Bersama atasi masalah basikal lajak

Isu basikal lajak yang membelenggu masyarakat pada hari ini bukan perkara baru. Keberadaan mereka yang berlumba di jalan raya sudah pasti mengundang bahaya khususnya bagi pengguna jalan raya yang lain. Bagi pengguna jalan raya, bukan mudah untuk mengesan penunggang basikal lajak lebih-lebih lagi pada waktu malam.

Ini kerana basikal yang dinaiki mereka tidak mempunyai ciri keselamatan seperti lampu keselamatan, topi perlindungan dan pakaian khas yang memantulkan cahaya. Perkara ini yang mampu mendatangkan kecelakaan yang tidak diduga sekiranya tidak dilihat secara jelas oleh pengguna jalan raya yang lain.

Maka masalah ini harus diatasi secara komprehensif oleh semua pihak. Di peringkat Kementerian Pengangkutan, penguatkuasaan akan dilakukan lebih bersepadu oleh anggota polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan mereka tidak mengganggu lalu lintas. Tindakan akan dilakukan sama ada secara tangkapan, amaran dan sebagainya.

Masyarakat juga harus memainkan peranan yang penting dengan memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat aktiviti basikal lajak yang mengganggu lalu lintas. Namun begitu, peranan utama yang perlu dilakukan ialah ibu bapa. Ini kerana kanak-kanak yang berada di bawah umur 18 tahun masih lagi tertakluk di bawah penjagaan ibu bapa.

Justeru ibu bapa diingatkan mengawal aktiviti anak-anak bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan gejala yang berbahaya seperti ini. Dalam masa yang sama, perkara yang paling utama yang harus dilakukan oleh ibu bapa ialah memastikan anak-anak tidak dibiarkan keluar bermain pada waktu malam bagi mengelakkan tragedi yang sama berulang.

Maka tanggungjawab menjaga keselamatan anak-anak adalah tanggungjawab bersama. Apa pandangan anda? Sila nyatakan di bawah.

Konvensyen Keadilan Johor 2019

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan mengadakan konvensyen peringkat negeri Johor dengan bertemakan ‘Reformasi Dua Dekad’ pada:

Tarikh: 01 November 2019 (Jumaat)
Masa: 3 – 7 petang
Tempat: Dewan Restoran Xin Yang, Muar

Antara isu yang akan dibahaskan termasuk pemacuan pertumbuhan ekonomi negara, isu-isu politik semasa dan juga soal pembangunan parti.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut menyampaikan amanatnya pada hari tersebut.

Konvensyen ini adalah sebagai langkah pembinaan momentum menuju Kongres Nasional KEADILAN yang bakal diadakan pada 6 hingga 8 Disember 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka.

Dijemput seluruh anggota KEADILAN Johor untuk turun menjayakan Konvensyen Johor Jumaat ini!

Piala Kejohanan Antarabangsa Paintball YB Akmal Nasir

Hujung minggu lalu telah berlangsung kejohanan sulung Piala Kejohanan Antarabangsa Paintball YB Akmal Nasir di Stadium Hoki Taman Daya Johor Bahru anjuran bersama NXL Asia dan Kelab Cougars Malaysia.

Untuk pengetahuan, sebanyak 72 pasukan yang telah turut serta terdiri dari negara Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia dan Australia. Secara keseluruhannya, lebih kurang 600 orang pemain bertanding untuk enam (6) division.

Tahniah kepada penganjur atas kejayaan penganjuran kejohanan paintball ini. Secara tidak langsung menghimpunkan para peminat sukan paintball dari seluruh negara dan juga dari negara-negara jiran.

Saya berharap kejohanan seperti ini sedikit sebanyak dapat mengangkat sukan paintball terutamanya di Johor Bahru bagi mempelbagaikan lagi aktiviti sukan untuk masyarakat setempat.

Latihan AMK Reformasi Siri 2 di Kajang

Sepanjang hujung minggu lalu telah berlangsung sesi Latihan AMK Reformasi siri yang kedua selama tiga hari bertempat di Kajang, Selangor.

Alhamdulillah kehadiran yang baik daripada pimpinan AMK yang merangkumi hampir semua negeri.

AMK Reformasi adalah satu latihan kepimpinan dan pemerkasaan AMK bertujuan menggarap semangat idealisme perjuangan parti di samping memahami sejarah dan perjuangan reformasi.

Terima kasih kepada Presiden Keadilan, Dato Seri Anwar Ibrahim yang sudi meluangkan masa memenuhi salah satu sesi syarahan kami. Penghargaan juga kepada pimpinan seperti Dato’ Johari Abdul, YB Nurul Izzah yang sudi meluangkan masa berkongsi ilmu dan pengalaman.

Tidak lupa juga tetamu istimewa Dr Yudi Latif daripada Indonesia (sahabat DSAI) yang telah turut bersama berkongsi buah fikiran bagi melaksanakan agenda reformasi di Malaysia.

Pelancaran Mahasiswa Keadilan Malaysia UKM

Pada hari Rabu yang lalu, saya telah turun ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) untuk satu sesi temu rapat dan juga pelancaran MKM UKM.

Dalam sesi tersebut, beberapa isu telah dibangkitkan seperti kediaman dalam kampus yang tidak mencukupi serta pemansuhan kad siswa sebelum ini yang sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada mahasiswa.

Alhamdulillah pada masa yang sama juga barisan kepimpinan diumumkan bagi menggalas tanggungjawab memimpin pergerakan MKM di UKM.

InsyaAllah beberapa cawangan MKM di universiti lain akan turut diumumkan tidak lama lagi.

Kita akan cuba melakukan pergerakan mahasiswa yang lebih tersusun di setiap cawangan supaya isu-isu mahasiswa yang berbangkit dapat ditangani dengan lebih baik bersama pihak universiti mahupun pihak kementerian.

Laporan Halatuju Perbadanan PRIMA

Dalam sesi Parlimen kali ini, saya telah membakingkatkan isu berkaitan laporan hala tuju PRIMA ekoran daripada beberapa projek yang dilihat terbengkalai dan juga lewat siap seperti projek PRIMA Tebrau, yang telah disuarakan oleh penduduk setempat.

Menurut satu maklum balas daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), satu pengauditan (due-diligence) pengurusan dan kewangan telah dilaksanakan ekoran keperluan mendesak dalam usaha menjayakan rasionalisasi perumahan negara.

Hasil pengauditan (duediligence) terhadap polisi, kewangan dan model perniagaan PR1MA mendapati PR1MA perlu membaiki kedudukan kewangan untuk meneruskan projek pembangunan yang sedang dilaksanakan.

Oleh yang demikian, daripada 131 fasa projek yang telah dirancang dengan nilai RM25.64 bilion, sebanyak 56 fasa projek dibatalkan iaitu bernilai RM9.98 bilion. Hasil penilaian yang telah dibuat menunjukkan hanya 75 fasa projek dapat diteruskan.

Status kemajuan di tapak untuk semua projek ini melebihi 50% pembinaan dan mempunyai Lesen Pemajuan Perumahan Dan Permit Iklan Jualan (APDL).

Oleh itu, saya berharap pembatalan projek-projek di bawah PRIMA tidak akan membantutkan usaha kerajaan dalam menawarkan lebih banyak perumahan mampu milik kepada rakyat khususnya golongan anak muda.

Program Walkathon di SJKC Foon Yew 1

Ahad lalu saya sempat singgah di SJKC Foon Yew 1 sempena program Walkathon yang dianjurkan oleh pihak sekolah.

Program ini diadakan bertujuan untuk meraih dana bagi menaik taraf kemudahan dan fasiliti sekolah.

Di samping itu, saya percaya program seperti ini juga dapat merapatkan lagi hubungan antara ibu bapa, para pelajar dan tenaga pengajar pihak sekolah.

Inisiatif tawaran #MalaysiaKerja dalam Belanjawan

Menerusi Belanjawan 2020, kerajaan bakal melancarkan inisiatif #MalaysiaKerja bagi membuka pasaran kerja dengan insentif yang lumayan. Dalam masa yang sama ia bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah. Melalui program ini, ia dipecahkan kepada 4 segmen.

Segmen pertama dikhususkan kepada graduan melalui #GraduanKerja. Graduan yang menganggur melebihi 12 bulan akan menerima elaun sebanyak RM500 sebulan sekiranya menerima tawaran kerja yang baharu selama tempoh 2 tahun. Bagi majikan, mereka akan menerima insentif pengambilan pekerja dari golongan graduan sebanyak RM300 sebulan bagi tempoh 2 tahun.

Segmen #WanitaKerja dikhususkan kepada golongan wanita berusia 30 hingga 50 tahun yang tidak bekerja setahun dan ke atas. Mereka yang kembali bekerja bakal menerima insentif sebanyak RM500 sebulan selama 2 tahun dan dikecualikan cukai pendapatan sehingga 2023. Manakala majikan bakal menerima insentif dari kerajaan sebanyak RM300 sebulan bagi tempoh yang sama.

Bagi mengurangkan pengambilan pekerja asing, segmen #WatanKerja telah diperkenalkan. Rakyat Malaysia yang bekerja menggantikan pekerja asing akan menerima insentif gaji sebanyak RM350 hingga RM500 sebulan selama 2 tahun mengikut sektor. Bagi golongan majikan yang menggambil pekerja tempatan, mereka bakal menerima insentif sebanyak RM250 sebulan untuk tempoh yang sama.

Manakala #PerantisKerja diwujud untuk memperkasakan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET). Pelajar TVET akan menerima elaun RM100 sebulan bagi menggalakkan lebih ramai belia menyertai kursus tersebut.

Perkembangan program IMPAK di Flat Larkin

Hujung minggu lalu saya sempat singgah di Flat Larkin untuk melihat sendiri perkembangan program IMPAK (Ibu Bapa Memastikan Peningkatan Akademik Anak-Anak).

Kelas tajaan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru bersama Pertubuhan IKRAM Negeri Johor itu diadakan buat ibubapa bagi mempertingkatkan institusi keluarga dan dikendalikan oleh jurulatih yang bertauliah.

Alhamdulillah semalam merupakan sesi terakhir selepas 10 minggu kita jalankan. Sementara kelas berlangsung, anak-anak diasuh dan bermain secara sihat.

Semoga program IMPAK ini akan dapat menyumbang secara positif kepada meningkatkan kemahiran dan kualiti bimbingan ibu bapa dalam membantu pembelajaran anak-anak.

Sesi Temu Rapat di Universiti Kebangsaan Malaysia

Malam esok saya akan berada di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk satu majlis temu rapat bersama para pelajar anjuran Mahasiswa Keadilan.

Pada masa sama akan melancarkan persatuan Mahasiswa Keadilan Malaysia UKM.

Saya mengajak rakan-rakan mahasiswa sama ada dari UKM atau universiti/kolej berdekatan untuk turut hadir bersama.

Tarikh : 23 Oktober 2019
Hari : Rabu
Masa : 08.00pm
Tempat : Bilik Serbaguna Aras 2, PTSL, UKM, Bangi.