LAPORKAN ADUAN SETEMPAT

Masuk tahun baru 2019, saya mengambil maklum tentang beberapa kerosakan jalan raya dan masalah di beberapa tempat di dalam kawasan saya. Saya telah berbincang dengan pegawai saya dan akan cuba untuk selesaikannya secepat mungkin.

Bagi yang lain, sekiranya anda mempunyai sebarang masalah,boleh kemukakan laporan anda di pusat khidmat kami. Anda juga boleh emelkan ke khidmatrakyatjb@gmail.com atau Whatsapp Pusat Khidmat Rakyat Johor Bahru di 013 783 2468 bagi tindakan susulan.

InsyaAllah kami akan cuba selesaikan setiap aduan yang diterima. Kerjasama anda amat saya hargai. Terima kasih.

LAWATAN MENGEJUT DI KG MELAYU MAJIDEE


Solat Jumaat di Masjid Kg Dato Sulaiman Menteri.

Pada hujung minggu lalu, saya telah turun ke beberapa kawasan dalam Parlimen Johor Bahru dan sempat melakukan satu lawatan mengejut ke sebuah kawasan.

Pada hari Jumaat, saya sempat melakukan solat Jumaat di Masjid Kg Dato Sulaiman Menteri. Ketua Kampung, Tok Zaini telah usahakan dengan sekolah berdekatan untuk kita sama-sama bantu murid-murid yang memerlukan.

Kemudian, sempat minum dan sembang panjang dengan beberapa penduduk mengenai permasalahan setempat. Terdapat beberapa aduan yang saya kira perlu diambil tindakan secepat mungkin. Insyallah saya akan berbincang dengan pejabat pusat khidmat rakyat dan juga pihak berkuasa tempatan bagi mencari satu solusi yang berkesan.

InsyaAllah kita akan cuba untuk lakukan yang terbaik untuk masyarakat setempat.

Usai solat Jumaat, saya telah melakukan satu lawatan mengejut di sekitar Jalan Budiman, Kg Melayu Majidee. Ini kerana penduduk setempat telah melahirkan kebimbangan atas kerja-kerja yang sedang dijalankan.

Projek pembesaran landasan keretapi akan memberi kesan kepada rumah-rumah tersebut yang dibina terlalu berhampiran dengan trek. Notis telah dikeluarkan tetapi saya akan usahakan satu mesyuarat bersama dengan mereka yang terlibat.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Penghulu, Ketua Kampung, Ahli Majlis dan wakil-wakil penduduk yang turut bersama dan beri kerjasama sebaiknya.

Akhir sekali, saya telah turut serta dalam satu program untuk meraikan kanak-kanak yang tinggal di rumah Kebajikan Villa Paulos, Johor Bahru. Saya berharap kumpulan ini akan diberikan perhatian yang sewajarnya oleh kelompok masyarakat setempat.

Saya yakin perkhidmatan yang diberikan oleh rumah kebajikan tersebut akan mampu memberikan penjagaan yang sebaiknya kepada mereka. Saya menggalakkan orang ramai untuk turut sama membantu sama ada daripada segi masa atau kewangan untuk kesejahteraan kanak-kanak di sini.

Moga kehadiran kami sedikit sebanyak memberikan keceriaan. Terima kasih kepada pihak pengurusan rumah kebajikan yang menjemput serta para penyumbang yang prihatin terhadap rumah Kebajikan Villa Paulos.

AGENDA 2019: BANTERAS GEJALA DADAH

Hari ini saya sempat meluangkan masa untuk mengadakan satu perbincangan dengan Ketua Polis Daerah (OCPD) Johor Bahru Selatan, YDH ACP Shahurinain Bin Jais pagi tadi.

Pelbagai isu telah dibincangkan yang berkaitan dengan kes-kes jenayah di Johor Bahru dan juga tahap keselematan masyarakat setempat. Pihak polis telah berusaha keras untuk mengawasi sindiket-sindiket yang mampu mengugat keamanan penduduk di Johor Bahru.

Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tuan OCPD dan pasukan polis yang terus komited menjaga keamanan dan keselamatan terutamanya sekitar Parlimen Johor Bahru.

Antara agenda utama tahun 2019 yang telah kami persetujui adalah untuk membanteras gejala dadah yang sekaligus akan mengurangkan masalah sosial dan jenayah.

KEHARMONIAN KAUM DEMI KESEJAHTERAAN NEGARA

Sempena perayaan Krismas tahun ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Natal kepada rakyat Malaysia yang menganut agama Kristian di negara ini.

Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum, berpeluang untuk menyambut beberapa perayaan daripada berlainan agama dan bangsa. Masyarakat seharusnya menggunakan peluang ini sebagai satu salah satu cara untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara kaum dan agama.

Sebagai seorang Muslim, saya disaran untuk menghormati penganut agama lain demi menjaga keharmonian dan kemakmuran masyarakat. Malahan, menurut Mufti Wilayah, Dr Zulkifli, ia adalah diharuskan untuk mengucapkan Merry Christmas apabila wujud keperluan untuk mengucapkannya bagi menyuburkan semangat muhibbah dan memperbaiki ketegangan sosial yang berlaku dalam masyarakat. Apatah lagi dalam konteks pemimpin bagi masyarakat majmuk.

Di kesempatan yang sama, saya juga ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2019 kepada seluruh masyarakat Malaysia. InsyaAllah, kesejahteraan rakyat akan terus menjadi agenda utama Pakatan Harapan pada tahun hadapan. Saya akan berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab dalam mewakili suara rakyat sebagai seorang Ahli Parlimen dan Ketua Pemuda Keadilan dengan lebih baik.

Sekali lagi, Selamat Hari Natal dan Selamat Tahun Baru 2019!

Akmal Nasir
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia

KEBAJIKAN PEMANDU TEKSI

Pada minggu ini, saya sempat meluangkan masa dan bertemu dengan kumpulan pemandu teksi di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

Ketika perjumpaan tersebut, saya telah mendengar permasalahan yang dihadapi oleh mereka dan isu yang berkaitan dengan Grab. Sudah tentu, kewujudan pesaing baru yang lebih kompetitif telah menggangu sumber rezeki mereka.

Walaupun perkhidmatan teksi Malaysia bukanlah antara yang terbaik sebelum ini, itu tidak bermakna kita tidak patut membantu mereka. Kerajaan perlu mewujudkan skim-skim latihan kepada kumpulan pemandu teksi agar mereka dapat meningkatkan kembali perkhidmatan mereka untuk masyarakat setempat.

Sekurang-kurangnya kita faham dulu situasi mereka dan cari jalan yang positif.

KARNIVAL RAKYAT PARLIMEN JOHOR BAHRU

Pada 8 Disember lalu, satu Karnival Rakyat di kawasan Parlimen Johor Bahru telah danjurkan oleh Persatuan Kebajikan dan Keharmonian Larkin, Johor Bahru dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Johor Bahru dan Majlis Bandaraya Johor Bahru, dan bertempat di Kompleks Belia dan Sukan di Larkin.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi menarik pengunjung seperti senaman pagi, pameran agensi kerajaaan dan NGO, pertandingan dan food truck. 

Selain tu, saya juga sempat menyampaikan hadiah kepada para pemenang Larian Mesra 2018 di Kg Melayu Majidee pagi tadi. Hampir 200 peserta telah turut serta dalam larian tersebut. Terdapat juga pertandingan basikal dan mewarna bagi penyertaan kanak-kanak.

Pada keesokannya, saya telah meraikan 50 orang adik-adik yang akan berkhatan secara beramai-ramai di Bandar Baru Uda. Rata-rata mereka kelihatan gembira ketika bermandi air sebelum melalui saat-saat getir dalam kehidupan mereka. Ha3

MAJLIS SUMBANGAN BACK 2 SCHOOL

Program #Back2School pagi tadi untuk Parlimen Johor Bahru anjuran bersama dengan persatuan IKRAM.

Alhamdulillah, seramai 130 orang kanak-kanak telah terpilih untuk menerima sumbangan khas daripada pejabat pusat khidmat Johor Bahru. Diharap bantuan ini akan dapat meringankan beban belanja musim persekolahan baru.

Kita akan mendampingi mereka untuk aktiviti-aktiviti susulan (motivasi dan kelas tambahan) dan memastikan penjaga mereka turut sama terlibat.

Gambar sekitar program gotong-royong di Kg Melayu Majidee

Kemudian, saya sempat singgah bersama penduduk yang mengadakan gotong-royong di Kg Melayu Majidee. Terima kasih kepada sukarelawan COMBI Johor Bahru dan Pasir Gudang yang turut sama membantu.

Pada minggu yang sama, saya juga sempat bersama dengan penduduk setempat di Masjid Taman Pelangi untuk sambutan Maulidur Rasul.

Gambar sekitar Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Taman Pelangi

Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada masjid-masjid, surau-surau dan organisasi terutamanya dalam parlimen Johor Bahru yang mengadakan sambutan samada dalam bentuk perarakan, ceramah dan juga majlis-majlis keagamaan.

Semoga usaha kalian dapat merapatkan masyarakat dengan sirah Rasullah S.A.W. dan memberi motivasi kepada diri kita semua untuk menjadi insan dan ummat yang terbaik. Insyallah