media:
1 November 2019

PENJIMATAN KOS PROJEK RTS WAJAR DINIKMATI PENGGUNA

Saya menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri YAB Tun Dr Mahathir Mohamad semalam berkaitan keputusan kerajaan untuk meneruskan projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS).

Umum mengetahui mengenai masalah kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Sultan Iskandar (CIQ) dan Tambak Johor; dan juga telah sering kali saya bangkitkan di Dewan Rakyat sebelum ini.

Oleh itu, saya yakin dengan iltizam kerajaan menangani masalah kesesakan tersebut dan memudahkan urusan keluar masuk khususnya buat rakyat Malaysia ke Singapura.

Selain itu, penjimatan kos sebanyak 36 peratus daripada RM4.93 billion ke RM3.16 billion adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan perbelanjaan yang berhemah dalam projek-projek bernilai tinggi.

Saya berharap penjimatan kos ini akan dapat dinikmati oleh rakyat dengan memastikan harga tiket yang lebih munasabah kepada pengguna tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan yang akan ditawarkan.

Semoga pembinaan projek RTS dapat berjalan lancar dengan pengurusan tatakelola yang baik serta dapat dipantau secara telus dan terbuka.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

Bersama atasi masalah basikal lajak

Isu basikal lajak yang membelenggu masyarakat pada hari ini bukan perkara baru. Keberadaan mereka yang berlumba di jalan raya sudah pasti mengundang bahaya khususnya bagi pengguna jalan raya yang lain. Bagi pengguna jalan raya, bukan mudah untuk mengesan penunggang basikal lajak lebih-lebih lagi pada waktu malam.

Ini kerana basikal yang dinaiki mereka tidak mempunyai ciri keselamatan seperti lampu keselamatan, topi perlindungan dan pakaian khas yang memantulkan cahaya. Perkara ini yang mampu mendatangkan kecelakaan yang tidak diduga sekiranya tidak dilihat secara jelas oleh pengguna jalan raya yang lain.

Maka masalah ini harus diatasi secara komprehensif oleh semua pihak. Di peringkat Kementerian Pengangkutan, penguatkuasaan akan dilakukan lebih bersepadu oleh anggota polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan mereka tidak mengganggu lalu lintas. Tindakan akan dilakukan sama ada secara tangkapan, amaran dan sebagainya.

Masyarakat juga harus memainkan peranan yang penting dengan memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat aktiviti basikal lajak yang mengganggu lalu lintas. Namun begitu, peranan utama yang perlu dilakukan ialah ibu bapa. Ini kerana kanak-kanak yang berada di bawah umur 18 tahun masih lagi tertakluk di bawah penjagaan ibu bapa.

Justeru ibu bapa diingatkan mengawal aktiviti anak-anak bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan gejala yang berbahaya seperti ini. Dalam masa yang sama, perkara yang paling utama yang harus dilakukan oleh ibu bapa ialah memastikan anak-anak tidak dibiarkan keluar bermain pada waktu malam bagi mengelakkan tragedi yang sama berulang.

Maka tanggungjawab menjaga keselamatan anak-anak adalah tanggungjawab bersama. Apa pandangan anda? Sila nyatakan di bawah.

Piala Kejohanan Antarabangsa Paintball YB Akmal Nasir

Hujung minggu lalu telah berlangsung kejohanan sulung Piala Kejohanan Antarabangsa Paintball YB Akmal Nasir di Stadium Hoki Taman Daya Johor Bahru anjuran bersama NXL Asia dan Kelab Cougars Malaysia.

Untuk pengetahuan, sebanyak 72 pasukan yang telah turut serta terdiri dari negara Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia dan Australia. Secara keseluruhannya, lebih kurang 600 orang pemain bertanding untuk enam (6) division.

Tahniah kepada penganjur atas kejayaan penganjuran kejohanan paintball ini. Secara tidak langsung menghimpunkan para peminat sukan paintball dari seluruh negara dan juga dari negara-negara jiran.

Saya berharap kejohanan seperti ini sedikit sebanyak dapat mengangkat sukan paintball terutamanya di Johor Bahru bagi mempelbagaikan lagi aktiviti sukan untuk masyarakat setempat.

Program Walkathon di SJKC Foon Yew 1

Ahad lalu saya sempat singgah di SJKC Foon Yew 1 sempena program Walkathon yang dianjurkan oleh pihak sekolah.

Program ini diadakan bertujuan untuk meraih dana bagi menaik taraf kemudahan dan fasiliti sekolah.

Di samping itu, saya percaya program seperti ini juga dapat merapatkan lagi hubungan antara ibu bapa, para pelajar dan tenaga pengajar pihak sekolah.