Gotong-royong bersama penduduk Taman Pelangi

Semalam saya telah bersama komuniti setempat mengadakan gotong royong di Pasar Pagi Taman Pelangi bagi membasmi wabak denggi di kawasan sekitar.

Kemudian, menyertai gotong royong pembersihan Masjid Taman Pelangi sempena menyambut bulan Ramadan bersama-sama AJK Masjid, penduduk setempat dan sukarelawan.

Terima kasih kepada komuniti Taman Pelangi dan Masjid Taman Pelangi yang telah bersama-sama menjayakan usaha ini.

Aktiviti-aktiviti menjelang Ramadhan al-Mubarak

SABTU

Majlis Ambang Ramadhan bersama anak yatim dan warga emas.

Semarak Ramadhan anjuran IKRAM Johor di Pangsapuri Desa Hajjah Hasnah.

Majlis Ramah Mesra bersama penduduk di Taman Datin Rohani, Century Garden.

AHAD

Sarapan potluck bersama penduduk setempat di Kim Teng Park.

Sempat menziarahi bekas pejuang yang kini sedang sakit.

Majlis Perasmian Pusat Penjaja Usahawan Parlimen Johor Bahru di Larkin Idaman.

Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program-program ini. 👍🏼

Forum “The State of the Labour Market in Malaysia”

Semalam saya telah diberi peluang untuk menganjurkan forum dengan kerjasama beberapa persatuan UIA yang bertajuk “The State of the Labour Market in Malaysia”.

Forum tersebut telah membincangkan realiti sebenar alam sektor buruh di Malaysia terutamanya isu gaji rendah yang menjadi salah satu faktor utama kos sara hidup tinggi.

InsyaAllah perbincangan forum akan turut diadakan di universiti-universiti tempatan yang lain.

Apabila lebih ramai masyarakat memahami situasi sebenar, secara tidak langsung akan menjurus kepada gesaan penstrukturan semula sektor buruh untuk pemberian gaji yang lebih setimpal.

Terima kasih kepada pihak penganjur dan para pelajar dan pensyarah yang telah menjayakan forum ini.

Food Bank Siswa bantu mahasiswa lapar

Tengah hari tadi dalam satu sesi perbincangan bersama YB Menteri KPDNHEP Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail dan badan-badan yang telibat dalam pelaksaan program Food Bank Malaysia.

Perlaksanaan Program Food Bank Siswa di beberapa buah Universiti Awam (UA) telah memberikan impak positif kepada mahasiswa. Program yang menyasarkan mahasiswa berlatarbelakang keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dilihat mampu menangani isu mahasiswa lapar.

Ketika ini pihak kementerian sedang menyasarkan pelaksanaan program Food Bank Siswa ke 20 UA sebelum Disember tahun ini, dalam masa yang sama memerlukan kerjasama dan komitmen dari pelbagai pihak untuk menjayakannya.

Dijangka, program ini bakal diperluas ke Institusi Pendidikan Guru (IPG), Kolej-kolej Komuniti, Sekolah Agama dan universiti-universiti swasta pada masa akan datang.

Kejohanan Renang Piala YB Akmal Nasir

Semalam telah diadakan Kejohanan Renang Piala YB Akmal Nasir buat pertama kali anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru dan Persatuan Kebajikan dan Keharmonian Larkin, Johor Bahru.

Sasaran 150 orang peserta tetapi kita terima penyertaan 360 perenang berusia 7 tahun hingga 18 tahun!

Insyallah kita akan jadikan sebagai acara tahunan bagi meraikan komuniti renang sekitar Johor Bahru.

Terima kasih kepada para peserta dan petugas yang telah sama-sama menjayakan kejohanan sulung ini.

Usaha kerajaan kekalkan tanah rizab melayu

Kerajaan Persekutuan ketika ini sedang berusaha untuk membeli seluruh tanah di Kampung Baru bagi dimajukan secara sistematik.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, pihak kementerian sedang mengkaji mekanisme terbaik mendapatkan dana sebanyak RM6 – RM10 bilion termasuk membenarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan bon perbandaran atau sukuk.

Pembelian tersebut bertujuan mengekang pemilik tanah di kawasan tersebut menjual tanah mereka kepada pihak pemaju hartanah. Dengan pembelian ini, secara tidak langsung status tanah di kawasan tersebut bakal kekal dan terpelihara menjadi tanah rizab Melayu.

Pemilik tanah atau waris bakal mendapat pampasan dari pihak kerajaan sama ada dalam bentuk wang, hartanah, atau separuh wang dan separuh hartanah.

Usaha ini wajar dilakukan bagi tujuan menstruktur semula pembangunan di kawasan Kampung Baru dengan penempatan lebih moden dan bersepadu masyarakat Melayu secara terancang, tersusun di tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Ketika ini, lebih 80 peratus penduduk di Kampung Baru bersetuju dengan tawaran yang dikemukakan oleh pihak kerajaan untuk dibangunkan berbanding pembelian oleh pihak swasta.

Majlis Pelancaran Rancangan JB & Bantuan Asnaf

30 April 2019

Sekitar Majlis Pelancaran Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandaraya Johor Bahru 2030.

Rancangan ini akan melibatkan kawasan Stulang, Pelangi, Larkin dan Bandar Baru Uda.

Majlis disempurnakan oleh YB Tan Cheng Choon, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Negeri Johor, di Thistle Hotel pagi tadi.

Turut bersama ialah ADUN Stulang, YB Chen Kah Eng dan Datuk Bandar Johor Bahru Dato’ Haji Amran.

Terima kasih atas jemputan. Diharap rancangan ini akan dapat memacu sebuah pembangunan jangka panjang yang holistik yang bakal memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat tempatan di Johor Bahru.

1 Mei 2019

Alhamdulillah pagi tadi dapat bersama menyampaikan sumbangan kepada kumpulan asnaf di Masjid Jamek Kg Melayu.

InsyaAllah kita akan terus bantu seboleh yang mungkin.

Perjumpaan bersama delegasi antarabangsa

Walaupun Dewan Rakyat tidak bersidang, Ahli Parlimen mungkin terlibat dengan beberapa urusan rasmi dari semasa ke semasa.

Semalam saya telah menyertai mesyuarat jawatankuasa AIPA Caucus yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Speaker.

Malaysia akan menjadi tuan rumah AIPA pada hujung Jun dan kami perlu menyusun topik-topik yang akan dibincangkan oleh negara-negara Asia Tenggara.

Kemudian, pada sebelah tengah hari saya telah menyertai Ahli-Ahli Parlimen lain untuk menerima delegasi antarabangsa yang memperjuangkan nasib Refugees (pelarian) di seluruh dunia.

Yang menariknya mereka ini terdiri daripada negarawan, usahawan dan korporat yang berjaya seperti bekas Menteri negara Turki, CEO Cobani, MD Unilever dan lain-lain.

Cuma kita akui sentimen nasionalis ditambah pula dengan masalah pendatang tanpa izin menyebabkan perbincangan isu Pelarian ini tidak kondusif.

Apa-apapun, kita harus peka kepada nasib mereka yang terpinggir ini sementara kita memperjuangkan isu-isu tempatan.

Inisiatif Usahawan Parlimen Johor Bahru

Alhamdulillah, stainless steel stall untuk Idaman Corner telah sampai malam tadi. Pemindahan penjaja-penjaja depan Maslee ke kawasan sini.

Fasa perubahan landskap Larkin Idaman dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru.

InsyaAllah kita akan mula perancangan untuk fasa kedua tidak lama lagi di Larkin dan Kg Melayu. Terima kasih kepada yang membantu.

Aktiviti setempat di Parlimen Johor Bahru

Semalam saya telah dijemput untuk merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan SK Sri Tebrau yang ke 26.

Gembira melihat semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh adik-adik SK Sri Tebrau. Adat pertandingan – ada yang gembira atas kemenangan, ada yang kecewa atas kekalahan.

Sukan sememangnya satu aspek yang penting dalam kehidupan. Bukan sahaja menjamin kesihatan mental dan fizikal, ia juga mampu merapatkan hubungan anggota masyarakat yang berbilang kaum.

Terima kasih kepada SK Sri Tebrau atas jemputan. Saya berharap semangat kesukanan akan terus mekar dalam diri pelajar-pelajar SK Sri Tebrau.

Yassin dan tahlil bersama dengan jemaah Masjid Kg Dato’ Suleiman Menteri, Johor Bahru.

Terima kasih atas layanan mesra dan sambil-sambil berkongsi perkembangan terkini.