Pengerusi PAC ditukar, satu perkembangan baik

Satu perkembangan yang baik untuk hari ini. PAC akan kembali diketuai oleh Ahli Parlimen pembangkang.

Walaupun ramai yang mengkritik tindakan YB Nurul Izzah sebelum ini ekoran perletakan jawatannya dalam PAC, saya melihat desakannya berhasil dalam memastikan reformasi institusi terus berjalan dalam pentadbiran Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan tidak terdiri daripada ahli-ahli parlimen yang sekadar menjadi ‘pak turut’ seperti kerajaan sebelum ini.

InsyaAllah kita akan terus memastikan usaha reformasi institusi itu sentiasa berjalan bagi memastikan urus tadbir yang baik dan bersih.

Baca di sini.

https://www.malaysiakini.com/news/470784

PH komited bantu rakyat, elak isu perkauman

“Sebagai contoh isu ekonomi dan perkauman, itu komen mereka (UMNO-Pas) untuk membina dan membuka jaringan lebih baik, bagi saya itu tidak menjadi masalah.

Cuma apa yang terjadi, asyik salah menyalahkan sehingga timbulkan isu sentimen kaun dan agama, ia tidak akan ada jalan penyelesaian,” jelasnya. Rakyat mahu ekonomi yang lebih baik.

“Kembali kepada asas apa yang rakyat hendak. Rakyat mahukan ekonomi yang baik dan solusi kepada kos sara hidup tinggi. Dulu kenapa rakyat beri PH pimpin negara?”

Baca di sini.

https://www.sinarharian.com.my/article/21433/KHAS/Wacana/PH-lebih-minat-bantu-rakyat-dari-cakap-isu-perkauman

Sesi perbincangan bersama TalentCorp

Saya telah dijemput ke Pejabat Talent Corp siang tadi (waktu rehat tengah hari Parlimen) untuk memahami peranan dan operasi mereka dengan lebih dekat lagi.

Mereka telah mula beroperasi sejak tahun 2011 dan saya pernah berkunjung ke salah satu ‘engagement’ mereka dengan pelajar Malaysia di luar negara pada tahun 2014.

Ada tiga penumpuan utama mereka dalam soal tenaga kerja:-
1) Graduan Malaysia 
2) Rakyat Malaysia yang bekerja profesional di luar negara (yang boleh dibawa pulang ke negara atau networking) 
3) expat, tenaga pakar yang diperlukan untuk bekerja di Malaysia.

Salah satu finding yang menarik adalah terdapat peningkatkan hampir 20% rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara memohon untuk balik selepas PRU 2018 (mungkin euphoria berlakunya perubahan politik).

Dalam proses penyusunan semula agensi kerajaan, Talent Corp kini diletakkan di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Saya rasa elok usaha sebegini dikekalkan sementara diakui masih terdapat beberapa perkara yang perlu diselaraskan.

Bagi saya, secara dasarnya kita perlu terus memperkemaskan kaedah untuk memastikan produktiviti tenaga kerja terus ditingkatkan (job matching yang lebih tepat, kemahiran yang lebih baik dll) dan diikuti dengan gaji atau pendapatan yang setimpal bagi pekerja tempatan.

Makanan “Food Truck” mahal?

Perniagaan secara food truck merupakan perniagaan yang unik kerana mudah bergerak dan sudut peragaan barangan yang lebih baik. Memandangkan perniagaan food truck termasuk dalam Pelan Inisiatif Strategik Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil 2015-2020, maka Program Transformasi Peniaga (Food Truck) telah diwujudkan oleh KPDNHEP.

Melalui program ini, peniaga kecil akan diberikan bantuan pinjaman sebanyak RM 100,000 bagi tujuan pembelian food truck. Pembelian kenderaan ini mampu mempertingkat bakat dan mengembangkan perniagaan. Selain itu, peniaga turut dilatih melalui Kursus Pemantapan Usahawan Food Truck oleh pihak kementerian secara percuma bagi mempertingkatkan keberkesanan perniagaan

Namun, rata-rata reaksi netizen menggambarkan bahawa harga makanan yang dijual oleh peniaga-peniaga Food Truck adalah lebih mahal daripada biasa.

Patut pantau harga tapak, pastu pantau harga makanan. Ni ramai ‘duk’ makan atas angin, itu yang harga makanan mahal. Sepatutnya harga murah dari kedai, ini tidak.

Hafiz Rahman

Oleh yang demikian, saya berpendapat model perniagaan Food Truck perlu diteliti semula bagi melihat faktor-faktor yang menyumbang kepada jualan harga makanan yang mahal.

Tidak dinafikan pernigaan Food Truck adalah trend perniagaan yang banyak diceburi oleh orang muda disebabkan kemudahan mobiliti dan konsepnya yang unik.

Namun begitu, harga makanan yang ditawarkan perlulah berpatutan agar dapat menarik pelanggan. Pada masa yang sama, kerajaan juga boleh membantu merangka model perniagaan yang lebih mapan agar peniaga tidak menanggung kos yang terlalu tinggi.

KWSP LANCAR ‘BELANJAWANKU’

KWSP hari ini melancarkan satu garis panduan perbelanjaan yang diberi nama ‘Belanjawanku’. Satu inisiatif yang menarik bagi membantu masyarakat di Lembah Klang untuk mengurus kewangan dengan lebih baik.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, panduan ini mampu meningkatkan tahap kecelikan kewangan dan kemahiran pengurusan kewangan peribadi dalam kalangan rakyat negara ini.

Beliau berkata, kadar kecelikan kewangan yang rendah antara faktor menyumbang kepada tahap keberhutangan tinggi serta masalah kebankrapan yang membimbangkan dalam kalangan belia.

“Sejak tahun 2013 hingga 2017, seramai 100,610 rakyat Malaysia diisytiharkan muflis dan 60 peratus daripada mereka berusia antara 18 hingga 44 tahun.

“Bukan saja golongan belia yang menghadapi cabaran kewangan yang serius, malah bakal pesara juga perlu mengambil berat tentang rancangan perbelanjaan mereka.

“Belanjawanku ini boleh membantu kita memahami kuasa membeli serta permarkahan kredit peribadi dengan mendalam. Bagi pembuat dasar pula, ia boleh dijadikan panduan untuk mengkaji garis kemiskinan sambil mereka mekanisme bantuan pendapatan bagi membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

Baca lebih lanjut: http://www.kwsp.gov.my/portal/en_US/about-epf/belanjawanku

INDEKS GAJI KEBANGSAAN DIUMUMKAN

Hari ini, Menteri Sumber Manusia, M.Kulasegaran telah melancarkan Indeks Gaji Kebangsaan (IGK) setelah kajian dijalankan sekurang-kurangnya selama dua tahun (Malay Mail, 2019).

Saya melihat ini sebagai satu langkah yang baik ke arah meningkatkan tahap gaji rakyat Malaysia. Umum mengetahui bahawa salah satu faktor utama yang menyebabkan rakyat tertekan dengan kos sara hidup sekarang adalah kenaikan gaji yang rendah beberapa tahun kebelakangan ini.

Contohnya, dalam sektor perkilangan Malaysia pada dekad lepas, produktiviti buruh bertumbuh pada purata 5% setiap tahun, tetapi purata sebenar gaji perkilangan berkembang pada kadar yang jauh lebih lambat iaitu hanya 2.4%.

Jika dilihat pada tempoh antara tahun 1998 dan 2007, pengeluaran bagi setiap pekerja dalam sektor perkilangan meningkat lebih kurang 180% tetapi peningkatan gaji pada jangka waktu yang sama meningkat hanya 73%.

Malahan sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) pun, jikalau anda masih ingat akan jelajah Bina Semula Negara yang dianjurkan oleh Rafizi Ramli, beliau telah menuntut agar gaji setimpal diberikan terhadap pekerja-pekerja. Ini kerana memang telah dibuktikan oleh kertas-kertas kajian yang menunjukkan pasaran buruh mengalami kenaikan gaji yang rendah. Masih ada lagi graduan yang menerima gaji bawah daripada RM2,000 sebulan!

Namun menurut kementerian, indeks ini hanya akan berfungsi sebagai garis panduan dan bukannya wajib dipatuhi oleh para majikan. Oleh itu, satu pemantauan perlu sentiasa dijalankan agar gaji yang ditawarkan selari dengan tuntutan ekonomi semasa.

Indeks Gaji Kebangsaan diharap akan dapat menjadi alat yang berkesan dalam proses penetapan gaji yang lebih setimpal di samping Indeks Harga Pengguna dan Indeks Produktiviti. Selain itu, saya yakin IGK mampu memberikan pemahaman yang lebih baik dalam proses perangkaan polisi dan dasar berkaitan pasaran buruh dan ekonomi negara.

Rujukan – https://www.malaymail.com/news/malaysia/2019/02/19/putrajaya-launches-national-wage-index-for-productivity-wage-benchmark/1724453

TUBUH RCI SEGERA UNTUK SIASAT DAKWAAN CAMPUR TANGAN KEHAKIMAN

Hakim Mahkmah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer telah membuat satu pendedahan menggemparkan bahawa, telah terdapat campur tangan dalam institusi kehakiman sebelum pilihan raya serta selepas pilihan raya yang masih berterusan, membabitkan salah laku perlembagaan dan kehakiman.

Menurut beliau, telah terdapat campur tangan dalam proses membuat penghakiman terhadap kes-kes berprofil tinggi seperti yang melibatkan Presiden PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan mantan Pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh. Tambahnya lagi, wujud usaha berterusan untuk mengelirukan orang awam melalui berkonspirasi untuk menyembunyi jenayah kehakiman.

Oleh itu, AMK menggesa agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan dengan segera bagi menyiasat dakwaan atau pendedahan yang telah dibuat.

Sebelum ini, rakyat mengalami krisis keyakinan terhadap institusi kehakiman negara yang sering kali dianggap tidak telus dan tidak bebas. Maka, kerajaan baru Pakatan Harapan perlu memikul tanggungjawab untuk mengembalikan keyakinan tersebut dengan menjamin kebebasan badan kehakiman negara.

Keberanian tindakan Hakim Mahkamah Rayuan tersebut untuk mendedahkan maklumat (whistleblowing) seperti ini harus dipuji dan dihormati. Hal ini kerana tindakan yang diambil adalah berlandaskan prinsip kebebasan dan integriti badan kehakiman negara daripada campur tangan dalaman mahupun luaran.

Oleh yang demikian, AMK ingin menegaskan bahawa penubuhan RCI merupakan satu langkah tepat yang perlu diambil dengan segera untuk menyiasat dakwaan campur tangan yang dibuat oleh Hakim Mahkmah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer.

Penyiasatan melalui RCI juga perlu dilihat sebagai usaha untuk membela mereka yang telah dizalimi akibat ketidakadilan dalam proses penghakiman yang mungkin telah berlaku.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

ADA SAMAN TAK BOLEH MASUK MALAYSIA?

Mulai 1 April, kerajaan Singapura akan menghalang kenderaan Malaysia atau mana-mana kenderaan asing ke republik itu sekiranya mempunyai saman kesalahan trafik yang belum dijelaskan.

Adakah Malaysia juga berhak membuat peraturan yang sama? Ia bukan untuk menyekat atau menghalang orang luar masuk ke negara ini, tetapi lebih kepada menjaga kedaulatan negara.

Saya telah cuba untuk mendapatkan reaksi netizen mengenai tindakan kerajaan Singapura tersebut. Seramai 111 pennguna facebook telah meninggalkan komen mereka mengenai isu ini.

Rata-rata masyarakat merasakan bahawa kerajaan Malaysia perlu mengenakan sekatan yang sama terhadap kenderaan asing yang memiliki saman trafik.

Malahan, ada juga netizen berpendapat bahawa langkah yang diambil oleh Singapura akan mendisiplinkan rakyat Malaysia yang ingin memasuki negara tersebut secara tidak langsung. Oleh itu, kerajaan Malaysia perlu membuat perkara yang sama supaya undang-undang sedia ada di sini akan sentiasa dipatuhi.


YA..SANGAT WAJAR..Kita sebagai Malaysian kena belajar disiplin macam Singapore…semua undang2 yang dibuat kerajaan mereka telah mendisiplinkan rakyat mereka..Kita sebagai orang luar pun akan automatik jadi patuh dan akan ikut undang2 negara mereka jika kita masuk ke sana..

Jadi saya menyokong 200% jika kerajaan Malaysia baru ini buat perkara yang sama.

Nurul Farhana, pengguna facebook

Saya merasakan perlu diwujudkan satu garis panduan untuk kenderaan asing yang memiliki kesalahan atau saman trafik. Hal ini untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku di atas jalan raya yang mungkin boleh memberi kesan buruk kepada rakyat tempatan.

GAGAL HANTAR ANAK KE SEKOLAH AKAN DIDENDA?

Kerajaan sedang mengkaji semula Akta Pendidikan Negara untuk mewajibkan murid-murid melengkapkan persekolahan dari darjah satu sehingga tamat tingkatan lima.

Untuk pengetahuan, Akta Pendidikan Negara kini hanya mewajibkan murid-murid untuk melengkapkan persekolahan dari Tahun Satu sehingga Tahun Enam sahaja.

Oleh itu, menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata ibu bapa yang gagal menghantar anak ke sekolah berdepan kemungkinan dikenakan denda sebanyak RM5,000 ataupun penjara selama enam bulan.

Namun begitu, hukuman ini juga mengambil kira faktor masalah yang mungkin dihadapi oleh ibu bapa untuk tidak menghantar anak ke sekolah khususnya seperti masalah kewangan dan kemudahan persekolahan.

Oleh yang demikian, hukuman ini lebih bersasarkan kepada golongan ibubapa yang tidak bertanggungjawab dan tidak memikirkan masa depan anak sendiri.

Saya telah meneliti komen-komen yang ditinggalkan oleh para netizen mengenai perkembangan ini. Rata-ratanya menunjukkan reaksi yang bercampur.

Selain itu, terdapat juga netizen yang memberikan cadangan untuk dipertimbangkan oleh Kementerian Pendidikan.


Tiada ibu bapa yang dengan niat tidak mahu anaknya melanjutkan persekolahan mereka jika tidak mengalami kesempitan hidup. Mereka ini terpaksa bekerja untuk membantu ekonomi keluarga menyebabkan mereka tercicir alam persekolahan. Ini bukan pilihan tetapi ini sahaja jalan untuk meneruskan hidup. Cadangan saya untuk mengatasi masalah ini, kerajaan ambil mereka sebagai anak angkat negara yang menyediakan persekolahan mereka dan cuba tingkatkan ekonomi keluarga mereka.

Khairul Hafiz Mohamed, pengguna facebook


Di negara maju, diorang ada social welfare services. Macam anak anak yang terbiar akan dirampas hak penjagaan diorang, dihantar ke asrama atau sistem ibu bapa angkat dimana setiap anak angkat akan dibayar RM1000 sebulan.

Mohd Azwan Adnan, pengguna facebook

Yang pasti, perlu lebih banyak kajian dijalankan bagi mengenal pasti langkah yang efektif bagi mencapai 100 peratus anak-anak bersekolah. Perkara ini harus diperhalusi daripada pelbagai aspek melibatkan ibu-bapa, kanak-kanak, struktur masyarakat dan sebagainya.

PENUBUHAN MAJLIS TINDAKAN EKONOMI LANGKAH TEPAT?

Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir memberi petunjuk bahawa kerajaan sekarang mengambil serius masalah kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

Pertama kali Majlis Tindakan Ekonomi ditubuhkan adalah pada tahun 1998 semasa negara terperangkap dalam krisis kewangan global yang telah memberi kesan kepada kebanyakan negara Asia waktu itu.

Masalah kos sara hidup boleh disimpulkan kepada dua perkara.

1. Gaji rendah
2. Harga barang tinggi

Harga barang tinggi di sini mungkin merujuk kepada harga rumah, harga barang keperluan asas, harga petrol atau minyak mentah, harga kenderaan dan sebagainya.

Contohnya, berdasarkan Laporan Indeks Harga Rumah Malaysia, pada suku ketiga 2017, harga purata untuk semua rumah di Malaysia mencecah RM410,050. Harga telah meningkat daripada RM385,201 (Q3 2016) dan
RM401,905 (Q2 2017). Walhal gaji graduan universiti masih kekal di paras RM2,000 sebulan!

Selain itu, artikel Dimensi Koop menunjukkan bahawa gaji di UK adalah tiga kali ganda nilainya lebih tinggi jika dibandingkan dengan Malaysia. Malah, seseorang individu di UK mampu membeli sebuah BMW berdasarkan gaji diterima tetapi di Malaysia, seseorang individu hanya mampu membeli kereta Viva dengan pinjaman bank.

Umum mengetahui bahawa Malaysia mengalami kadar kenaikan gaji yang rendah setiap tahun. Menurut Laporan Produktiviti 2015/16 yang secara jelas menunjukkan kadar kenaikan jumlah imbuhan kepada pekerja (dalam bentuk gaji, caruman dan pampasan) sebenarnya telah menurun dari 5.3% (2011) kepada 3.8% (2015).

Ini menunjukkan bahawa isu ekonomi adalah isu yang kompleks yang melibatkan pelbagai pemegang taruh.

Namun, adakah Kabinet sekarang boleh dikatakan gagal?

Saya merasakan persoalan itu terpulang kepada rakyat untuk menilainya.

Yang pasti, isu kos sara hidup adalah satu isu yang perlu ditangani bersama. Ia melibatkan ahli politik (penggubal dasar), majikan, pemilik perniagaan, pelabur dan sebagainya.

Dasar ekonomi tidak boleh digubal sewenang-wenangnya kerana boleh menyebabkan gangguan kitaran ekonomi yang tidak diingini yang boleh membawa kesan yang lebih buruk.

Kerajaan Pakatan Harapan mempunyai masa lima tahun untuk membuktikan kepada rakyat kemampuan menangani masalah kos sara hidup ini.