PETUMBUHAN GAJI MAIN PERANAN DALAM KOS SARA HIDUP

Masalah lambakan pekerja asing dalam negara memang telah menjadi satu isu yang perlu diberi perhatian sejak kebelakangan ini.

Yang terbaru, kewujudan sekurang-kurangnya 2 juta perkeja asing telah menyebabkan pertumbuhan gaji yang rendah pada kadar 2.4%. Kadar gaji harus berkembang pada purata pelarasan inflasi tahunan 3.5% untuk membolehkan negara mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2023.

Isu ini pasti akan berbalik kepada alasan yang sama.Tiada rakyat Malaysia khusunya golongan muda atau graduan yang mahu melakukan kerja ‘3D’ (dirty, difficult and dangerous).

Menurut kajian yang dikeluarkan oleh Khazanah Research Institute baru-baru ini – The School-To-Work Transition Survey, golongan belia menganggap pekerja asing sebagai pesaing dalam mendapatkan pekerjaan dalam negara.

Hampir 50% daripada keseluruhan golongan belia merasakan bahawa golongan migran telah menggugat peluang mereka untuk mencari kerja. Walaupun dalam kerja-kerja yang berkemahiran rendah dan sederhana.

Oleh itu, satu penilaian semula dalam polisi pekerja buruh terutamanya yang melibatkan golongan besar migran perlu dinilai semula secepat mungkin bagi mengatasi masalah ini.

Satu penetapan baru dalam syarat pengambilan pekerja untuk pekerjaan ‘3D’ mungkin perlu diperkenalkan untuk menarik minat golongan muda untuk melibatkan diri dalam sektor ini.

Daripada 200,000 pekerja Malaysia yang berulang-alik ke Singapura (yang mana kebanyakannya menetap di Johor Bahru), didapati 40 peratus daripada mereka memiliki pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana.

Ini menunjukkan rakyat Malaysia boleh melakukan pekerjaan ‘3D’, asalkan gaji yang diberikan setimpal dengan perbelanjaan dan kos sara hidup berkeluarga sekarang.

Majikan tidak boleh mengambil kesempatan terhadap pasaran buruh tempatan hanya kerana terdapat alternatif pekerja asing yang lebih murah lalu menguntungkan poket mereka sahaja.

KEYAKINAN PELABUR ASING KEMBALI PULIH?

Ketidaktentuan suasana politik semasa di peringkat global menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dana asing yang lebih ideal buat masa ini.

Ketegangan hubungan dagangan antara Beijing dan Washington yang berterusan serta isu Brexit di United Kingdom membuatkan pelabur asing lebih selesa untuk beralih ke pasaran negara yang sedang pesat membangun.

Berdasarkan perkembangan politik global semasa, kesempatan harus diambil oleh Malaysia untuk terus meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap kebolehan ekonomi negara.

Walaupun indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan penyusustan sejak perubahan pentadbiran kerajaan, ia adalah tindak balas pasaran yang biasa. Ketidaktentuan dalam perubahan dasar kerajaan boleh menyebabkan pasaran tidak menentu tetapi hanya dalam jangka masa pendek.

Saya akan terus mengikuti perkembangan pelaburan asing dalam negara. Situasi politik global yang rumit dan mencabar sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih stabil.

Pelaburan asing yang meningkat sudah pastinya akan memberi manfaat kepada ekonomi dan rakyat daripada segi peluang pekerjaan dan pendapatan per kapita negara.

APA ITU FBM-KLCI?
Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) pula dikenali sebagai FTSE Bursa Malaysia KLCI bermula dari 6 Julai 2009. Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM-KLCI) yang menjejaki prestasi 30 buah syarikat tersenarai awam terbesar di papan utama mengikut kedudukan, adalah indeks penanda utama di Bursa Malaysia.

Rujukan: 
http://www.utusan.com.my/…/memahami-indeks-pasaran-bursa-ma…

https://www.bharian.com.my/…/bursa-malaysia-menyaksikan-pem…