Bersama atasi masalah basikal lajak

Isu basikal lajak yang membelenggu masyarakat pada hari ini bukan perkara baru. Keberadaan mereka yang berlumba di jalan raya sudah pasti mengundang bahaya khususnya bagi pengguna jalan raya yang lain. Bagi pengguna jalan raya, bukan mudah untuk mengesan penunggang basikal lajak lebih-lebih lagi pada waktu malam.

Ini kerana basikal yang dinaiki mereka tidak mempunyai ciri keselamatan seperti lampu keselamatan, topi perlindungan dan pakaian khas yang memantulkan cahaya. Perkara ini yang mampu mendatangkan kecelakaan yang tidak diduga sekiranya tidak dilihat secara jelas oleh pengguna jalan raya yang lain.

Maka masalah ini harus diatasi secara komprehensif oleh semua pihak. Di peringkat Kementerian Pengangkutan, penguatkuasaan akan dilakukan lebih bersepadu oleh anggota polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan mereka tidak mengganggu lalu lintas. Tindakan akan dilakukan sama ada secara tangkapan, amaran dan sebagainya.

Masyarakat juga harus memainkan peranan yang penting dengan memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat aktiviti basikal lajak yang mengganggu lalu lintas. Namun begitu, peranan utama yang perlu dilakukan ialah ibu bapa. Ini kerana kanak-kanak yang berada di bawah umur 18 tahun masih lagi tertakluk di bawah penjagaan ibu bapa.

Justeru ibu bapa diingatkan mengawal aktiviti anak-anak bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan gejala yang berbahaya seperti ini. Dalam masa yang sama, perkara yang paling utama yang harus dilakukan oleh ibu bapa ialah memastikan anak-anak tidak dibiarkan keluar bermain pada waktu malam bagi mengelakkan tragedi yang sama berulang.

Maka tanggungjawab menjaga keselamatan anak-anak adalah tanggungjawab bersama. Apa pandangan anda? Sila nyatakan di bawah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *