Harga keperluan asas terkawal di musim perayaan

Dengar cerita harga barang makanan keperluan asas perayaan seperti ayam dan daging agak murah/terkawal tahun ini.

Betul ke?

Alhamdulillah. Patutlah saya rasa macam banyak makan rendang Raya kali ni ha3

Daripada facebook Menteri KPDNHEP YB Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail

Terima kasih atas maklumbalas pergerakan harga barangan ketika Aidilfitri. Saya meneliti komen-komen yang diberikan di media sosial. Ada yang positif, ada juga menyampaikan aduan. Semua ini dipantau oleh pasukan Kementerian.

Skim Harga Maksimum Musim Perayaan dilaksanakan oleh Kementerian untuk pastikan harga berpatutan kepada pengguna. KPDNHEP telah menambahkan senarai barangan di dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Kawalan harga ini bertujuan agar harga barangan keperluan tidak meningkat naik dan berpatutan untuk pengguna terutamanya di musim perayaan.

(Senarai barangan: https://www.kpdnhep.gov.my/…/SENARAI-BARANGAN-SHMMP-HRP-201…)

Harga yang rendah untuk rakyat, alhamdulilah.

Kalau ada yang terlalu mahal, boleh laporkan kepada Kementerian menerusi medium sedia ada.

(https://eaduan.kpdnhep.gov.my)

Kecuaian TNB tak sepatutnya mangsakan pengguna

Siasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) telah mengesahkan bahawa berlaku kecuaian kesilapan teknikal yang dilakukan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB). Ia sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan surcaj atau tarif baru sebagai sebab kenaikan bil elektrik,

Menurut Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, TNB perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku dan perlu menangani masalah yang berbangkit secara segera.

Kesilapan sebegini tidak sewajarnya dilakukan oleh TNB. Disebalik kesilapan yang berlaku mereka telah menyebabkan pengguna menjadi mangsa dengan dikenakan caj bayaran elektrik pada harga yang tidak munasabah. Sudah pasti ia membebankan pengguna.

Sebagai syarikat yang memonopoli pembekalan tenaga elektrik di Malaysia, TNB hendaklah memenuhi standard prestasi pembekalan dan perkhidmatan pengguna berdasarkan Seksyen 9C Akta Bekalan Elektrik 1990.

Dalam masa yang sama mereka perlu lebih proaktif dan mencari mekanisme terbaik dalam memberi perkhidmatan sempurna kepada rakyat, bukan meletakkan kecuaian yang dilakukan ke atas bahu pengguna semata-mata.

Motif viral? Persahabatan dengan bukan Islam

Tindakan saya untuk memenuhi undangan jemputan ke Gurdwara daripada komuniti Sikh di bandaraya Johor Bahru semalam menimbulkan pelbagai reaksi.

Walaupun program ini pada asalnya bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kita meraikan kepelbagaian dalam masyarakat, ianya menimbulkan perbincangan dan kecaman yang meluas di laman-laman media sosial dan kumpulan-kumpulan Whatsapp.

Mungkin kurangnya usul periksa atau kekhilafan dari segi penyampaian seperti adu domba oleh gerakan maya pembangkang ‘Ops Johor’ yang terkenal sebagai medium penyebaran kebencian perkauman dan agama menyebabkan isu sebegini mudah diviralkan dan dikaitkan dengan sensitiviti masyarakat.

Saya terima nasihat, teguran dan peringatan dengan hati terbuka daripada pimpinan agama, saudara-mara, sahabat dan orang ramai. Malah saya amat bersyukur dengan panduan yang diberikan.

Manakala segala tohmahan, cacian dan kata-kata kesat hanyalah menggambarkan betapa rendahnya keperibadian mereka.

Tindakan mereka ini sekadar memperkuatkan keyakinan saya dengan usaha yang saya cuba lakukan.

Saya hargai sokongan rakan-rakan yang faham mengenai keperluan untuk kita mengangkat kebenaran dan mendidik masyarakat.

Maka saya kongsikan pandangan dan pengalaman yang berlaku semalam sebagai rujukan bagi menggalakkan lagi hubungan baik sesama rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

MENJAGA HUBUNGAN DENGAN ALLAH

Apabila program Iftar Muhibbah ini tiba-tiba hangat diperkatakan, saya telah menulis di Facebook bagi memberi sedikit gambaran mengenai Gurdwara berdasarkan apa yang berlaku tahun lepas.

Saya terangkan inisiatif yang telah dibuat oleh komuniti Sikh sebelum ini yang menyebabkan saya bersetuju untuk hadir ke Gurdwara buat kali yang kedua.

Ternyata dalil-dalil dan hujah-hujah agama tidak meletakkan halangan kepada umat Islam untuk menghormati agama lain dan mengharuskan kunjungan ke rumah ibadat mereka dengan tujuan yang murni.

Namun, saya tetap merasakan saya bertanggungjawab agar mereka yang turut serta dalam program ini terutamanya di kalangan Muslim terpelihara dari segi perbuatan atau mengelak dari perkara-perkara yang meragukan.

Walaupun ada Fatwa yang menyebut hukumnya makruh mengerjakan ibadah di rumah ibadat lain (maksudnya boleh dibuat), tetapi saya juga perlu peka dan sebagai seorang pemimpin tempatan sudah pasti gerak-geri saya bukan saja dinilai dan diperhatikan tetapi juga boleh menjadi ikutan.

Bagi Iftar Muhibbah tahun lepas, saya sebenarnya telah menyertai qariah Masjid Bulatan, Kg Melayu Majidee untuk Majlis Khatam Quran, berbuka puasa dan solat Maghrib secara berjemaah sebelum saya ke Gurdwara bagi memenuhi undangan mereka.

Mereka yang suka tuduh-menuduh boleh semak dengan qariah Masjid atau rajin-rajinlah bersama mengimarahkan rumah Allah.

Cuma saya menganggap ibadah saya adalah urusan dengan Allah dan saya tidak mahu dianggap menunjuk-nunjuk sebab itu saya tidak ceritakan secara terbuka.

Tetapi dalam konteks ini, saya ceritakan juga untuk elak fitnah pihak yang tidak bertanggungjawab.

Manakala untuk undangan Iftar Muhibbah tahun ini, saya dapat tiba lebih awal di Gurdwara sekitar jam 6.45 petang bagi menyantuni penganjur, hadirin dan pihak media sebelum saya menyeberangi jalanraya ke Kompleks Kotaraya@Galleria bagi berbuka puasa di Masjid An-Nur Kotaraya (rujukan: https://www.facebook.com/593529354077239/posts/2266229873473837)

Selesai solat Maghrib berjemaah di Masjid An-Nur Kotaraya, saya kembali semula ke Gurdwara untuk makan bersama dan meraikan tuan rumah dan tetamu mereka.

TAKUT DENGAN KEBAIKAN

Sementara penganjur bertungkus-lumus mempersiapkan majlis, mereka juga faham dan menghormati permintaan saya untuk berbuka dan solat Maghrib di Masjid terlebih dahulu sebelum makan bersama.

Saya juga ucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Kotaraya@Galleria dan Masjid An-Nur yang tampil memudahkan kami untuk berbuka puasa.

Toleransi sebegini jarang-jarang diceritakan.

Dalam berhadapan dengan masyarakat berbilang bangsa, masyarakat Melayu Islam sering didambakan dengan pemikiran seperti:-

Kita perlu takut akidah kita tergugat.

Kita perlu sangsi dengan mereka bukan Islam yang cuba menggugat kepercayaan kita.

Walaupun mereka cuba melakukan kebaikan, sudah pasti mereka mempunyai agenda tersembunyi.

Begitulah sensitiviti dan sentimen yang telah ditanam dalam masyarakat kita.

Diakui bahawa sikap berwaspada dan berjaga-jaga perlu ada, namun kita perlu ada keyakinan dengan kemampuan diri kita yang boleh dipupuk melalui kepercayaan, ilmu dan amalan.

Sebagai orang Islam, kita wajib berpegang teguh kepada agama kita.

Sebagai rakyat Malaysia pula, kita perlu bersikap jujur bahawa kita hidup dalam masyarakat majmuk.

Pandanglah mereka yang bukan beragama Islam dari sudut sesama manusia.

Kebaikan yang dibuat wajarlah disambut dengan kebaikan.

Provokasi dan sentimen perkauman hanya akan melemahkan kita semua sebagai sebuah negara.

Menghormati dan memahami antara satu sama lain membolehkan kita bukan sahaja mewujudkan suasana yang harmoni tetapi juga mengenali diri kita sendiri dengan lebih dekat.

Sikap sebegini tidak boleh dibeli tetapi perlu diusahakan dalam diri masing-masing.

Adalah rugi untuk kita sebagai seorang Muslim tetapi tidak berusaha ke arah keperibadian yang terpuji dan melangkaui polemik perkauman.

MASIH BANYAK YANG PERLU DILAKUKAN

Program Muhibbah semalam bukanlah majlis rasmi tetapi kerana tersebar luasnya, ramai yang tampil bagi memudahkan urusan dan saya terharu melihat kesepakatan semua pihak.

Kehadiran pemimpin komuniti muslim berbangsa India daripada Masjid India berdekatan dan komuniti muslim berbangsa Cina dari Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) untuk meraikan majlis muhibbah adalah amat bermakna.

Mereka menjadi bukti bahawa agama Islam tidak eksklusif kepada mana-mana kaum atau kumpulan, tidak menindas serta tidak memutuskan hubungan silaturahim hatta kini berbeza kepercayaan.

Sementara polemik agama dan perkauman akan terus dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, kita seharusnya mempunyai jati diri, prinsip, sahsiah dan nilai-nilai terpuji.

Tidak dinafikan kita perlu sentiasa merujuk kepada alim ulama’ dalam hukum-hakam agama.

Kita perlu teliti dan perlu ada kaedah membuat keputusan berdasarkan panduan yang diberikan.

Tetapi saya juga yakin sebagai seorang Muslim di negara ini, kita juga mampu berperanan mengeratkan hubungan sesama rakyat Malaysia.

Sekurang-kurangnya kita semua mempunyai aspirasi untuk mewujudkan masyarakat yang bertoleransi dan saling faham-memahami sementara tegas dalam mengangkat nilai-nilai murni seperti akauntabiliti, menolak rasuah dan salah guna kuasa.

Saya yakin dengan berpandukan keyakinan tersebut, kita mempunyai kekuatan ke arah kesejahteraan masyarakat baik dari segi politik, ekonomi dan sosial.

Selepas majlis di Gurdwara, saya bergegas ke Masjid Taman Dato’ Onn, Larkin untuk Solat Isyak dan Terawikh bersama dengan penduduk tempatan.

Mesyuarat persediaan AIPA Caucus

Mesyuarat kumpulan kerja “The Rise of Terrorism, Extremism and Radicalisation: A Parliamentary Perspective” sebagai sebahagian persediaan AIPA Caucus bulan depan.

Saya kongsikan sedikit proses perbincangan supaya teman-teman dapat gambaran bagaimana sesuatu perkara itu diangkat sebagai pendirian negara (melalui platform Ahli-ahli Parlimen Asia Tenggara).

Ketika kami mula mengaturkan persediaan bersama YB Dato Speaker sebelum Ramadan, kami bersetuju agar perwakilan dari Malaysia merangkumi semua pihak termasuk daripada pembangkang.

Bagi kumpulan kerja ini, pengerusinya adalah YB Kepala Batas (UMNO) manakala saya sebagai Setiausaha.

Ini pertemuan kali ketiga dan pasukan Southeast Asis Regional Centre for Counter Terrorism (SEARCCT) [atau disebut ‘siasat’] telah menyediakan cadangan draf resolusi untuk dikemukakan oleh Malaysia.

Drafnya agak menyeluruh dan saya ada mengemukakan beberapa perkara untuk melengkapkan draf tersebut iaitu:-

1. Masalah radikal, extremis dan pengganas melangkaui bangsa, agama, kepercayaan dan latar belakang komuniti masyarakat (sebagai contoh stigma masyarakat dunia: pengganas ini dikaitkan dengan Islam)

2. Kesenjangan ekonomi dan sosial yang menyumbangkan kepada ketidakadilan masyarakat menyebabkan ada sekumpulan masyarakat yang disisihkan dan menganggap mereka sebagai mangsa. Maka negara ASEAN perlu mengangkat konsep keadilan ekonomi dan usaha merapatkan jurang pendapatan.

3. Dalam usaha mengekang keganasan, negara ASEAN perlu menghormati hak asasi manusia dan tidak menganayai mana-mana pihak atas nama keselamatan

Draf yang kami bincangkan tadi akan dikemukakan ke Kementerian-kementerian berkaitan sebelum kami muktamadkan draf cadangan untuk dibincangkan dengan negara-negara ASEAN.

Selesai mesyuarat yang diselaraskan oleh Parlimen, saya akan ke Melaka untuk iftar bersama dengan Angkatan Muda negeri sebelum balik ke Johor Bahru.

Harga tiket mahal punca jumlah pengunjung menurun?

HARGA TIKET MAHAL PUNCA JUMLAH PENGUNJUNG MENURUN!?

Baru-baru ini tular mengenai isu kekurangan pengunjung ke Zoo Negara.

Jumlah pengunjung Zoo Negara mengalami penurunan drastik sejak tahun 2014, dari 708,000 setahun kepada kurang dari 400,000 pengunjung setahun.

Pada tahun lalu, jumlah pengunjung adalah sebanyak 368,000 orang!

Ini memberi kesan kewangan yang besar kepada Zoo Negara dalam usaha melakukan pendidikan, pemuliharaan dan penyelidikan saintifik.

Dalam masa yang sama kebajikan haiwan-haiwan di Zoo Negara juga semakin terjejas.

Zoo Negara memerlukan sekurang-kurangnya 500,000 pelawat setahun bagi menampung pelbagai kos.

Justeru Zoo Negara memerlukan sokongan daripada semua pihak sama ada daripada pihak pengunjung ataupun penaja dalam usaha memastikan agar kebajikan haiwan di Zoo Negara akan terus terbela.

Pada masa yang sama, saya berpendapat pihak pengurusan Zoo Negara perlu membuat penilaian apakah yang telah menyebabkan penurunan pengunjung saban tahun.

Kita harus pastikan Zoo Negara kekal menjadi salah satu destinasi pelancongan utama bagi pelancong domestik dan antarabangsa yang datang ke Malaysia.

Apa pendapat korang? Adakah faktor kekurangan promosi, harga tiket dsb yang mempengaruhi orang ramai untuk berkujung ke Zoo Negara?

Program Iftar Mega Prima di UPM

Semalam, saya telah bersama-sama dengan kumpulan Koordinator Program Pembangunan Food Bank Siswa Kebangsaan (Food Bank 4 Student #F4ST) mengagih makanan kepada mahasiswa di program Iftar Mega Putra anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM).

Seramai lebih 3,000 mahasiswa telah menyertai program Iftar Mega Putra di Dataran UPM.

Ini adalah satu program yang menarik dalam mengeratkan lagi hubungan sesama pelajar di kampus.

Turut bersama adalah Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor UPM dan pimpinan MPP UPM.

Insentif tambah pendapatan graduan

Cadangan kerajaan dalam usaha menambah pendapatan graduan yang baru tamat pengajian merupakan suatu tindakan yang wajar. Ini bermakna graduan yang baru tamat pengajian boleh melibatkan diri dalam melakukan kerja di sektor 3D yang selama ini didominasi oleh pekerja asing tanpa memikirkan kadar upah yang rendah lagi.

Penglibatan rakyat tempatan dalam sektor pekerjaan 3D (dirty, difficult, dangerous) mampu mengurangkan aliran wang ke luar negara yang memakan berpuluh bilion ringgit setiap tahun. Ini kerana jumlah pekerja asing di Malaysia mencecah seramai 7 juta orang.

Kebergantungan kepada pekerja asing yang tinggi akan memberi implikasi kepada ekonomi negara. Dengan penglibatan graduan ke sektor 3D aliran wang ke negara luar berjaya dikurangkan, dalam masa yang sama memberikan peluang pekerjaan kepada graduan dari terus menganggur.

Kerajaan bercadang memberikan tambahan gaji sebanyak RM700 hingga RM1000. Tambahan jumlah gaji ini memadai untuk menampung kos sara hidup buat graduan yang baru melangkah ke alam pekerjaan.

Namun begitu, cadangan ini semestinya mempunyai cabaran khususnya bagi menarik minat graduan memandangkan graduan boleh dikategorikan sebagai pekerja separuh mahir. Yang pasti kerajaan sedang memikirkan strategi dan memperincikan cadangan ini.

Pendedahan nama pemberi maklumat YaPEIM

Saya merujuk kepada laporan The Malaysian Insight bertarikh 11 Mei 2019 berkenaan satu laporan penstrukturan semula Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang antara lainnya mengesahkan kebenaran pendedahan demi pendedahan mengenai penyelewengan dan ketirisan YaPEIM pada tahun 2015.

Saya amat berterima kasih kepada pemberi-pemberi maklumat yang telah mengambil risiko menyalurkan maklumat yang tepat kepada National Oversight and Whistleblowers (NOW) dan juga terima kasih kepada rakyat Malaysia yang memilih peralihan kuasa kerajaan yang sekaligus membolehkan skandal-skandal rasuah disiasat.

Selain itu, laporan tersebut turut membuktikan bahawa skandal YaPEIM yang berlaku sebelum ini lebih teruk daripada yang disangka.

Umum mengetahui bagaimana wang tersebut disalahguna oleh mereka yang terbabit ke luar negara, pembelian alat golf simulator dan bayaran gaji serta bonus yang melampau kepada diri masing-masing, pendedahan laporan terbaru ini pula menunjukkan penyelewengan turut berlaku dalam urusan perniagaan seperti Ar-Rahnu dan pembelian syer syarikat yang tidak menguntungkan.

Saya yakin tindakan-tindakan tersebut merupakan perbuatan jenayah yang sudah semestinya melanggar undang-undang.

Mereka yang terlibat sewajarnya diambil tindakan yang sekeras-kerasnya dan mereka wajib memulangkan semula segala wang dan imbuhan yang diselewengkan.

YaPEIM merupakan sebuah yayasan berkebajikan yang bergantung kepada sumbangan orang ramai terutamanya kakitangan kerajaan yang bertujuan mahu membantu golongan yang memerlukan seperti anak yatim dan fakir miskin.

Sudah menjadi harapan agar YaPEIM dipulihkan kembali kepada tujuan asal dan perlu mempunyai kebertanggungjawaban dan integriti kepada para penyumbang, maka struktur yayasan ini perlu direformasikan sepenuhnya supaya skandal sebegini tidak berulang.

Saya juga menyeru pihak kerajaan, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (yang perlu dipinda), majikan, pekerja dan masyarakat umum dapat memberi pengiktirafan kepada mereka yang mengambil risiko sebagai pemberi maklumat.

Saya bersedia mendedahkan identiti sebenar pemberi maklumat yang menyalurkan bukti-bukti skandal penyelewengan YaPEIM sekaligus menyelamatkan yayasan tersebut, sekiranya mereka ini diberikan perlindungan dan penghormatan yang sewajarnya.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

Takiyuddin biadap dan melampaui batas!

Saya ingin menyelar Kenyataan Setiausaha Agong PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan yang menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak bergelar Perdana Menteri kerana berstatus banduan.

Ternyata kenyataan beliau berniat jahat, biadap, dan melampaui batas.

Kenyataan tersebut yang disiarkan menerusi sebuah portal menyebut bahawa beliau yang mengakui dirinya sebagai seorang peguam ternyata gagal memahami maksud perundangan itu sendiri.

Pada 16 Mei 2018, Yang Di-Pertuan Agong telah memberikan pengampunan penuh tanpa syarat kepada Anwar Ibrahim yang membawa maksud sabitan ke atas kes liwat II telah diketepikan terus dan Anwar Ibrahim dianggap sebagai bukan seorang banduan dan bersih daripada mana-mana kes jenayah.

Beliau juga dibenarkan untuk terus menyertai pilihanraya yang bermaksud sekatan 5 tahun di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan tidak berbangkit.

Kenyataan Takiyuddin ternyata berniat jahat dengan sengaja untuk menimbulkan penghinaan terhadap Anwar Ibrahim dan secara tak langsung memperlekeh perkenan Yang Di-Pertuan Agong untuk mengurniakan pengampunan penuh kepada Anwar Ibrahim.

Saya dengan ini menggesa Takiyudin Hassan untuk menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka terhadap Anwar Ibrahim.

Sekian

AKMAL NASRULLAH MOHD NASIR
Ketua Angkatan Muda Keadilan
Ahli Parlimen Johor Bahru

Perbincangan dengan Menteri Pengangkutan

Sebelum Amanat Perdana Setahun Pentadbiran Pakatan Harapan semalam, saya singgah di Kementerian Pengangkutan untuk semak beberapa perkara dengan pegawai di sana.

Kebetulan YB Menteri Anthony Loke Siew Fook ada di Pejabat dan beliau jemput saya untuk berbincang bersama.

Beliau menjelaskan perkembangan terkini mengenai RTS dan juga double tracking.

RTS merupakan pilihan terbaik untuk mengurangkan kesesakan di CIQ ketika ini dan saya maklumkan mengenai keperluan projek RTS disegerakan.

Beliau juga memaklumkan projek Bus Rapid Transit (BRT) pula sedang dikelolakan oleh IRDA.

Saya juga sebutkan hasrat Larkin Sentral untuk setaraf TBS dan Menteri kongsikan beberapa cadangan yang boleh dibincangkan dengan pihak pengurusan.

Insyallah saya akan sering kemukakan pandangan dan mengambil maklumbalas untuk tambah baik sistem pengangkutan awam di Johor Bahru.