Sesi Temu Rapat di Universiti Kebangsaan Malaysia

Malam esok saya akan berada di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk satu majlis temu rapat bersama para pelajar anjuran Mahasiswa Keadilan.

Pada masa sama akan melancarkan persatuan Mahasiswa Keadilan Malaysia UKM.

Saya mengajak rakan-rakan mahasiswa sama ada dari UKM atau universiti/kolej berdekatan untuk turut hadir bersama.

Tarikh : 23 Oktober 2019
Hari : Rabu
Masa : 08.00pm
Tempat : Bilik Serbaguna Aras 2, PTSL, UKM, Bangi.

Klip Perbahasan Belanjawan 2020

Dalam perbahasan belanjawan pada tahun ini, saya telah menyentuh isu-isu berkaitan pekerjaan (pekerja asing dan PTPTN), harga barang (subsidi bersasar) dan juga tadbir urus kerajaan yang baik (contoh projek yang perlu diperbaiki).

Saya harap perbahasan ini dapat dinilai secarai konstruktif dan membina.

Insyallah.

Penubuhan Ombudsman ke arah Good Governance

Pada sesi Parlimen yang lalu, saya telah bertanya untuk mendapatkan perkembangan terbaru daripada Jabatan Perdana Menteri mengenai rancangan kerajaan untuk menubuhkan Ombudsman Malaysia, seperti yang dinyatakan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).

Buat masa ini, agensi yang bertanggungjawab untuk menerima dan merekod segala aduan daripada orang awam berkaitan agensi-agensi kerajaan di Malaysia dikenali sebagai Biro Pengaduan Awam (BPA) yang diletakkan di bawah kawal selia Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Liew Vui Keong, draf Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman Malaysia telah disediakan oleh Biro Pengaduan Awam untuk pertimbangan Jabatan Peguam Negara dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada bulan hujung tahun ini.

Ombudsman adalah pegawai yang dilantik untuk menerima dan menyiasat aduan-aduan berkaitan salah guna kuasa oleh eksekutif dan pentadbirannya. Sistem ini diwujudkan bertujuan untk mencapai keadilan dalam pentadbiran. Mana-mana orang awam yang mengadu telah mengalami ketidakadilan dalam layanan yang diterima daripada pegawai atau agensi kerajaan boleh melaporkannya kepada Ombudsman.

Oleh yang demikian, saya berharap RUU ini akan dapat dibentangkan pada sesi Parlimen yang akan mula bersidang bulan depan. Langkah ini akan memastikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan untuk mengukuhkan amalan ‘good governance’ dalam sistem pentadbiran.

Selain itu, saya yakin Ombudsman akan mampu bertindak sebagai mekanisma semak dan imbang (check and balance) bagi mengekang perbuatan salah laku guna kuasa dan penyelewangan di setiap peringkat pentadbiran ke arah membentuk kerajaan yang lebih telus dan adil.

Selamat Menyambut Hari Malaysia ke-56!

Tanggal 16 September merupakan detik bersejarah buat negara kita Malaysia. Gabungan Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu telah membuktikan bahawa Persekutuan Malaysia yang dibentuk telah berjaya memberikan kemakmuran kepada semua.

Justeru, sejarah penubuhan Persekutuan Malaysia perlu terus dikenang oleh setiap rakyat Malaysia. Membina kejayaan pada hari ini bukanlah suatu tugas yang mudah. Ia memerlukan kecekalan, pengorbanan dan keikhlasan.

Semoga rakyat Malaysia terus hidup dalam keadaan aman, harmoni, dan bersatu-padu dengan menerapkan perpaduan sebagai elemen utama.

Selamat Menyambut Hari Malaysia Ke-56 buat seluruh rakyat Malaysia!

Senior Makan Gaji, Junior Banting Tulang?

Semalam, saya telah dijemput untuk menjadi panelis bersama En Syahir Sulaiman, Setiausaha Politik Presiden PAS dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi membincangkan topik berkaitan sektor pekerja di Malaysia.

Dalam sesi perbincagan tersebut, saya telah menekankan beberapa perkara.

Yang pertama, persediaan negara dalam menghadapi “aging population”, seperti yang telah berlaku di Singapura dan Jepun. Menjelang tahun 2030, dijangkakan 15-20% populasi rakyat Malaysia akan berumur lebih daripada 60 tahun.

Oleh yang demikian, perlu ada perancangan holistik daripada pihak kerajaan untuk terus memastikan kewujudan bakat tenaga kerja muda dalam sektor pekerjaan.

Di samping itu, jaringan keselamatan dan kebajikan sosial yang lebih baik perlu dirangka untuk golongan pesara jika kerajaan berhasrat untuk memperbaharui skim pencen di Malaysia.

Data menunjukkan bahawa menunjukkan lebih 75% pencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja gagal mencapai tahap simpanan melebihi RM50,000 pada usia 54 tahun.

Jumlah simpanan ini adalah tidak mapan untuk mereka mengharungi kehidupan selepas bersara, ekoran kos sara hidup dan perbelanjaan yang tinggi khususnya di kawasan bandar.

Oleh itu, secara keseluruhannya saya berpandangan bahawa isu ini perlu diurus dengan baik oleh semua pihak tanpa melibatkan polemik kaum dan agama.

Ini kerana golongan muda mahupun tua masing-masing mempunyai peranan dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Johor Bahru

Alhamdulillah pada 7 Sept (Sabtu) yang lalu telah berlangsung Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Johor Bahru bagi tahun 2019.

Pelbagai perkara telah dibincangkan yang merangkumi perihal pengurusan dan perjalanan Parti Keadilan Rakyat Cabang Johor Bahru.

Selaku Ketua Cabang Johor Bahru, saya meggesa agar peranan cabang parti diperkasakan lagi bagi menyumbang kepada pembangunan ahli-ahli parti dan juga masyarakat keseluruhannya.

Saya juga berharap agar setiap ahli dapat terus berpegang dengan idealisme perjuangan parti walaupun kita kini telah menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Terima kasih kepada barisan pimpinan dan ahli-ahli parti yang turut serta dalam MATC tersebut. InsyaAllah setiap cadangan dan pendapat yang dilontarkan akan diteliti demi kebaikan dan kemajuan Parti Keadilan Rakyat Cabang Johor Bahru.

Pertemuan akar umbi Johor bersama DSAI

Seusai program bersama penduduk di Johor Bahru, saya telah turun ke Batu Pahat bagi menghadiri pertemuan pimpinan akar umbi Johor bersama Presiden Keadilan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI).

Dalam perjumpaan tersebut, DSAI antaranya telah berkongsi perkembangan dan hala tuju parti khususnya Keadilan Johor dalam mendepani suasana politik masa kini.

Saya berharap pimpinan Keadilan Johor akan terus berpegang kepada idealisme perjuangan parti dan pada masa yang sama melakukan gerak kerja mengikut kemampuan bagi membantu rakyat di bawah.

Ucapan Salam Maal Hijrah 1441H

Salam Maal Hijrah 1441H/2019M diucapkan kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Marilah sama-sama kita mengingati perjalanan junjungan besar Rasulullah SAW yang dari kota Mekah ke bumi Madinah dalam menyebarluaskan usaha dakwah dan meningkatkan syiar Islam.

Hijrah bukan sahaja membawa maksud perpindahan ke arah kehidupan yang lebih baik, tetapi memberi pengertian yang lebih luas.

Semoga kita terus dikurniakan rahmat dan petunjuk daripada Allah SWT dalam kita berusaha untuk menjadi seorang mukmin yang lebih baik insyaAllah.

Program Kenali Keadilan untuk ahli-ahli baru AMK

Jom Kenali KEADILAN!

Anda baru mendaftar sebagai anggota Parti Keadilan Rakyat? Nak tahu lebih lanjut tentang Keadilan?

Jom sertai Kenali Keadilan, sebuah program kelolaan Angkatan Muda Keadilan Malaysia yang dianjurkan khusus untuk anggota keluarga baharu Keadilan.

Kenali Keadilan merupakan program pengenalan ringkas separuh hari yang padat dengan pelbagai informasi mengenai Parti Keadilan Rakyat.

Ayuh kita fahami sejarah penting perjuangan Keadilan, kita tekuni prinsip-prinsip asas perjuangan Keadilan dan seterusnya berdiri teguh sebagai duta perjuangan Reformasi.

Sertai Kenali Keadilan Siri 1 yang akan berlangsung pada 1 September 2019, bertempat di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, Merchant Square, Petaling Jaya.

Daftar hari ini melalui pautan di bawah:
https://docs.google.com/…/1FAIpQLSd0QY_VssRL6974H…/viewform…

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 27 Ogos 2019.

Tempat adalah terhad. Pihak Sekretariat akan menghubungi mereka yang mendapat tempat untuk siri yang pertama.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Sdra. Faris Abdullah di talian 013 501 3001 atau e-melkan pertanyaan anda ke sup.amk@keadilanrakyat.org.

Syarat-syarat penyertaan:
1. Anda telah mendaftar sebagai anggota Parti Keadilan Rakyat
2. Berumur 30 tahun dan ke bawah

Ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha 1440H

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam tidak kira di mana jua.

Di sebalik kemeriahan Aidiladha, marilah sama-sama kita menghayati makna pengorbanan sebenar Nabi Ismail dalam menyahut seruan Allah S.W.T untuk tunduk akur pada perintah-Nya.

Sebagai orang yang beriman, tentunya kita akan diuji dengan kesukaran, kesenangan, kebahagian dan pengorbanan.

Sudah pasti disebalik pengorbanan yang kita lalui tentunya mempunyai hikmah yang tersendiri. Semoga pengorbanan yang kita lalui mendapat keberkatan di sisi Allah S.W.T.

Untuk warga Johor Bahru, esok (Ahad) dan Isnin saya akan singgah di beberapa buah surau dan masjid untuk turut serta dalam acara Korban dan berjumpa masyarakat setempat insyaAllah.