Selamat Menyambut Hari Malaysia ke-56!

Tanggal 16 September merupakan detik bersejarah buat negara kita Malaysia. Gabungan Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu telah membuktikan bahawa Persekutuan Malaysia yang dibentuk telah berjaya memberikan kemakmuran kepada semua.

Justeru, sejarah penubuhan Persekutuan Malaysia perlu terus dikenang oleh setiap rakyat Malaysia. Membina kejayaan pada hari ini bukanlah suatu tugas yang mudah. Ia memerlukan kecekalan, pengorbanan dan keikhlasan.

Semoga rakyat Malaysia terus hidup dalam keadaan aman, harmoni, dan bersatu-padu dengan menerapkan perpaduan sebagai elemen utama.

Selamat Menyambut Hari Malaysia Ke-56 buat seluruh rakyat Malaysia!

Senior Makan Gaji, Junior Banting Tulang?

Semalam, saya telah dijemput untuk menjadi panelis bersama En Syahir Sulaiman, Setiausaha Politik Presiden PAS dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi membincangkan topik berkaitan sektor pekerja di Malaysia.

Dalam sesi perbincagan tersebut, saya telah menekankan beberapa perkara.

Yang pertama, persediaan negara dalam menghadapi “aging population”, seperti yang telah berlaku di Singapura dan Jepun. Menjelang tahun 2030, dijangkakan 15-20% populasi rakyat Malaysia akan berumur lebih daripada 60 tahun.

Oleh yang demikian, perlu ada perancangan holistik daripada pihak kerajaan untuk terus memastikan kewujudan bakat tenaga kerja muda dalam sektor pekerjaan.

Di samping itu, jaringan keselamatan dan kebajikan sosial yang lebih baik perlu dirangka untuk golongan pesara jika kerajaan berhasrat untuk memperbaharui skim pencen di Malaysia.

Data menunjukkan bahawa menunjukkan lebih 75% pencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja gagal mencapai tahap simpanan melebihi RM50,000 pada usia 54 tahun.

Jumlah simpanan ini adalah tidak mapan untuk mereka mengharungi kehidupan selepas bersara, ekoran kos sara hidup dan perbelanjaan yang tinggi khususnya di kawasan bandar.

Oleh itu, secara keseluruhannya saya berpandangan bahawa isu ini perlu diurus dengan baik oleh semua pihak tanpa melibatkan polemik kaum dan agama.

Ini kerana golongan muda mahupun tua masing-masing mempunyai peranan dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Kekosongan kuarters guru akan dibuka untuk disewa

Kementerian Pendidikan ketika ini sedang mengambil segala langkah proaktif dalam usaha menangani masalah kuarters guru yang terbiar di seluruh negara. Isu kuarters guru terbiar bukan perkara baru kerana sudah acap kali dibangkitkan oleh banyak pihak.

Menurut Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik daripada 50,257 unit kuarters seluruh Malaysia yang didirikan hanya 33,893 unit disewa oleh kakitangan guru manakala 16,364 unit lagi merupakan kuarters yang kosong. Daripada jumlah tersebut sebanyak 10,062 unit berada dalam keadaan kronik dan tidak boleh dihuni dengan kebanyakannya terletak di luar bandar.

Di peringkat kementerian, pelbagai langkah sedang dilakukan sejak tahun lalu bagi membaik pulih unit-unit yang terjejas. Dijangka unit-unit kuarters yang kosong akan disewakan kepada pihak swasta dan agensi kerajaan termasuk kerajaan negeri.

Adalah diharapkan langkah ini dapat mengoptimumkan sumber kerajaan dalam masa yang sama mampu mengurangkan lagi masalah unit kuarters yang kosong terbiar.

Apa pandangan anda? Sila nyatakan di bawah.

Jana ekonomi luar bandar untuk tangani miskin bandar

Pada minggu lalu, satu laporan telah dikeluarkan oleh pelapor khas PBB berhubung isu kadar kemiskinan negara yang dikatakan lebih tinggi daripada angka yang diguna pakai sekarang ini, yakni 0.4 peratus.

Saya kira kerajaan perlu memberi perhatian yang sewajarnya kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh pelapor tersebut dan membuat perangkaan berbanding perangkaan yang diguna pakai oleh negara.

Dalam sesi Parlimen yang lalu, saya juga telah membangkitkan isu Paras Garis Kemikinan (PGK) yang menjadi salah satu kayu ukur utama kerajaan dalam mengenal pasti keluarga-keluarga miskin.

Paras PGK nasional merangkumi makanan dan bukan makanan adalah RM980 pada tahun 2016. Salah satu kelemahan yang mungkin timbul adalah PGK ini diguna pakai tanpa mengira perbezaan lokaliti (bandar atau luar bandar), akses kepada kemudahan-kemudahan dan sebagainya.

Selain daripada apa yang diperkatakan oleh pelapor khas PBB tersebut, saya merasakan kerajaan perlu memberikan perhatian kepada satu lagi kelompok yakni golongan miskin bandar.

Menurut sumber, golongan miskin bandar ini turut terdiri daripada mereka yang berhijrah daripada luar bandar untuk mencari pekerjaan dan sebagainya.

Bagaimanapun, penghijrahan secara mendadak sejak 1990 telah menyebabkan peluang ekonomi dan tempat tinggal menjadi terhad sekali gus mengakibatkan sebahagian penghuni bandar tersisih daripada arus pembangunan.

Masalah miskin bandar ini sepatutnya membuka jalan kepada pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar. Industri-industri seperti perikanan, penternakan dan pertanian perlu diberi lebih penekanan bagi menarik minat anak muda luar bandar khususnya untuk bekerja dalam sektor tersebut.

Penggunaan teknologi-teknologi moden akan mampu meningkatkan produktiviti sekali gus menjurus kepada peningkatan pendapatan golongan petani dan nelayan professional.

Hal ini seterusnya akan dapat mengurangkan migrasi anak muda ke bandar dan memastikan pembangunan ekonomi yang lebih seimbang antara bandar dan luar bandar.

Saya melihat pembangunan industri ekonomi luar bandar sebagai salah satu alternatif bagi menangani masalah pengangguran belia di negara. Penjanaan ekonomi yang terlalu memusat di bandaraya tanpa rancangan ekonomi di luar bandar akan memberikan kesan yang tidak baik dalam jangka masa panjang.

Pesalah larangan merokok kena hukuman kerja sosial?

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, kerajaan akan mempertimbangkan hukuman kerja sosial terhadap pesalah larangan rokok seperti memungut sampah, membersihkan tandas dan memotong rumput.

Sebelum ini denda yang dikenakan kepada pesalah larangan merokok adalah sebayak RM10,000 atau penjara tidak lebih dari dua tahun dengan mengeluarkan notis amaran sebanyak 30,698.

Walau bagaimanapun hukuman denda bukan langkah yang efektif kerana mereka dari golongan berada boleh terlepas dengan mudah sertai mengulangi kesalahan yang sama sekiranya membuat penjelasan denda.

Pengenalan hukuman kerja sosial dilihat penyelesaian yang lebih efektif dan adil kerana mampu menimbulkan kesedaran kepada golongan perokok yang ingkar. Walau bagaimanapun hukuman yang akan dilaksanakan perlu berdasarkan peraturan yang jelas supaya tidak bercanggah dengan undang-undang sedia ada.

Apa pandangan anda? Sila nyatakan di bawah.

Program Sarapan Percuma bermula Januari 2020

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak di sekolah rendah, bermula tahun 2020, semua pelajar sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan akan mendapat sarapan percuma. Inisiatif itu diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan para pelajar terus kekal sihat dan cergas seterusnya mampu menumpukan tumpuan sebaik mungkin dalam pelajaran. Melalui program sarapan percuma, para pelajar akan dihidangkan dengan sarapan yang enak berpandukan menu yang sihat dan berkhasiat.

Program yang akan dilangsungkan ini akan memanfaatkan seramai 2.7 juta pelajar sekolah rendah dengan kos antara RM 2 bilion hingga RM 3 bilion setahun.

Program ini dijangka akan menggunakan dana disatukan daripada pelbagai kementerian dan agensi termasuklah hasil dapatan dari cukai gula. Namun begitu ia akan ditentukan oleh sebuah jawatankuasa khas yang bakal dibentuk.

Apa pandangan anda? Sila nyatakan di ruangan komen di bawah.

Wajarkah “Akta Jalur Gemilang” diwujudkan?

Sejak kebelakangan ini sering kali terdengar isu-isu penghinaan terhadap Jalur Gemilang. Bermula dengan hasutan menukar warna putih bendera Malaysia kepada hitam di media sosial sebagai lambang protes terhadap kerajaan dan disusuli pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik.

Sama ada ia dilakukan secara sengaja atau tidak, tindakan ini adalah tidak bertanggungjawab dan merupakan satu bentuk penghinaan terhadap lambang negara.

Dalam masa yang sama tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab memaparkan diri mereka tidak mempunyai semangat patriotism terhadap negara sehingga sanggup melakukan perkara yang tidak wajar sebagai warganegara.

Pemasangan bendera yang sudah lusuh, koyak juga merupakan satu bentuk penghinaan terhadap Jalur Gemnilang yang perlu dielakkan oleh setiap orang.

Mengambil kira pelbagai isu yang berlaku, adakah wajar akta khas berkaitan Jalur Gemilang diwujudkan bagi memastikan bendera kebanggaan negara terus dihormati? India sudah lama memperkenalkan akta seperti ini, begitu juga dengan beberapa negara lain.

Apa pandangan anda? Sila nyatakan di bawah.

Mansuhkan penggunaan poster dalam pilihan raya?

Dijangka pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 tidak akan ada lagi perang poster yang memaparkan calon-calon bertanding.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) Malaysia, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkata cadangan itu dikemukakan berikutan pelbagai masalah yang berlaku disebabkan perang poster termasuk perebutan lokasi.

Sungguhpun negara-negara maju sudah tidak mengamalkan kaedah ini, Malaysia masih lagi negara yang mengamalkan perang poster dan perang bendera dalam siri pilihan raya yang dipertandingkan.

Tambahan pula kewujudan perang poster telah menyebabkan pembaziran wang yang banyak khususnya dari aspek bahan-bahan bercetak yang hanya sekali cetak dan tidak boleh dikitar semula.

Namun begitu, pemansuhan kaedah perang poster secara total dipelbagai peringkat belum tentu sesuai memandangkan ada kawasan-kawasan tertentu khususnya di kawasan luar bandar masih memerlukan kaedah ini untuk berkempen bagi memperkenalkan calon bertanding dan memaparkan suasana pilihan raya.

Pun begitu terdapat cadangan untuk menggantikan kaedah perang poster digantikan dengan billboard sebagai solusi terbaik.

Apa pandangan anda? Sila nyatakan di bawah.

Lantikan Penyelaras Kepenggunaan KPDNHEP

Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melantik seramai 79 Penyelaras Kepenggunaan Parlimen (PKP). Perlantikan itu meliputi lapan buah negeri dan Wilayah Persekutuan bagi tujuan mengutarakan isu-isu kepenggunaan.

Dijangka pengwujudan PKP bakal menjadi penghubung antara pihak kementerian dan rakyat bagi mengangkat suara-suara penguna di peringkat akar umbi.

PKP yang dilantik akan menguasai dan memperkasakan ilmu kepenggunaan bagi membantu golongan pengguna di kawasan masing-masing. Dalam masa yang sama PKP akan menjalinkan kerjasama erat dengan setiap agensi di peringkat negeri.

Ketika ini, pihak kementerian sedang berusaha melantik PKP bagi kawasan Parlimen di Perak, Putrajaya, Kuala Lumpur, Johor, Sarawak, Negeri Sembilan dan Melaka bagi memenuhi 222 parlimen seluruh negara.

Kenapa Azmin perlu ikut pembangkang?

PEMUDA PKR masih tidak berpuas hati dengan penjelasan Azmin Ali yang menyokong saranan pembangkang agar Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri sehingga habis penggal.

Ketua pergerakan itu, Akmal Nasir berkata sokongan itu tidak wajar kerana Pakatan Harapan sudahpun bersetuju Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan perdana menteri mengikut tempoh dijanjikan.

Azmin juga sepatutnya menyatakan pandangan tersebut dalam Majlis Presiden PH dan bukan membuat kenyataan terbuka, katanya.

“Mengapa mereka ini memilih untuk berpandangan memihak kepada pembangkang. Sedangkan PH sudah ada keputusannya,” kata Akmal Nasir kepada The Malaysian Insight.

Tegasnya, semua pihak dalam parti komponen PH perlu menghormati perjanjian peralihan kuasa jawatan perdana menteri seperti dibincangkan sebelum pilihan raya umun lalu.

“Dalam keadaan ini (isu peralihan kuasa) bagi saya (kita) perlu hormati pandangan PH. Kalau dikatakan tiada perbincangan, kenapa konsensus ini dicapai dahulunya?

“Jadi perkara ini dah dibincang panjang. Dan keputusan konsensus (peralihan kuasa) dah tercapai,” kata Akmal selepas program Bicara Anak Muda di Balik Pulau, Pulau Pinang, semalam.

Semalam, Azmin Ali menjelaskan kepada media, kenyataan sokongan kepada saranan pembangkang itu tidak bermakna beliau menolak Anwar sebagai pengganti perdana menteri.

Sebaliknya, sokongan untuk Dr Mahathir menghabiskan penggal dengan jawatannya itu untuk menjamin kestabilan politik dan kemajuan ekonomi.

“Kalau anda lihat kandungan (kenyataan) saya jelas ianya tumpu kepada soal ekonomi. Soal kestabilan politik penting untuk menarik pelaburan dalam negara.

“Penting perdana menteri teruskan kepimpinan beliau supaya ada kestabilan politik dan konsisten,” kata Azmin.

Azmin juga menafikan beliau terlibat dalam satu pertemuan wakil rakyat pembangkang untuk menyokong Dr Mahathir memegang jawatan sehingga habis penggal, Selasa lalu.

Saranan itu pada awalnya disuarakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mahu Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri biarpun PH mahu bersetuju jawatan itu dilepaskan kepada Anwar.

Hadi juga berkata, parti Bersatu perlu dipertahankan memandangkan parti lain dalam PH tidak mencerminkan kepimpinan Islam.

Sokongan Azmin ke atas saranan Hadi menyebabkan Aktivis Reformis 98 mendesak agar Azmin Ali disingkirkan kerana tindak-tanduknya membelakangi presiden dan parti.

Dr Mahathir bagaimanapun menegaskan beliau akan memenuhi janji dan tidak akan berkhidmat sehingga habis penggal. – 3 Ogos, 2019.

Sumber: https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/172901