Mesyuarat persediaan AIPA Caucus

Mesyuarat kumpulan kerja “The Rise of Terrorism, Extremism and Radicalisation: A Parliamentary Perspective” sebagai sebahagian persediaan AIPA Caucus bulan depan.

Saya kongsikan sedikit proses perbincangan supaya teman-teman dapat gambaran bagaimana sesuatu perkara itu diangkat sebagai pendirian negara (melalui platform Ahli-ahli Parlimen Asia Tenggara).

Ketika kami mula mengaturkan persediaan bersama YB Dato Speaker sebelum Ramadan, kami bersetuju agar perwakilan dari Malaysia merangkumi semua pihak termasuk daripada pembangkang.

Bagi kumpulan kerja ini, pengerusinya adalah YB Kepala Batas (UMNO) manakala saya sebagai Setiausaha.

Ini pertemuan kali ketiga dan pasukan Southeast Asis Regional Centre for Counter Terrorism (SEARCCT) [atau disebut ‘siasat’] telah menyediakan cadangan draf resolusi untuk dikemukakan oleh Malaysia.

Drafnya agak menyeluruh dan saya ada mengemukakan beberapa perkara untuk melengkapkan draf tersebut iaitu:-

1. Masalah radikal, extremis dan pengganas melangkaui bangsa, agama, kepercayaan dan latar belakang komuniti masyarakat (sebagai contoh stigma masyarakat dunia: pengganas ini dikaitkan dengan Islam)

2. Kesenjangan ekonomi dan sosial yang menyumbangkan kepada ketidakadilan masyarakat menyebabkan ada sekumpulan masyarakat yang disisihkan dan menganggap mereka sebagai mangsa. Maka negara ASEAN perlu mengangkat konsep keadilan ekonomi dan usaha merapatkan jurang pendapatan.

3. Dalam usaha mengekang keganasan, negara ASEAN perlu menghormati hak asasi manusia dan tidak menganayai mana-mana pihak atas nama keselamatan

Draf yang kami bincangkan tadi akan dikemukakan ke Kementerian-kementerian berkaitan sebelum kami muktamadkan draf cadangan untuk dibincangkan dengan negara-negara ASEAN.

Selesai mesyuarat yang diselaraskan oleh Parlimen, saya akan ke Melaka untuk iftar bersama dengan Angkatan Muda negeri sebelum balik ke Johor Bahru.

Harga tiket mahal punca jumlah pengunjung menurun?

HARGA TIKET MAHAL PUNCA JUMLAH PENGUNJUNG MENURUN!?

Baru-baru ini tular mengenai isu kekurangan pengunjung ke Zoo Negara.

Jumlah pengunjung Zoo Negara mengalami penurunan drastik sejak tahun 2014, dari 708,000 setahun kepada kurang dari 400,000 pengunjung setahun.

Pada tahun lalu, jumlah pengunjung adalah sebanyak 368,000 orang!

Ini memberi kesan kewangan yang besar kepada Zoo Negara dalam usaha melakukan pendidikan, pemuliharaan dan penyelidikan saintifik.

Dalam masa yang sama kebajikan haiwan-haiwan di Zoo Negara juga semakin terjejas.

Zoo Negara memerlukan sekurang-kurangnya 500,000 pelawat setahun bagi menampung pelbagai kos.

Justeru Zoo Negara memerlukan sokongan daripada semua pihak sama ada daripada pihak pengunjung ataupun penaja dalam usaha memastikan agar kebajikan haiwan di Zoo Negara akan terus terbela.

Pada masa yang sama, saya berpendapat pihak pengurusan Zoo Negara perlu membuat penilaian apakah yang telah menyebabkan penurunan pengunjung saban tahun.

Kita harus pastikan Zoo Negara kekal menjadi salah satu destinasi pelancongan utama bagi pelancong domestik dan antarabangsa yang datang ke Malaysia.

Apa pendapat korang? Adakah faktor kekurangan promosi, harga tiket dsb yang mempengaruhi orang ramai untuk berkujung ke Zoo Negara?

Program Iftar Mega Prima di UPM

Semalam, saya telah bersama-sama dengan kumpulan Koordinator Program Pembangunan Food Bank Siswa Kebangsaan (Food Bank 4 Student #F4ST) mengagih makanan kepada mahasiswa di program Iftar Mega Putra anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM).

Seramai lebih 3,000 mahasiswa telah menyertai program Iftar Mega Putra di Dataran UPM.

Ini adalah satu program yang menarik dalam mengeratkan lagi hubungan sesama pelajar di kampus.

Turut bersama adalah Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor UPM dan pimpinan MPP UPM.

Insentif tambah pendapatan graduan

Cadangan kerajaan dalam usaha menambah pendapatan graduan yang baru tamat pengajian merupakan suatu tindakan yang wajar. Ini bermakna graduan yang baru tamat pengajian boleh melibatkan diri dalam melakukan kerja di sektor 3D yang selama ini didominasi oleh pekerja asing tanpa memikirkan kadar upah yang rendah lagi.

Penglibatan rakyat tempatan dalam sektor pekerjaan 3D (dirty, difficult, dangerous) mampu mengurangkan aliran wang ke luar negara yang memakan berpuluh bilion ringgit setiap tahun. Ini kerana jumlah pekerja asing di Malaysia mencecah seramai 7 juta orang.

Kebergantungan kepada pekerja asing yang tinggi akan memberi implikasi kepada ekonomi negara. Dengan penglibatan graduan ke sektor 3D aliran wang ke negara luar berjaya dikurangkan, dalam masa yang sama memberikan peluang pekerjaan kepada graduan dari terus menganggur.

Kerajaan bercadang memberikan tambahan gaji sebanyak RM700 hingga RM1000. Tambahan jumlah gaji ini memadai untuk menampung kos sara hidup buat graduan yang baru melangkah ke alam pekerjaan.

Namun begitu, cadangan ini semestinya mempunyai cabaran khususnya bagi menarik minat graduan memandangkan graduan boleh dikategorikan sebagai pekerja separuh mahir. Yang pasti kerajaan sedang memikirkan strategi dan memperincikan cadangan ini.

Pendedahan nama pemberi maklumat YaPEIM

Saya merujuk kepada laporan The Malaysian Insight bertarikh 11 Mei 2019 berkenaan satu laporan penstrukturan semula Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang antara lainnya mengesahkan kebenaran pendedahan demi pendedahan mengenai penyelewengan dan ketirisan YaPEIM pada tahun 2015.

Saya amat berterima kasih kepada pemberi-pemberi maklumat yang telah mengambil risiko menyalurkan maklumat yang tepat kepada National Oversight and Whistleblowers (NOW) dan juga terima kasih kepada rakyat Malaysia yang memilih peralihan kuasa kerajaan yang sekaligus membolehkan skandal-skandal rasuah disiasat.

Selain itu, laporan tersebut turut membuktikan bahawa skandal YaPEIM yang berlaku sebelum ini lebih teruk daripada yang disangka.

Umum mengetahui bagaimana wang tersebut disalahguna oleh mereka yang terbabit ke luar negara, pembelian alat golf simulator dan bayaran gaji serta bonus yang melampau kepada diri masing-masing, pendedahan laporan terbaru ini pula menunjukkan penyelewengan turut berlaku dalam urusan perniagaan seperti Ar-Rahnu dan pembelian syer syarikat yang tidak menguntungkan.

Saya yakin tindakan-tindakan tersebut merupakan perbuatan jenayah yang sudah semestinya melanggar undang-undang.

Mereka yang terlibat sewajarnya diambil tindakan yang sekeras-kerasnya dan mereka wajib memulangkan semula segala wang dan imbuhan yang diselewengkan.

YaPEIM merupakan sebuah yayasan berkebajikan yang bergantung kepada sumbangan orang ramai terutamanya kakitangan kerajaan yang bertujuan mahu membantu golongan yang memerlukan seperti anak yatim dan fakir miskin.

Sudah menjadi harapan agar YaPEIM dipulihkan kembali kepada tujuan asal dan perlu mempunyai kebertanggungjawaban dan integriti kepada para penyumbang, maka struktur yayasan ini perlu direformasikan sepenuhnya supaya skandal sebegini tidak berulang.

Saya juga menyeru pihak kerajaan, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (yang perlu dipinda), majikan, pekerja dan masyarakat umum dapat memberi pengiktirafan kepada mereka yang mengambil risiko sebagai pemberi maklumat.

Saya bersedia mendedahkan identiti sebenar pemberi maklumat yang menyalurkan bukti-bukti skandal penyelewengan YaPEIM sekaligus menyelamatkan yayasan tersebut, sekiranya mereka ini diberikan perlindungan dan penghormatan yang sewajarnya.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

Takiyuddin biadap dan melampaui batas!

Saya ingin menyelar Kenyataan Setiausaha Agong PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan yang menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak bergelar Perdana Menteri kerana berstatus banduan.

Ternyata kenyataan beliau berniat jahat, biadap, dan melampaui batas.

Kenyataan tersebut yang disiarkan menerusi sebuah portal menyebut bahawa beliau yang mengakui dirinya sebagai seorang peguam ternyata gagal memahami maksud perundangan itu sendiri.

Pada 16 Mei 2018, Yang Di-Pertuan Agong telah memberikan pengampunan penuh tanpa syarat kepada Anwar Ibrahim yang membawa maksud sabitan ke atas kes liwat II telah diketepikan terus dan Anwar Ibrahim dianggap sebagai bukan seorang banduan dan bersih daripada mana-mana kes jenayah.

Beliau juga dibenarkan untuk terus menyertai pilihanraya yang bermaksud sekatan 5 tahun di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan tidak berbangkit.

Kenyataan Takiyuddin ternyata berniat jahat dengan sengaja untuk menimbulkan penghinaan terhadap Anwar Ibrahim dan secara tak langsung memperlekeh perkenan Yang Di-Pertuan Agong untuk mengurniakan pengampunan penuh kepada Anwar Ibrahim.

Saya dengan ini menggesa Takiyudin Hassan untuk menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka terhadap Anwar Ibrahim.

Sekian

AKMAL NASRULLAH MOHD NASIR
Ketua Angkatan Muda Keadilan
Ahli Parlimen Johor Bahru

Perbincangan dengan Menteri Pengangkutan

Sebelum Amanat Perdana Setahun Pentadbiran Pakatan Harapan semalam, saya singgah di Kementerian Pengangkutan untuk semak beberapa perkara dengan pegawai di sana.

Kebetulan YB Menteri Anthony Loke Siew Fook ada di Pejabat dan beliau jemput saya untuk berbincang bersama.

Beliau menjelaskan perkembangan terkini mengenai RTS dan juga double tracking.

RTS merupakan pilihan terbaik untuk mengurangkan kesesakan di CIQ ketika ini dan saya maklumkan mengenai keperluan projek RTS disegerakan.

Beliau juga memaklumkan projek Bus Rapid Transit (BRT) pula sedang dikelolakan oleh IRDA.

Saya juga sebutkan hasrat Larkin Sentral untuk setaraf TBS dan Menteri kongsikan beberapa cadangan yang boleh dibincangkan dengan pihak pengurusan.

Insyallah saya akan sering kemukakan pandangan dan mengambil maklumbalas untuk tambah baik sistem pengangkutan awam di Johor Bahru.

Forum “The State of the Labour Market in Malaysia”

Semalam saya telah diberi peluang untuk menganjurkan forum dengan kerjasama beberapa persatuan UIA yang bertajuk “The State of the Labour Market in Malaysia”.

Forum tersebut telah membincangkan realiti sebenar alam sektor buruh di Malaysia terutamanya isu gaji rendah yang menjadi salah satu faktor utama kos sara hidup tinggi.

InsyaAllah perbincangan forum akan turut diadakan di universiti-universiti tempatan yang lain.

Apabila lebih ramai masyarakat memahami situasi sebenar, secara tidak langsung akan menjurus kepada gesaan penstrukturan semula sektor buruh untuk pemberian gaji yang lebih setimpal.

Terima kasih kepada pihak penganjur dan para pelajar dan pensyarah yang telah menjayakan forum ini.

Food Bank Siswa bantu mahasiswa lapar

Tengah hari tadi dalam satu sesi perbincangan bersama YB Menteri KPDNHEP Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail dan badan-badan yang telibat dalam pelaksaan program Food Bank Malaysia.

Perlaksanaan Program Food Bank Siswa di beberapa buah Universiti Awam (UA) telah memberikan impak positif kepada mahasiswa. Program yang menyasarkan mahasiswa berlatarbelakang keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dilihat mampu menangani isu mahasiswa lapar.

Ketika ini pihak kementerian sedang menyasarkan pelaksanaan program Food Bank Siswa ke 20 UA sebelum Disember tahun ini, dalam masa yang sama memerlukan kerjasama dan komitmen dari pelbagai pihak untuk menjayakannya.

Dijangka, program ini bakal diperluas ke Institusi Pendidikan Guru (IPG), Kolej-kolej Komuniti, Sekolah Agama dan universiti-universiti swasta pada masa akan datang.

Usaha kerajaan kekalkan tanah rizab melayu

Kerajaan Persekutuan ketika ini sedang berusaha untuk membeli seluruh tanah di Kampung Baru bagi dimajukan secara sistematik.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, pihak kementerian sedang mengkaji mekanisme terbaik mendapatkan dana sebanyak RM6 – RM10 bilion termasuk membenarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan bon perbandaran atau sukuk.

Pembelian tersebut bertujuan mengekang pemilik tanah di kawasan tersebut menjual tanah mereka kepada pihak pemaju hartanah. Dengan pembelian ini, secara tidak langsung status tanah di kawasan tersebut bakal kekal dan terpelihara menjadi tanah rizab Melayu.

Pemilik tanah atau waris bakal mendapat pampasan dari pihak kerajaan sama ada dalam bentuk wang, hartanah, atau separuh wang dan separuh hartanah.

Usaha ini wajar dilakukan bagi tujuan menstruktur semula pembangunan di kawasan Kampung Baru dengan penempatan lebih moden dan bersepadu masyarakat Melayu secara terancang, tersusun di tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Ketika ini, lebih 80 peratus penduduk di Kampung Baru bersetuju dengan tawaran yang dikemukakan oleh pihak kerajaan untuk dibangunkan berbanding pembelian oleh pihak swasta.