Lawatan Jentera AMK Rantau

Perbincangan dan perkongsian bersama AMK di Rantau.

Minggu lepas selepas sidang Parlimen saya ke Negeri Sembilan untuk penerangan manakala pada hari Ahad saya telah berjumpa dengan kumpulan jentera yang akan bertugas selepas program pengenalan calon.

Walaupun berhadapan dengan cabaran yang sukar tapi insyallah kita buat persediaan sebaiknya.

PERTEMUAN PIMPINAN AMK BERSAMA YAB TPM

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia telah mengadakan pertemuan rasmi bersama YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada 25 Februari 2019 bertempat di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Pertemuan ini telah diketuai oleh Ketua AMK Pusat, YB Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir dan disertai pimpinan exco dan ketua-ketua AMK negeri. Pertemuan telah berlangsung selama sejam dan telah membincangkan perkara-perkara berikut:

1. Laporan terkini pelaksanaan beberapa janji manifesto Pakatan Harapan di bawah KPWKM seperti insentif Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi melindungi kumpulan suri rumah di Malaysia;

2. Perbincangan isu-isu kemasyarakatan dalam kalangan rakyat Malaysia seperti masalah penagihan dadah di kalangan orang muda dan pelindungan serta kebajikan warga emas; dan

3. Peranan anggota-anggota AMK dalam menerangkan dan menyampaikan maklumat berkenaan dasar dan bantuan kerajaan Persekutuan kepada rakyat di bawah agar lebih efektif dan dekat dengan golongan sasar.

YAB Timbalan Perdana Menteri mengucapkan terima kasih atas pertemuan ini dan berharap sesi ini diteruskan pada masa depan.

YAB Timbalan Perdana Menteri percaya golongan anak muda memiliki idealism yang tinggi dan bakat pimpinan harus sentiasa digilap bagi menerajui negara di masa depan.

AMK komited untuk terus membantu rakyat dan akan terus menggunakan pertemuan rasmi bersama pemimpin kerajaan bagi tujuan menyampaikan maklumbalas rakyat kepada pimpinan kerajaan berkenaan dasar-dasar kerajaan.

AKMAL NASRULLAH BIN MOHD NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

TUBUH RCI SEGERA UNTUK SIASAT DAKWAAN CAMPUR TANGAN KEHAKIMAN

Hakim Mahkmah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer telah membuat satu pendedahan menggemparkan bahawa, telah terdapat campur tangan dalam institusi kehakiman sebelum pilihan raya serta selepas pilihan raya yang masih berterusan, membabitkan salah laku perlembagaan dan kehakiman.

Menurut beliau, telah terdapat campur tangan dalam proses membuat penghakiman terhadap kes-kes berprofil tinggi seperti yang melibatkan Presiden PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan mantan Pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh. Tambahnya lagi, wujud usaha berterusan untuk mengelirukan orang awam melalui berkonspirasi untuk menyembunyi jenayah kehakiman.

Oleh itu, AMK menggesa agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan dengan segera bagi menyiasat dakwaan atau pendedahan yang telah dibuat.

Sebelum ini, rakyat mengalami krisis keyakinan terhadap institusi kehakiman negara yang sering kali dianggap tidak telus dan tidak bebas. Maka, kerajaan baru Pakatan Harapan perlu memikul tanggungjawab untuk mengembalikan keyakinan tersebut dengan menjamin kebebasan badan kehakiman negara.

Keberanian tindakan Hakim Mahkamah Rayuan tersebut untuk mendedahkan maklumat (whistleblowing) seperti ini harus dipuji dan dihormati. Hal ini kerana tindakan yang diambil adalah berlandaskan prinsip kebebasan dan integriti badan kehakiman negara daripada campur tangan dalaman mahupun luaran.

Oleh yang demikian, AMK ingin menegaskan bahawa penubuhan RCI merupakan satu langkah tepat yang perlu diambil dengan segera untuk menyiasat dakwaan campur tangan yang dibuat oleh Hakim Mahkmah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer.

Penyiasatan melalui RCI juga perlu dilihat sebagai usaha untuk membela mereka yang telah dizalimi akibat ketidakadilan dalam proses penghakiman yang mungkin telah berlaku.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

PERJUMPAAN BERSAMA MPP UiTM SHAH ALAM

Pada hari Khamis lepas, saya telah melapangkan masa untuk bersua muka dengan Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam.

Asalnya santai tapi saya lontarkan pandangan yang serius mengenai keperluan melihat pembangunan negara merentas pandangan kaum semata-mata.

Alhamdulillah mereka sambut baik dengan dialog yang membangkitkan soalan-soalan yang ilmiah merangkumi sudut ekonomi, politik dan sosial.

Moga perbincangan tadi akan mewujudkan dinamik dan suasana yang lebih proaktif di kalangan pimpinan mahasiswa dan juga kampus.

MESYUARAT MPP AMK YANG PERTAMA

Hari ini saya telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) AMK yang pertama sesi 2018-2021 di Ibupejabat KEADILAN siang tadi.

Terima kasih diucapkan kepada EXCO-EXCO AMK yang hadir dari seluruh negara dari Perlis ke Johor serta Sabah dan Sarawak.

Saya telah kemukakan kepada Ahli Mesyuarat untuk AMK menumpukan kepada soal-soal rakyat dan dasar untuk membantu anak muda selain membahaskan isu kepartian.

Kami juga berbincang panjang mengenai PRK Semenyih dalam usaha memenangkan calon HARAPAN.

KEHARMONIAN KAUM DEMI KESEJAHTERAAN NEGARA

Sempena perayaan Krismas tahun ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Natal kepada rakyat Malaysia yang menganut agama Kristian di negara ini.

Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum, berpeluang untuk menyambut beberapa perayaan daripada berlainan agama dan bangsa. Masyarakat seharusnya menggunakan peluang ini sebagai satu salah satu cara untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara kaum dan agama.

Sebagai seorang Muslim, saya disaran untuk menghormati penganut agama lain demi menjaga keharmonian dan kemakmuran masyarakat. Malahan, menurut Mufti Wilayah, Dr Zulkifli, ia adalah diharuskan untuk mengucapkan Merry Christmas apabila wujud keperluan untuk mengucapkannya bagi menyuburkan semangat muhibbah dan memperbaiki ketegangan sosial yang berlaku dalam masyarakat. Apatah lagi dalam konteks pemimpin bagi masyarakat majmuk.

Di kesempatan yang sama, saya juga ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2019 kepada seluruh masyarakat Malaysia. InsyaAllah, kesejahteraan rakyat akan terus menjadi agenda utama Pakatan Harapan pada tahun hadapan. Saya akan berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab dalam mewakili suara rakyat sebagai seorang Ahli Parlimen dan Ketua Pemuda Keadilan dengan lebih baik.

Sekali lagi, Selamat Hari Natal dan Selamat Tahun Baru 2019!

Akmal Nasir
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia

PTPTN – Kenyataan Media

KENYATAAN MEDIA ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA (AMK) BERKENAAN PERTEMUAN TERTUTUP BERSAMA PERBADANAN TABUNG PENDIDIKAN TINGGI NASIONAL (PTPTN)

Angkatan Muda KEADILAN Malaysia (AMK) telah mengadakan satu pertemuan bersama pengurusan tertinggi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada 12 Disember 2018. Pertemuan ini diadakan sebagai langkah susulan membincangkan dengan lebih lanjut keputusan PTPTN menangguhkan Potongan Gaji Berjadual (PGB) yang pada awalnya diumumkan ingin dilaksanakan pada Januari 2019.

AMK menyambut baik tindakan kerajaan untuk mendengar pandangan anak muda dan dalam pertemuan bersama PTPTN, AMK telah mengesyorkan tuntutan-tuntutan seperti berikut kepada PTPTN:

1. PTPTN perlu mematuhi dan menghormati perjanjian asal pembayaran balik yang telah dipersetujui lebih awal antara PTPTN dan peminjam;

2. Satu fokus penuh diberikan kepada usaha untuk mengesan dan memulakan pembayaran balik yang masih belum dimulakan oleh mana-mana peminjam;

3. Sekiranya PTPTN ingin meminda kandungan perjanjian asal pembayaran balik, PTPTN perlu terlebih dahulu merujuk dan mendapatkan kebenaran daripada peminjam;

4. Kadar Ujrah sebanyak 1% yang dikenakan bagi tujuan menampung kos-kos bagi mengurus dan menyediakan pinjaman kepada peminjam adalah dikekalkan buat masa ini tanpa sebarang kenaikan; dan

5. Sebarang makluman dan ketetapan baru yang akan diputuskan oleh PTPTN kelak yang akan memberikan kesan langsung kepada peminjam seharusnya dimaklumkan lebih awal dan dibincang terlebih dahulu bersama peminjam.

AMK mengambil pendirian memandangkan isu PTPTN adalah menjadi sebahagian teras utama manifesto Pakatan Harapan pada pilihanraya umum yang lepas, sebarang pengumuman penting dan sensitif seharusnya dibincangkan dan diteliti dengan lebih berhati-hati agar tidak terkeluar dari semangat asal ketika manifesto digubal dan diumum kepada rakyat. PTPTN sewajarnya mencari formula baru untuk memastikan kelangsungan pendidikan tinggi dengan menggunakan kaedah yang tidak membebankan anak muda.

AKMAL NASIR
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia
Ahli Parlimen Johor Bahru

PERLETAKAN JAWATAN YB NURUL IZZAH

Pengumuman perletakan jawatan Naib Presiden dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pulau Pinang oleh saudari YB Nurul Izzah Anwar amat mengejutkan.

Beliau merupakan seorang pemimpin muda yang berjuang dengan kekuatan yang tersendiri, mengembleng gelombang rakyat sebagai seorang Puteri Reformasi dan menjadi pemimpin yang disegani kawan dan lawan.

Beliau merupakan pimpinan kanan parti yang dipilih oleh anggota KEADILAN, sentiasa penuh tertib dan beradab dalam berpolitik.

Saya menghormati keputusan beliau untuk menjaga integriti serta mengekalkan prinsip perjuangan dengan menumpukan kepada reformasi Parlimen dan kekal membawa suara rakyat.

Ekoran perletakan jawatan YB Nurul Izzah, Presiden KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan satu kenyataan media bagi memberikan satu penjelesan yang lengkap dan jelas berkenaan keputusan tersebut.

Diharap pihak media dan orang ramai dapat berhenti membuat spekulasi politik berkenaan keputusan YB Nurul Izzah agar beliau dapat fokus membawa isu-isu rakyat yang lebih utama untuk ditangani.